#1039 Kelebihan Dan Hikmah Puasa 6 Hari Syawal

Soalan

Apakah hikmah galakan berpuasa 6 hari pada bulan syawal?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Apabila tibanya Syawal, antara amalan sunat yang boleh dilakukan ialah dengan melakukan ibadah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Hal ini sebagaimana hadith yang menyebutkan mengenai kelebihan berpuasa 6 hari di bulan Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan riwayat daripada Abu Ayub al-Ansari RA, Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.

Riwayat Muslim (1164)

Imam al-Nawawi di dalam syarahya menyebutkan: hadith ini menjadi dalil bagi mazhab Syafi’e, Hanbali dan juga Dawud al-Zahiri bahawa disunatkan untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal manakala fadhilat seumpama berpuasa sepanjang tahun adalah berdasarkan hadith Nabi SAW yang lain yang mana menyebutkan bahawa setiap kebaikan itu dibalas dengan 10 kali ganda (أَنَّ الْحَسَنَةَ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا) (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/56)

Pahala berpuasa sepanjang tahun diibaratkan dengan setiap amalan kebaikan digandakan dengan 10 dan ini bermakna 30 hari pada bulan Ramadhan digandakan dengan 10 kebaikan bersamaan 300 dan puasa sunat syawal 6 hari bergandaan dengan  10 kebaikan bersamaan 60. Ini menjadikan jumlahnya 360 dan daripada perkiraan inilah dikatakan seumpama berpuasa sepanjang tahun  (mengikut kiraan hijriyyah).

Hikmah Digalakkan berpuasa 6 hari pada bulan Syawal

Ibn Rejab al-Hanbali di dalam kitabnya Lataif al-Ma’arif (Lihat Lataif al-Ma’arif, hlm. 220-222) menyatakan antara kelebihan dan hikmah digalakkan untuk berpuasa 6 hari pada bulan syawal ialah:

  1. Menyempurnakan pahala setahun sebagaimana yang terdapat di dalam nas.
  2. Menyempurnakan apa yang kurang dan tidak sempurna

Puasa Syaaban dan Syawal seperti solat sunat sebelum dan sesudah solat fardhu, menyempurnakan apa yang kurang dan tidak sempurna dalam perkara yang fardhu. Adapun perkara fardu disempurnakan dengan perkara sunat pada hari kiamat nanti seperti yang disebutkan oleh Nabi SAW dalam banyak riwayat. Kebanyakan manusia mempunyai kekurangan pada puasa fardhunya, maka amalannya perlu disempurnakan dengan amalan sunat. Oleh sebab itu, Nabi SAW melarang lelaki yang berkata, “Aku telah berpuasa penuh pada bulan Ramadan dan aku telah bangun sepanjang malam.” Riwayat Abu Dawud (2415), al-Nasaie (2109), dan Ahmad (20406) Abu Bakrah RA berkata, “Maka aku tidak tahu, adakah Rasulullah tidak suka pujian kepada diri atau atau seseorang itu mesti dalam kelalaian?”

Adapun Umar bin Abd Aziz berkata, “Sesiapa yang tidak menjumpai sesuatu untuk disedekahkan, maka berpuasalah.” laitu sesiapa yang tidak mempunyai sesuatu untuk disedekahkan pada akhir Ramadhan, maka berpuasalah selepas Aidilfitri kerana puasa menghapus dosa, sepertimana ia adalah kafarah kepada sumpah dan kafarah-kafarah lain seperti bunuh, bersetubuh pada siang hari di bulan Ramadan dan zihar.

  1. Tanda kepada penerimaan puasa Ramadhan

Sesungguhnya berpuasa selepas puasa Ramadan ialah tanda kepada penerimaan puasa Ramadan kerana jika Allah SWT menerima amal soleh seseorang, maka Dia memudahkan orang itu melakukan amalan soleh yang lain. Seperti sebahagian ulama berkata, “Pahala bagi sesuatu kebaikan adalah kebaikan yang dilakukan sesudahnya.” Sesiapa yang beramal dengan amalan baik dan kemudian dia melakukan satu lagi amalan baik, maka itu ialah penerimaan amalan baik yang pertama. Sepertimana jika seseorang melakukan kebaikan kemudian dia melakukan kejahatan, maka itu ialah tanda amalan baiknya yang tadi tidak diterima.

  1. Memastikan keampunan

Berpuasa di bulan Ramadhan memastikan keampunan bagi dosa-dosanya yang telah lepas. Orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan juga dikurniakan ganjaran pahalanya pada hari Aidilfitri, ia adalah hari penganugerahan. Maka, berpuasa selepas Aidilfitri ialah tanda bersyukur dengan nikmat-Nya. Tiada nikmat yang lebih besar daripada nikmat pengampunan dosa. Adapun Nabi SAW bangun solat sehingga bengkak kaki baginda, maka dikatakan kepadanya, “Kenapa kamu melakukan ini sedangkan Allah telah memaafkan dosa kamu sebelum dan selepas?” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Adakah aku tidak boleh menjadi hamba yang bersyukur?”

Riwayat al-Bukhari (1130) dan Muslim (2819)

Kesyukuran hamba itu kepada Rab atas taufik-Nya dan pertolongan daripada Allah untuk berpuasa pada bulan Ramadan, dan mengampunkan dosanya, lantas hamba itu berpuasa sebagai tanda kesyukuran kepada-Nya. Para salaf, jika mereka diberi taufik untuk beribadah pada malam hari, mereka akan berpuasa pada siangnya, dan menjadikan puasa itu sebagai tanda kesyukuran kepada taufik-Nya untuk bangun malam.

  1. Mendekatkan diri hamba dengan Allah SWT

Sesungguhnya amalan yang mendekatkan diri hamba dengan Allah tidak terputus walaupun Ramadhan telah berlalu, akan tetapi berterusan selagi nyawa dikandung badan. Inilah maksud hadith terdahulu yang mengatakan bahawa puasa pada bulan Ramadhan itu, umpama seseorang yang berundur dari medan jihad di jalan Allah kemudian dia kembali semula selepas mendapat kekuatan.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, marilah sama-sama kita meneruskan amal-amal soleh kita pada bulan Ramadhan dengan berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal sebagaimana yang dinyatakan kelebihannya di dalam riwayat yang sahih.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 16 Mei 2022 bersamaan 15 Syawal 1443H