Soalan
Assalamualaikum wbt. Dikatakan bahawa sekiranya malam ganjil pada 10 malam terakhir Ramadhan bertepatan dengan malam jumaat, maka malam lailatul qadr akan berlaku pada malam itu, benarkah pernyataan ini?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ القَدْرِ فِي الوِتْرِ مِنَ العَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Carilah Lailatul Qadar pada malam ganjil di sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan.”
Riwayat al-Bukhari (2017) dan Muslim (1169)
Begitu juga dalam riwayat lain daripada Abu Sa‘id al-Khudri, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي رَمَضَانَ العَشْرَ الَّتِي فِي وَسْطِ الشَّهْرِ، فَإِذَا كَانَ حِينَ يُمْسِي مِنْ عِشْرِينَ لَيْلَةً تَمْضِي وَيَسْتَقْبِلُ إِحْدَى وَعِشْرِينَ: رَجَعَ إِلَى مَسْكَنِهِ وَرَجَعَ مَنْ كَانَ يُجَاوِرُ مَعَهُ. وَأَنَّهُ أَقَامَ فِي شَهْرٍ جَاوَرَ فِيهِ اللَّيْلَةَ الَّتِي كَانَ يَرْجِعُ فِيهَا، فَخَطَبَ النَّاسَ فَأَمَرَهُمْ مَا شَاءَ اللَّهُ، ثُمَّ قَالَ: كُنْتُ أُجَاوِرُ هَذِهِ العَشْرَ، ثُمَّ قَدْ بَدَا لِي أَنْ أُجَاوِرَ هَذِهِ العَشْرَ الأَوَاخِرَ، فَمَنْ كَانَ اعْتَكَفَ مَعِي فَلْيَثْبُتْ فِي مُعْتَكَفِهِ، وَقَدْ أُرِيتُ هَذِهِ اللَّيْلَةَ ثُمَّ أُنْسِيتُهَا، فَابْتَغُوهَا فِي العَشْرِ الأَوَاخِرِ، وَابْتَغُوهَا فِي كُلِّ وِتْرٍ، وَقَدْ رَأَيْتُنِي أَسْجُدُ فِي مَاءٍ وَطِينٍ
Maksudnya: “Rasulullah beriktikaf di bulan Ramadhan pada sepuluh malam pertengahan bulan. Pada petang hari setelah dua puluh malam berlalu dan menjelang malam kedua puluh satu, Baginda kembali ke rumah dan orang-orang yang beriktikaf bersamanya juga ikut kembali (ke rumah mereka). Sesungguhnya Baginda telah meneruskan iktikaf pada malam yang biasanya Baginda akan pulang ke rumah. Baginda menyampaikan khutbah di hadapan orang ramai dan memerintahkan mereka menurut apa yang Allah kehendaki. Kemudian Baginda bersabda: ‘Aku telah melakukan iktikaf pada sepuluh malam sebelumnya pada bulan ini. Kemudian telah diperlihatkan kepadaku untuk melakukan iktikaf pada sepuluh malam yang terakhir. Sesiapa yang telah iktikaf bersamaku, hendaklah dia tetap berada di tempat iktikafnya. Sesungguhnya telah diperlihatkan kepadaku malam yang dimaksudkan itu, kemudian aku dijadikan lupa pula kepadanya. Carilah ia pada sepuluh malam yang terakhir, dan carilah ia pada setiap malam yang ganjil. Aku telah melihat diriku sujud di atas air dan tanah.’”
Riwayat al-Bukhari (2018)
Imam al-Bukhari telah meletakkan hadith-hadith ini di bawah ‘Bab Mencari Lailatul Qadar Pada Malam-malam Ganjil di Sepuluh Malam yang Terakhir,’ dalam kitab sahihnya. (Lihat Sahih al-Bukhari, 2/710)
Seterusnya, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan ketika mensyarahkan bab ini bahawa padanya terdapat isyarat kepada kecenderungannya bahawa lailatul qadar itu adalah terhad dalam bulan Ramadhan, kemudian dalam sepuluh malam terakhir daripadanya, kemudian dalam hari-hari ganjil daripadanya, bukanlah malam-malam tertentu daripadanya. Inilah sebagaimana yang ditunjukkan berdasarkan keseluruhan hadith-hadith yang menyebutkan mengenainya. (Lihat Fath al-Bari, 4/260)
Selain daripada itu, al-Lajnah al-Da’imah dalam fatwanya menyebutkan, penetapan secara khusus salah satu malam daripada malam-malam Ramadhan bahawa ia ialah malam al-Qadar (lailatul qadar) memerlukan bukti dan dalil yang menunjukkan kepada keabsahannya berbanding hari yang lain. Akan tetapi sepuluh malam ganjil yang terakhir lebih utama berbanding malam lainnya, dan malam ke-27 merupakan malam yang paling utama berbanding malam-malam lain sebagai malam al-Qadar (lailatul qadar), berdasarkan kepada hadith-hadith yang menunjukkan kepada perkara tersebut.
Hikmah disembunyikan dan dirahsiakan hari lailatul qadar secara terperinci adalah supaya orang-orang Islam semakin bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam ibadah, doa dan zikir mereka dalam sepuluh malam terakhir keseluruhannya, dan bukannya bersungguh-sungguh pada malam tertentu atau sebahagiannya sahaja. Ini adalah sebagaimana hikmah tidak ditentukan secara terperinci waktu mustajab doa pada hari Jumaat. Lebih-lebih lagi, terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ الأوَاخِرُ مِنْ رَمَضَانَ أَيْقَظَ أَهْلَهُ وَشَدَّ المِئْزَرَ وَأَحْيَا اللَّيْلَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila masuknya 10 hari terakhir dalam bulan Ramadhan, Baginda akan membangunkan ahli keluarganya (untuk mendirikan solat malam), mengetatkan ikatan kainnya dan menghidupkan malam tersebut.”
Riwayat Ibn Hibban (3436)
Begitu juga dalam riwayat lain daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِيْ العَشْرِ الأَوَاخِرِ، مَا لَا يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW sangat bersungguh-sungguh (dalam melaksanakan ibadahnya) pada sepuluh malam terakhir berbanding pada waktu lain.”
Riwayat Muslim (2009)
Kami juga mengambil kesempatan di sini mengajak semua, marilah kita sama-sama mencari dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam mendapatkan kelebihan-kelebihan dan fadhilat-fadhilat yang berbaki pada akhir-akhir Ramadhan ini, terutamanya dalam mengejar lailatul qadar. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ القَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang berqiyam pada malam al-Qadar (lailatul qadar) dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, maka akan diampunkan baginya dosa yang telah lalu.”
Riwayat al-Bukhari (1901)
Malam Ganjil 10 Terakhir Ramadhan Bertepatan Dengan Malam Jumaat
Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan daripada Ibn Hubairah, katanya:
وَإِن وَقَعَ فِي لَيْلَةِ مِنْ أَوْتَارِ الْعَشْر لَيْلَة جُمعَة ، فَهِيَ أَرْجَى مِنْ غَيْرِهَا
Maksudnya: Apabila malam ganjil (dari sepuluh hari terakhir Ramadan) jatuh pada malam Jumat, maka itu lebih diharapkan (sebagai malam Lailatul Qadar) daripada malam selainnya. (Lihat Lata’if al-Ma’arif, hlm. 203)
Namun begitu, tidak ada nas yang jelas yang boleh menguatkan pendapat ini. Kemungkinan beliau berpandangan begini dengan bersandarkan bahawa malam sebelum Jumaat adalah malam yang paling baik dalam seminggu, maka jika ia bertepatan dengan salah satu malam ganjil pada sepuluh malam terakhir Ramadhan, kemungkinan besar ia merupakan Lailatul Qadar.
Syeikh Sulaiman al-Maajid berkata dalam fatwanya ketika ditanya berkenaan hal ini, katanya: Kami tidak mengetahui sebarang dalil dalam Islam yang menunjukkan bahawa jika malam jumaat itu bertepatan dengan malam ganjil, maka ia adalah Lailatul Qadar. Justeru, kita tidak boleh secara pasti atau percaya bahawa kenyataan berkenaan hal ini adalah benar. Apa yang disyariatkan adalah bersungguh-sungguh pada sepuluh malam terakhir, kerana sesiapa yang melakukan itu pasti dia telah mengejar Lailatul Qadar.[1]
Justeru, apa yang pasti berdasarkan hadith-hadith dan juga nas bahawa Lailatul Qadar berlaku pada salah satu daripada sepuluh malam terakhir, dan berkemungkinan besar berlaku salah satu malam ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan.
Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan: Lailatul Qadar hanya boleh terjadi pada bulan Ramadhan, kemudian pada sepuluh malam terakhirnya, kemudian pada malam-malam ganjil, bukan pada malam yang boleh ditentukan secara pasti. Inilah yang ditunjukkan berdasarkan sejumlah riwayat mengenainya. (Lihat Fath al-Bari, 4/260)
Imam al-Nawawi berkata: Hadith Ubay bin Ka’b mengatakan bahawa dia pernah bersumpah bahawa malam lailatul qadar adalah malam kedua puluh tujuh, tetapi ini adalah salah satu daripada beberapa pendapat mengenainya. Kebanyakan ulama berpandangan bahawa ia adalah malam yang tidak diketahui di antara sepuluh malam terakhir Ramadhan, dan ia berkemungkinan besar pada malam ganjil, dan kemungkinan besar adalah malam kedua puluh tujuh atau malam dua puluh tiga daripada dua puluh satu, tetapi kebanyakan mereka berpandangan bahawa ia adalah malam tertentu yang tidak bergerak. Namun, sebahagian ulama berkata ia bergerak, maka pada satu tahun boleh jadi malam kedua puluh tujuh, dan pada tahun lain boleh jadi malam dua puluh tiga, dan pada tahun lain boleh jadi malam ke dua puluh satu, atau beberapa malam lain, dan ini lebih berkemungkinan dan lebih tepat. Dengan cara ini kita boleh memurnikan antara hadith-hadith yang berbeza mengenai lailatul qadar.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa jika malam ganjil pada 10 malam terakhir Ramadhan bertepatan dengan malam jumaat, ia merupakan kemungkinan dengan sangkaan dan harapan bahawa malam tersebut merupakan malam lailatul qadar dan ia bukanlah secara pasti. Sangkaan dan harapan ini berkemungkinan kerana terkumpulnya kebaikan pada hari jumaat yang merupakan penghulu hari dalam seminggu, namun begitu tidak ada nas yang qat’ie yang menyatakan bahawa malam lailatul qadar akan berlaku pada malam jumaat.
Justeru, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan kita pada penghujung bulan Ramadhan yang berbaki ini. marilah kita sama-sama mencari dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam mendapatkan kelebihan-kelebihan dan fadhilat-fadhilat yang berbaki pada akhir-akhir Ramadhan ini, terutamanya dalam mengejar lailatul qadar.
Selain itu jangan biarkan satu malam pun daripada sepuluh malam terakhir ini yang diabaikan. Jika tidak mampu untuk menghidupkan malam tersebut secara keseluruhannya, sekurangnya-kurangnya berusahalah untuk menghidupkan sebahagiannya dengan perkara ketaatan dan ibadah seperti qiamullail, berzikir, beristighfar, bersedekah dan lain-lain. Paling kurang pastikan solat fardhu dilaksanakan secara berjemaah. Mengenai hal ini, Ibn Rajab ada menyebutkan dalam kitabnya, sebahagian ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i menukilkan daripada Ibn Abbas bahawa untuk menghidupkan malam adalah dengan menunaikan solat Isyak secara berjemaah, kemudian berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah. Di samping itu, diriwayatkan dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah secara marfu‘, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ الْآخِرَةَ فِي جَمَاعَةٍ فِي رَمَضَانَ فَقَدْ أَدْرَكَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat Isyak pada (malam-malam) terakhir pada bulan Ramadhan, maka dia telah meraih lailatul qadar.”
Kemudian, Ibn Rajab menyebutkan, hadith di atas dilaporkan oleh Abu al-Syeikh al-Asbahani dan Abu Musa al-Madini juga meriwayatkan hadith ini melalui jalur riwayatnya. Selain itu, disebutkan bahawasanya beliau (Abu Musa al-Madini) ada meriwayatkan dengan jalur lain daripada Abu Hurairah hadith seumpamanya. Selain daripada itu, hadith ini juga diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib, namun sanadnya tersangat lemah. (Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 185)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 28 April 2022 bersamaan 26 Ramadhan 1443H
[1] Lihat http://www.salmajed.com/fatwa/findfatawa.php?arno=9880 . Diakses pada 28 April 2022