#1025: Qadha’ Solat Tarawih

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah boleh qadha’ solat Tarawih? Hal ini kerana saya terpaksa bekerja pada waktu malam sehingga kadang-kadang terlepas untuk mengerjakan solat tarawih. Boleh tak saya qadha solat tarawih yang tertinggal? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Hukum Qadha Solat Sunat

Sebelum menjawab persoalan di atas, perlu dijelaskan terlebih dahulu berkenaan isu mengqadha’ solat sunat. Para ulama’ telah membahaskan isu qadha’ solat sunat dengan panjang lebar.

Menurut Imam al-Nawawi, solat sunat itu terbahagi kepada dua:

  • Yang tidak terikat dengan waktu, dan dilakukan sempena kejadian dan keadaan tertentu, seperti gerhana, meminta hujan dan tahiyyatul masjid. Solat sunat jenis ini tidak boleh diqadha jika tertinggal.
  • Terikat dengan waktu, contohnya solat sunat dua hari raya dan solat sunat rawatib, dan terdapat tiga pandangan bagi solat sunat jenis kedua ini. Pandangan yang paling tepat ialah sunat untuk qadha jika tertinggal.

Inilah juga pandangan Muhammad bin al-Hasan dan Al-Muzani. Inilah juga pendapat Imam Ahmad seperti yang diiqrarkan oleh Imam al-Mardawi dan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/41, al-Insaf, 2/187 dan Majmu’ al-Fatawa, 23/127)

Manakala menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Qadhi Abu Yusuf, solat sunat tidak boleh diqadha. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/43)

Terdapat banyak hadith yang menjadi sandaran ulama yang berpegang pada pandangan yang mensunatkan qadha solat sunat yang tertinggal. Antaranya ialah riwayat daripada Ummu Salamah R.’Anha, katanya:

شُغِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْعَصْرِ فَصَلاَّهُمَا بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Nabi SAW disibukkan akan suatu urusan hingga tertinggal solat sunat dua rakaat sebelum Asar, maka Baginda SAW menggantikannya selepas Asar.”

Riwayat al-Nasa’ie (587)

Daripada Abu Hurairah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يُصَلِّ رَكْعَتَىِ الْفَجْرِ فَلْيُصَلِّهِمَا بَعْدَ مَا تَطْلُعُ الشَّمْسُ

Maksudnya: “Siapa yang tidak solat sunat dua rakaat sebelum Subuh, maka hendaklah dia menggantikannya setelah matahari terbit.”

Riwayat al-Tirmizi (423)

Diriwayatkan daripada Qais bin Amir:

رَأَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا يُصَلِّي بَعْدَ صَلاةِ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ . فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَصَلاةَ الصُّبْحِ مَرَّتَيْنِ ؟ فَقَالَ لَهُ الرَّجُلُ: إِنِّي لَمْ أَكُنْ صَلَّيْتُ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا ، فَصَلَّيْتُهُمَا . قَالَ: فَسَكَتَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

MaksudnyaNabi SAW melihat seorang lelaki yang solat dua rakaat selepas solat Subuh. Maka Baginda SAW bertanya kepadanya: “Adakah engkau solat Subuh sebanyak dua kali?” Lelaki itu menjawab: “Aku tidak sempat solat sunat sebelum solat Subuh, maka aku menggantikannya.” Maka Nabi SAW pun diam.

Riwayat Abu Daud (1267) dan Ibn Majah (1209)

Begitu juga hadith riwayat Aisyah R.Anha:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا لَمْ يُصَلِّ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ صَلاَّهُنَّ بَعْدَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW jika tidak sempat solat sunat empat rakaat sebelum Zohor, maka Baginda SAW akan menggantikannya selepas solat Zohor.”

Riwayat Tirmizi (426)

Begitu juga dengan solat witir, dimana Abu Sa’id al-Khudri meriwayatkan:

مَنْ نَامَ عَنِ الْوِتْرِ أَوْ نَسِيَهُ فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَ وَإِذَا اسْتَيْقَظَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang tertidur sebelum sempat solat witir atau terlupa, hendaklah dia solat apabila dia teringat atau apabila dia terjaga daripada tidur.”

Riwayat al-Tirmizi (465), Abu Daud (1431) dan Ibn Majah (1244)

Justeru, berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami memilih pandangan bahawa qadha solat sunat yang terikat dengan waktu seperti solat sunat dua hari Raya, solat sunat rawatib dan solat sunat witir, adalah sunat untuk digantikan jika tertinggal. Adapun solat sunat kerana peristiwa atau keadaan tertentu seperti solat sunat gerhana, maka ia tidak boleh digantikan. Hal ini kerana pandangan ini disokong oleh banyak dalil daripada hadith Nabi SAW sama ada dari sudut perkataan, perbuatan dan iqrar Baginda SAW.

Isu Qadha’ Solat Tarawih

Berbalik kepada persoalan di atas, sebagaimana semua sedia maklum, bahawa solat sunat tarawih adalah salah satu keistimewaan pada bulan Ramadhan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Inilah yang dimaksudkan oleh hadith Nabi SAW:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang mendirikan bulan Ramadhan dengan keimanan dan penuh pengharapan, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”

Riwayat al-Bukhari (37) Muslim (759)

Imam al-Nawawi menyatakan maksud ‘mendirikan’ yang disebutkan di dalam hadith adalah solat sunat qiyam atau solat sunat tarawih. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 7/378)

Hukum solat tarawih adalah sunat seperti mana yang disebutkan di dalam hadith di atas. Solat sunat tarawih ini menjadi sunat kerana terdapat qarinah yang menyebabkan solat sunat ini tidak menjadi wajib. Hal ini jelas berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Urwah RA bahawa Aisyah R.Anha telah memberitahunya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم خَرَجَ لَيْلَةً مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ، فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ، وَصَلَّى رِجَالٌ بِصَلاَتِهِ، فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا، فَاجْتَمَعَ أَكْثَرُ مِنْهُمْ، فَصَلَّوْا مَعَهُ، فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا، فَكَثُرَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ، فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَصَلَّى، فَصَلَّوْا بِصَلاَتِهِ، فَلَمَّا كَانَتِ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ عَجَزَ الْمَسْجِدُ عَنْ أَهْلِهِ، حَتَّى خَرَجَ لِصَلاَةِ الصُّبْحِ، فَلَمَّا قَضَى الْفَجْرَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ، فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ ‏ “‏ أَمَّا بَعْدُ، فَإِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَىَّ مَكَانُكُمْ، وَلَكِنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْتَرَضَ عَلَيْكُمْ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah keluar pada tengah malam lalu solat di masjid dan beberapa orang lelaki pun solat bersama Baginda, maka keesokan paginya manusia membincangkan hal itu sehinggakan pada malam berikutnya manusia berkumpul lebih ramai lalu mereka solat bersama bersama Baginda. Pada keesokan paginya mereka kembali membincangkan hal tersebut, maka pada malam ketiga jumlah jemaah masjid makin bertambah lalu Rasulullah SAW keluar dari rumahnya melaksanakan solat dan mereka solat bersama Baginda. Pada malam keempat masjid sudah tidak mampu menampung jumlah jama’ah, hingga Baginda keluar untuk melaksanakan solat Subuh, setelah Baginda selesai menunaikan solat Subuh, beliau memaling ke arah jemaah lalu bersyahadat kemudian bersabda: “Amma ba’du, sesungguhnya aku mengetahui apa yang kalian lakukan (semalam) akan tetapi aku (tidak hadir ke mesjid) kerana bimbang andai kelak difardhukan ke atas kamu sehingga kamu tidak sanggup melaksanakannya.” 

Hadith di atas sangat jelas menunjukkan solat sunat tarawih itu tidak wajib dan kekal sebagai salah suatu amalan sunat yang disyariatkan.

Maka, berdasarkan hal ini, para ulama’ berbeza pendapat sama ada solat sunat tarawih yang hanya sunat ini boleh diqadha’kan atau tidak.

Pertama: Pendapat paling sahih di sisi Mazhab Imam Abu Hanifah dan pendapat Mazhab Imam Ahmad menyatakan tidak diqadha’kan solat sunat tarawih apabila sudah terkeluar daripada waktunya iaitu dengan masuknya waktu subuh. (Lihat Rad al-Mukhtar, 1/473 dan Kasyf al-Qina’, 1/426)

Kedua: Di sisi mazhab Imam al-Syafie pula menyebutkan secara umum bagi mereka yang meninggalkan solat-solat sunat pada waktunya, boleh diqadha’kan. Ini sepertimana yang dinukilkan pendapat Imam al-Nawawi:

لَوْ فَاتَ النَّفَل الْمُؤَقَّتُ نُدِبَ قَضَاؤُهُ فِي الأْظْهَرِ

Maksudnya: Sekiranya tertinggal amalan sunat yang mempunyai waktu khusus, disunatkan untuk mengqadha’kannya pada pendapat yang azhar.” (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 19)

Al-Khatib al-Syarbini menjelaskan: Sekiranya luput waktu solat yang mempunyai tempoh batasan waktu, seperti solat sunat yang ada anjuran berjemaah, seperti solat hari raya, atau tidak, seperti solat sunat Dhuha, maka sunat mengqadha’nya menurut pendapat yang azhar. (Lihat Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj, 3/149)

Selain itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga ada menjawab persoalan seperti ini. Mereka menjelaskan bahawa hukumnya adalah sunat untuk mengqadha’ solat sunat tarawih. Justeru, bagi orang yang luput (tidak sempat) atau kehabisan waktu untuk mengerjakan solat sunat tarawih, maka sunat baginya untuk mengqadha’nya.

Jelas Dar al-Ifta’ al-Misriyyah:

وعليه فمن فاتته صلاة التراويح ندب له قضاؤها

Maksudnya: “Bagi orang yang luput mengerjakan solat tarawih, maka disunatkan baginya untuk mengqadha’ solatnya.”[1]

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan perbincangan di atas, kami nyatakan bahawa solat sunat tarawih boleh diqadha’kan apabila terlepas daripada waktunya. Hal ini kerana pahala orang yang mendirikan solat sunat tarawih sangat besar selain bulan Ramadhan ini adalah bulan ibadah. Setiap ibadah yang tertinggal itu sangat sayang untuk dibiarkan begitu sahaja.

Semoga kita diberikan kekuatan untuk menghidupkan Ramadhan dengan ibadah kepada Allah SWT. Amin

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 25 April 2022 bersamaan 23 Ramadhan 1443H

[1] https://gate.ahram.org.eg/News/3475968.aspx