#1010 Sujud Syukur Bagi Pemain Bola Sepak Dengan Aurat Tidak Sempurna

 

Soalan

Apakah hukum sujud syukur bagi pemain bola sepak dalam keadaan tidak berwudhu’ dan menghadap kiblat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Syukur merupakan pengiktirafan terhadap kurniaan Tuhan dengan memujinya. Hakikatnya menzahirkan atas kesan nikmat pada lidah, hati dan anggota badan di mana lidah memuji, hati mengiktiraf dan anggota badan melakukan mengikut apa yang diredhai-Nya (Lihat Madarij al-Salikin, 2/244). Syukur pada istilah ialah seorang hamba menggunakan semua nikmat kurniaan Allah kepadanya untuk mentaati-Nya. (Lihat Hasyiah al-Syabramalisi, 1/22)

Sedangkan takrif sujud syukur sebagai sujud yang dilakukan oleh seseorang ketika mendapat nikmat atau tertolak bala. (Lihat Syarh al-Minhaj dan Hasyiah al-Qalyubi, 1/208)

Ulama telah khilaf (berselisih pandangan) berkenaan dengan sujud syukur seperti berikut:

  • Pandangan pertama: Ia tidak disyariatkan. Inilah pendapat Abu Hanifah, Malik dalam satu pendapat yang masyhur dan al-Nakha’ie mengikut yang dinyatakan oleh Ibn al-Munzir.
  • Pandangan kedua: Ia disyariatkan dan hukumnya sunat. Inilah pendapat Imam al-Syafi’e, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur, Ibn al-Munzir, Abu Yusuf, Muhammad Ibn Habib daripada mazhab Maliki dan Ibn Qassar menisbahkan kepada Imam Malik bahkan ditashihkan oleh al-Banani.

Dalil Sujud Syukur

Dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan sujud syukur adalah berdasarkan hadith Nabi SAW daripada Abu Bakrah RA, katanya:

أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah SWT.”

Riwayat Abu Daud (2774)

Antara hujahnya adalah berdasarkan hadith daripada Abu Bakrah R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَليْهِ وسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَتَاهُ أَمْرٌ يَسُرُّهُ أَوْ بُشِّرَ بِهِ ، خَرَّ سَاجِدًا ، شُكْرًا لِلَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى

Maksudnya“Bahawa sesungguhnya Nabi SAW apabila datang kepadanya sesuatu yang menggembirakan atau khabar gembira, beliau lantas sujud untuk berterima kasih kepada Allah SWT.”

Riwayat Ibn Majah (1394)

Dalam riwayat lain, daripada Abu Bakrah R.A juga, beliau berkata:

اَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ اِذَا جَاءَهُ خَبَرٌ يَسُرُّهُ خَرَّ سَاجِدًا للهِ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya apabila datang kepada Nabi SAW sesuatu yang baik yang menggembirakan, beliau langsung sujud kerana berterima kasih kepada Allah SWT.”

Riwayat Abu Daud (2774)

Begitu juga diriwayatkan daripada para Sahabat yang mana turut juga melakukan sujud syukur ketika menerima satu perkhabaran yang gembira. Sebagai contoh, diriwayatkan bahawa Abu Bakar RA sujud syukur ketika pembukaan Yamamah dan mendengar perkhabaran Musailamah al-Kazzab dibunuh. Begitu juga Ali RA telah sujud syukur apabila mendapati bahawa Dzu al-Thudayyah daripada kalangan Khawarij telah terbunuh. Seterusnya, diriwayatkan juga bahawa Ka’ab bin Malik telah sujud syukur ketika mana mendengar khabar bahawa taubatnya telah diterima oleh Allah SWT.

Disunatkan untuk melakukan sujud syukur ketika mana menerima kurnian nikmat daripada Allah SWT seumpama kelahiran anak, mendapat harta, pangkat, lulus peperiksaan dengan cemerlang dan juga selainnya. Begitu juga disunatkan untuk sujud syukur ketika mana kita terbebas dari segala bala dan bencana sepertimana terselamat dari kemalangan, gempa bumi dan juga perkara-perkara yang tidak baik.

Sepertimana dijelaskan, inilah pendapat al-Syafi’e (begitu juga pendokong mazhab Syafi’e), Ahmad bin Hanbal (begitu juga pendokong mazhab Hanbali), Ishak, Abu Thaur dan juga Ibn al-Munzir. Adapun al-Nakha’ie, Malik dan juga Abu Hanifah berpendapat bahawa sujud syukur adalah makruh (Lihat al-Mughni, 1/449 dan al-Majmu’, 4/70). Namun, terdapat juga pendapat sebahagian Malikiyyah yang mengatakan bahawa sunatnya sujud syukur.

Imam al-Syaukani berkata: Yang dimaksudkan ialah nikmat yang baru yang boleh didapati dan juga yang tidak boleh didapati. Oleh sebab itu Nabi SAW tidak sujud melainkan apabila nikmat itu nikmat yang baru di samping terdapat juga nikmat-nikmat Allah yang lain kepada baginda. ( Lihat Al-Sail al-Jarar, 1/175)

Pemain Bola Sepak Melakukan Sujud Syukur Kerana Gembira Dengan Gol Yang Diperoleh

Antara yang sering menunjukkan contoh sujud ketika menjaringkan gol ialah salah seorang pemain Liverpool berbangsa Mesir, iaitu Mohamad Salah. Apa yang paling menarik tentang gol Mohamad Salah ialah sambutannya yang konsisten. Beliau melakukan dua perkara selepas menjaringkan gol iaitu dengan memeluk rakan sepasukannya iaitu tindak balas yang biasa. Tetapi kemudian, dia melakukan sujud, iaitu sujud syukur. Persembahan Mohamad Salah dengan sujud di luar solat ialah ungkapan kesyukuran khusus untuk gol yang dijaringkan. Walaupun ramai pemain bola sepak Liga Perdana yang lain beragama Islam, Mohamad Salah adalah satu-satunya yang kerap dan konsisten sujud di atas padang.[9]

Sujud Syukur Tanpa Menutup Aurat Dengan Sempurna

Dalam isu ini, hal ini berkait rapat dengan sujud syukur itu, adakah wajib untuk dilakukan dengan syarat-syarat seperti dalam solat, menurut aurat dengan sempurna dan seumpamanya. Berkenaan dengan menutpu aurat, Mazhab Hanafi menganggap apa yang di antara pusat dan lutut sebagai daerah aurat. Mereka menganggap lutut itu aurat sedangkan pusat tidak. Manakala mazhab Syafie dan Hanbali mengatakan antara pusat dan lutut itu aurat dan pusat dan lutut itu sendiri bukan aurat. Adapun mazhab Maliki, Zahiri dan satu pandangan daripada Imam Ahmad menyatakan bahawa peha itu bukan aurat. Namun kami tegaskan bahawa meskipun lutut dan pusat bukan aurat dalam mazhab Syafie, namun para ulama menegaskan bahawa ia tetap wajib ditutup berdasarkan qaedah:

مَا لَا يَتِمُّ الْوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: Jika suatu perkara yang wajib tidak sempurna melainkan dengan perkara yang lain, maka perkara yang lain itu turut menjadi wajib,

Dalam kes ini, apa-apa di antara pusat dan lutut tidak akan sempurna melainkan jika pusat dan lutut turut ditutup. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 205)

Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan di dalam al-Iqna’: Aurat ialah apa yang ada antara pusat dan lutut. Adapun pusat dan lutut bukanlah aurat. Akan tetapi ia wajib ditutup sebahagiannya kerana apa-apa yang perkara wajib tidak menjadi sempurna melainkan dengannya, maka hal itu jua menjadi wajib. (Lihat al-Iqna` fi Hall Alfaz Abi Syuja` 1/146)

Terdapat pandangan para ulama’ yang membenarkan untuk sujud syukur tanpa melibatkan syarat-syarat solat seperti dengan berwudhu’ serta menghadap kiblat dan menutup aurat dengan sempurna. Ini adalah pendapat kebanyakan salaf  serta sebahagian al-Malikiyyah (Lihat Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil, 2/62).Begitu juga ianya adalah pendapat jemaah muhaqqiq seperti Ibn Jarir al-Tabari, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 5/340), Ibn al-Qayyim (Lihat Tahzib Sunan, 1/69), al-Syaukani (Lihat Nail al-Autar, 3/127) dan al-San’ani (Lihat Subul al-Salam, 1/315). Hal ini kerana:

  • Pendapat yang mengatakan bahawa sujud syukur memerlukan wudhu’, menghadap kiblat dan menutup aurat dengan sempurna seperti di dalam solat perlu mendatangkan dalil. Mengqiyaskan sujud syukur dengan solat adalah tidak tepat kerana sujud syukur itu adalah sujud dan bukannya seperti solat.
  • Zahir hadith Abu Bakrah RA yang menunjukkan bahawa Nabi SAW terus sujud syukur tatkala menerima sesuatu yang menggembirakan Baginda. Tiada pula disebutkan perlunya wudhu’, menghadap kiblat dan menutup aurat dengan sempurna seperti di dalam solat. Sekiranya syarat-syarat ini diperlukan pasti akan diterangkan oleh Baginda SAW kerana berhajatkan kepadanya bahkan hadith menyebutkan Nabi SAW terus sujud tatkala menerima khabar yang gembira.
  • Sujud syukur dilakukan apabila mendapat nikmat atau terselamat dari mudarat tanda syukur kepada Allah SWT. Ianya dilakukan secara serta merta. Jika memerlukan kepada syarat-syarat seperti solat, sudah tentu ia tidak dapat dilakukan dengan segera kerana perlu mencari air untuk berwudhu’, mencari kiblat, menutup aurat kemudian barulah boleh melakukan sujud syukur. Ini boleh menghilangkan rahsia makna disyariatkan sujud syukur itu sendiri.

Mantan Mufti Besar Arab Saudi ketika ditanya berkenaan isu sujud syukur tanpa wudhu’, maka beliau menjawab: Sujud tilawah adalah sujud yang terpisah daripada solat (mustaqil), jika di luar solat, boleh sujud dalam keadaan tidak berwudhu’ mengikut sujud yang betul, dan ini sama juga dengan sujud syukur. Hal ini kerana kedua-dua sujud ini berlaku dengan sebab-sebab yang mungkin berlaku semasa seseorang itu tidak dalam keadaan suci. Boleh jadi seseorang itu membaca al-Quran dengan tidak melihat mushaf tanpa wudhu’, apabila dia melalui ayat sujud tilawah ataupun datangnya berita yang menggembirakannya, sedangkan dia tidak beada dalam keadaan suci, maka dia boleh sujud tanda syukur kepada Allah dan ini merupakan perkara yang baik. Di dalam hadith, “Bahawa sesungguhnya Nabi SAW apabila datang kepadanya sesuatu yang menggembirakan, baginda lantas sujud kepada Allah. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 10/450)

Al-Lajnah al-Daimah di dalam fatwanya menyebut:  Pandangan yang paling tepat mengenai  sujud syukur dan tilawah bagi pembaca al-Quran dan pendengarnya ialah tidak disyaratkan untuk bersuci (berwudhu’) kerana kedua-dua sujud ini bukan hukum solat. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 7/263)

Kesimpulan

Kami melihat di dalam isu ini, pendapat yang lebih dekat adalah pendapat yang mengatakan bahawa sujud syukur boleh dilakukan dengan tidak menutup aurat dengan sempurna seperti pemain bola sepak yang terdedah lutut dan sebahagian pehanya. Ini dengan melihat bahawa tiada dalil yang menjadi pemutus akan perlunya syarat-syarat sah solat seperti menutup aurat, berwudhu’ dan menghadap kiblat. Bahkan sujud syukur ini bukanlah solat yang memerlukan syarat sedemikian. Justeru, dibolehkan untuk pemain bola sepak muslim meraikan gol dengan melakukan sujud syukur walaupun dengan pendedahan lutut dan sebahagian peha. Bahkan ia boleh jadi satu cara untuk pemain bola muslim untuk menunjukkan syiar Islam dan boleh jadi juga dalam satu bentuk dakwah kepada yang bukan Islam untuk menyatakan bahawa orang Islam apabila mendapat nikmat akan tetap mengingati Allah dengan bersujud kepada-Nya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 22 April 2022 bersamaan 20 Ramadhan 1443H

[9] Lhat https://theconversation.com/liverpool-fcs-mohamed-salahs-goal-celebrations-a-guide-to-british-muslimness-93084