#1035: Dukung Anak Yang Terdapat Najis Pada Lampin Ketika Solat

Soalan

Apakah dibolehkan untuk solat dalam keadaan mendukung anak yang lampinnya terdapat najis?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Ibu Bapa merupakan individu yang bertanggungjawab dalam memberikan pendidikan awal pada usia kanak-kanak dan ia memberi pengaruh yang amat besar di dalam pembentukan diri seseorang. Oleh sebab itu, Nabi SAW telah memerintahkan para ibu bapa mendidik anak-anak mereka untuk mendirikan solat bermula umur 7 tahun. Baginda SAW bersabda:

مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُم أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِينَ

Maksudnya: Suruhlah (didiklah) anak-anakmu dengan solat ketika mereka berumur 7 tahun, pukullah mereka jika tidak menunaikan solat ketika berumur 10 tahun.”

Riwayat Abu Dawud (495), al-Tirmizi (407) dan Ahmad (2/187). Imam al-Tirmizi menyatakan: Hadith Hasan Sahih

Berkenaan solat dalam keadaan mendukung anak, perkara ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika baginda mendukung cucu baginda yang bernama Umamah sebagaimana riwayat daripada Abi Qatadah Al-Ansari RA, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُصَلِّي وَهْوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَلأَبِي الْعَاصِ بْنِ رَبِيعَةَ بْنِ عَبْدِ شَمْسٍ، فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا، وَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah menunaikan solat dalam keadaan baginda memikul/mendukung Umamah Binti Zainab Binti Rasulillah S.A.W, dan dia merupakan anak kepada Abu Al-‘Ash bin Rabi’ah bin ‘Abd Syams. Apabila baginda sujud, baginda meletakkannya. Dan apabila baginda berdiri, baginda mendukungnya.

Riwayat Al-Bukhari (516) dan Muslim (543)

Dalam lafaz atau riwayat lain, Abu Qatadah berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَؤُمُّ النَّاسَ وَهُوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ أَبِي الْعَاصِ عَلَى عَاتِقِهِ فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنْ سُجُودِهِ أَعَادَهَا

Maksudnya: Aku melihat Rasulullah SAW menjadi imam kepada orang ramai dalam keadaan beliau mendukung Umamah binti Abi Al ‘Ash di atas tengkuk baginda. Apabila baginda rukuk, baginda meletakkannya dan apabila baginda bangun baginda mengangkatnya semula.

Riwayat Al-Nasai (827)

Berdasarkan hadith di atas, kami melihat betapa tingginya sifat rahmat dan kasih sayang baginda SAW kepada cucu, kaum keluarga, serta anak-anak kecil. Ini yang dibawakan oleh Rasulullah dengan sifat baginda selaku rahmatan lil ‘alamin iaitu rahmat bagi sekalian alam.

Ibn Hajar al-Asqalani dalam mensyarahkan hadith ini berkata: Hadith ini menunjukkan akan keharusan membawa kanak-kanak masuk ke dalam masjid. Demikian juga harus menyentuh kanak-kanak kecil dan ia tidak memberi kesan kepada taharah (kesucian). Begitu juga sahnya solat bagi sesiapa yang memikul anak Adam, dan juga haiwan yang suci. (Lihat Fath Al-Bari, 1/703)

Imam al-Nawawi di dalam syarahnya menyebutkan: Pada hadith ini terdapatnya dalil bahawa sahnya solat seseorang yang memikul anak Adam, atau haiwan yang suci seperti burung ataupun kambing dan selainnya. Selain itu, pakaian dan jasad anak-anak kecil adalah bersih sehinggalah dikenalpasti kenajisannya. Dan sesungguhnya perbuatan atau pergerakan yang sedikit itu tidak membatalkan solat, serta pergerakan itu sekiranya dilakukan berkali-kali akan tetapi tidak secara berturutan, bahkan dilakukan secara berpisah (berasingan) tidak membatalkan solat. Dan pada hadith ini juga terdapat petunjuk akan sifat tawadhu’ bersama dengan kanak-kanak dan keseluruhan golongan yang lemah, menyayangi mereka serta saling berlemah lembut kepada mereka.

Menurut mazhab Imam Al-Syafie, hadith ini menjadi dalil bahawa dibolehkan untuk memikul kanak-kanak kecil baik lelaki atau perempuan, dan juga haiwan yang suci di dalam solat fardhu dan juga solat sunat. Ia boleh dilakukan oleh imam dan juga makmum, serta orang yang solat sendirian. (Lihat Syarh al-Nawawi ala Sahih Muslim, 5/198)

Ibn Rejab di dalam syarahnya bagi Sahih al-Bukhari berkata: “Gabungan riwayat-riwayat ini menunjukkan bahawa Nabi SAW memulakan solat sebagai imam dalam solat wajib dalam keadaan baginda mendukung Umamah, dan bahawa baginda ketika ruku’ dan sujud, baginda meletakkannya di tanah. Apabila baginda bangun ke rakaat kedua, baginda mendukungnya lagi, demikianlah sehingga baginda menyelesaikan solat. Dan hadith ini merupakan nas yang jelas mengenai harusnya melakukan perbuatan ini di dalam solat wajib, dan bahawa perbuatan itu tidak dibenci, lebih-lebih lagi untuk menyatakan perbuatan itu membatalkan solat.” (Lihat Fath al-Bari li Ibn Rejab,  3/361)

Ibnu Rejab menukilkan bahawa al-Jauzajaniy berkata dalam kitabnya al-Tarjumah: Ismail bin Sa’id mengkhabarkan kepadaku: aku bertanya kepada Ahmad bin Hanbal tentang orang yang mendukung anak kecil dan meletakkannya dalam solat, sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW. Maka beliau menjawab: “Dibolehkan untuk dilakukan di dalam solat.” Beliau kemudiannya menukilakan bahawa Ibn al-Mundzir menceritakan daripada Imam al-Syafi’ie dan Abu Thaur tentang bolehnya mendukung anak ketika solat fardhu.” (Ibid)

Antara hikmah-hikmah daripada perbuatan ini ialah, Nabi SAW ingin mengajarkan kebenaran, mengingkari kekeliruan, dan juga menolak sangkaan yang salah mengenainya.

Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari menukilkan kata al-Fakihaniy katanya: “Rahsia baginda mendukung Umamah dalam solat adalah untuk menolak adat pada ketika itu yang sudah sebati dengan orang arab yang membenci anak perempuan ataupun mendukungnya. Maka baginda menyelisihi mereka dalam adat ini sehingga di dalam solat dalam menjelaskan bantahan terhadap adat mereka. Dan penjelasan dengan perbuatan itu kadang-kadang lebih kuat berbanding dengan ucapan.” (Lihat Fath al-Bari, 1/592)

Solat dalam keadaan Mendukung Anak Yang Terdapat Najis di Dalam Lampinnya

Ibn Rejab di dalam syarahnya untuk Sahih al-Bukhari berkata: “Hadith Nabi SAW mendukung Umamah ketika solat merupakan dalil bahawa sucinya baju anak kecil. Hal ini kerana sekiranya telah ditetapkan kenajisannya pasti baginda tidak akan solat dalam keadaan mendukung Umamah. Imam al-Syafi’ie dan yang lain-lainnya telah menetapkan akan kesucian baju anak-anak kecil.” (Lihat Fath al-Bari Li Ibn Rejab, 3/363)

Syeikh Syams al-Haq ‘Azim Abadi berkata: “ Hadith ini merupakan dalil bahawa baju anak kecil dan badan mereka itu suci selagi belum diketahui kenajisannya. Dan dalam hadith ini juga menjadi dalil bahawa amalan sedikit itu tidak membatalkan solat. Hadith ini juga merupakan dalil bahawa bolehnya anak kecil masuk ke dalam masjid.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 3/133)

Berkenaan mendukung anak di dalam solat, jika dia mengetahui bahawa anaknya itu sedang menanggung najis, maka tidak sah solat dalam keadaan mendukungnya. Hal ini kerana syarat sah solat ialah suci daripada hadas dan najis. Namun begitu, sekiranya dia tidak mengetahui bahawa anaknya sedang menanggung najis, maka pada asalnya anaknya itu kekal suci dan boleh untuk mendukungnya sebagaimana hadith Nabi SAW mendukung Umamah.

Al-Syaukani di dalam Nail al-Autar menyatakan: Pada zahirnya, pakaian itu bersih selagi mana tidak terdapat najis padanya seperti kanak-kanak. (Lihat Nail al-Autar, 2/143)

Mantan Mufti Besar Arab Saudi ketika ditanya berkenaan isu ini, maka jawab beliau: Jika dia mengetahui bahawa anaknya itu menanggung najis, maka dia tidak boleh mendukungnya ketika solat. Manakala jika dia berada dalam keadaan bersih, maka tidak mengapa. Hal ini kerana telah thabit bahawa Rasulullah SAW solat dalam keadaan mendukung cucu baginda bernama Umamah (anak perempuan Zainab), dan baginda solat sedemikian dan dilihat oleh orang ramai. Apabila baginda sujud, baginda meletakkannya dan apabila baginda bangun, baginda mendukungnya. Para ulama’ mengatakan bahawa kemunginan baginda mendukungnya dalam keadaan bersih dan suci. Dan sebagai langkah berhati-hati ialah dengan tidak mendukungnya ketika solat kecuali dalam diketahui bahawa anaknya itu berada dalam keadaan bersih dan suci. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 7/314)

Kesimpulan

Justeru, sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa jika seseorang itu solat dalam keadaan mendukung anaknya dan mengetahui bahawa anaknya itu sedang menanggung najis ataupun di dalam lampinnya terdapat najis, maka tidak sah solat dalam keadaan mendukungnya. Hal ini kerana syarat sah solat ialah suci daripada hadas dan najis. Namun begitu, sekiranya dia tidak mengetahui bahawa anaknya sedang menanggung najis, maka pada asalnya anaknya itu kekal suci dan boleh untuk mendukungnya ketika dalam solat sebagaimana hujjah yang kami kemukakan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 28 April 2022 bersamaan 26 Ramadhan 1443H