Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan belut? Adakah dibenarkan untuk memakannya sekalipun rupanya seperti ular? Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.”
Surah al-Ma’idah: 96
Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, tatkala haiwan buruan itu merangkumi haiwan buruan darat dan lautan, Allah SWT telah mengecualikan bagi kamu — dalam keadaan kamu sedang berihram — haiwan buruan laut iaitu haiwan laut yang hidup dan makanan yang didapati dari laut iaitu haiwan laut yang sudah mati. Justeru, perkara itu menunjukkan bahawa bangkai haiwan laut adalah halal. Selain itu, faedah kehalalannya itu adalah bertujuan supaya kamu memanfaatkannya dan begitu juga temanmu yang bersama kamu dalam perjalanan turut memanfaatkannya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/244.)
Definisi belut
Belut ialah ikan yang panjang, licin yang kelihatan seperti ular. Dari segi pengelasan saintifik, belut tergolong dalam order Anguilliformes. Terdapat kira-kira 600 jenis belut. Kebanyakannya tinggal di lautan. Belut air masin termasuk moray, conger, dan snipe. Belut biasa termasuk belut Eropah dan belut Amerika Belut Eropah terdapat di sepanjang pantai Atlantik, di Eropah dan di Laut Mediterranean. Belut Amerika hidup di sepanjang pantai Atlantik di Amerika Utara.
Kitaran hidup. Kedua-dua belut Eropah dan belut Amerika memulakan hidup di Laut Sargossa, sebuah kawasan di Lautan Atlantik di timur laut Hindia Barat. Belut betina bertelur di sana pada musim bunga. Setiap telur menetas menjadi larva yang kecil dan halus, iaitu peringkat perkembangan belut seterusnya. Larva ini, yang dikenali sebagai leptosefalus, menyerupai daun willow yang lut sinar. Apabila arus lautan membawanya ke arah utara, leptosefalus mengalami metamorfosis (pertukaran bentuk badani dan membesar menjadi belut kecil yang lut sinar, yang dikenali sebagai belut kaca. Menjelang masa belut kecil ini sampai di pantai Eropah atau Amerika Utara, ia menjadi berwarna dan dikenali sebagai elver. Ahli sains percaya bahawa elver jantan hidup dalam air masin di sepanjang pantai. Kebanyakan elver betina berenang ke dalam sungai dan kumpulan air tawar yang lain. Elver adalah perenang yang kuat, dan elver betina boleh memanjat air terjun atau empangan untuk sampai diperairan di pedalaman.
Elver beransur-ansur membesar dan bertukar menjadi warna hijau kekuningan yang suram. la kemudiannya dikenali sebagai belut kuning. Pada peringkat ini, yang lamanya tujuh hingga 10 tahun, belut mencapai saiz sepenuhnya. Kebanyakan belut betina membesar dari 90 hingga 120 sentimeter panjangnya dan kebanyakan belut jantan membesar kira-kira 45 sentimeter panjangnya. Akhirnya, belut melalui metamorfosis kedua dan menjadi dewasa. Warna kulit pada sisinya bertukar kepada warna perak, matanya membesar, dan ia menjadi matang untuk membiak. Pada peringkat dewasa, belut dikenali sebagai belut perak.
Menangkap belut. Belut biasa dianggap sebagai makanan istimewa di Eropah dan Asia. Kumpulan nelayan Eropah dan Asia menangkap sejumlah besar belut setiap tahun. Belut ditangkap dalam jaring yang besar atau dalam sangkar yang dibina khas. (Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 3/457-458.)
Hukum memakan belut
Pada asasnya, haiwan air dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”
Surah al-Ma’idah: 96.
Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:
أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ
Maksudnya: “Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”
Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.
Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548.). Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan, tanpa perlu berhajat kepada sembelihan. Justeru, bangkainya adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548.). Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.”
Surah al-Ma’idah: 96
Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ
Maksudnya: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.”
Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa belut adalah halal untuk dimakan kerana ia termasuk dalam jenis haiwan air dan jenis ikan sekalipun rupa bentuknya sedikit berbeza daripada bentuk kebiasaan ikan. Justeru, ia dihukumkan sebagai halal dan begitu juga bangkainya berdasarkan kepada keumuman nas al-Quran dan juga al-Sunnah.
Lebih-lebih lagi, belut adalah berbeza sama sekali dengan ular sekalipun rupanya seakan-akan sama. Di antaranya, belut bernafas dengan menggunakan insang, sedangkan ular bernafas menggunakan paru-paru. Selain itu, ular laut juga adalah reptilia, sama seperti ular-ular yang lain. Ular jenis ini mempunyai rupa yang agak rata. Biasanya, badan ular itu berbentuk silinder, sama seperti ular lain, tetapi kepala mungkin mempunyai rupa yang lebih rata, bergantung kepada spesies. Di samping itu, hujung ekor ular selalunya berbentuk dayung, yang membantu ular mendorong dirinya melalui air. Manakala belut pula ialah sejenis ikan panjang yang khusus, dan boleh ditemui di kedua-dua persekitaran marin dan air tawar. Penampilan setiap spesies ikan ini berbeza, tetapi biasanya, mereka jauh lebih rata berbanding ular. Di samping itu, kepala ikan ini cenderung lebih panjang dan lebih tajam. Ikan ini juga mempunyai sirip, yang tidak pernah dimiliki ular laut. Sirip selalunya terletak di sepanjang bahagian atas atau bawah badan ikan, atau menonjol dari belakang kepala.[10]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 22 April 2022 bersamaan 20 Ramadhan 1443H
[10] Lihat https://www.scuba.com/blog/explore-the-blue/eels-sea-snakes-difference/. Diakses pada 21 April 2022.