#1047 Murajaah Surah yang Dihafal dengan Membaca Ayat-ayatnya secara Terbalik

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Bolehkah saya mengulang (murajaah) surah-surah tertentu yang dihafal dengan susunan ayat yang terbalik yakni membacanya daripada ayat yang terakhir kepada ayat yang terawal? Hal ini adalah bertujuan bagi menguatkan lagi ingatan surah-surah yang dihafal.Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, membaca al-Quran termasuk dalam ibadah. Pada setiap ayat dan kalimatnya ada pahala dan ganjaran buat sesiapa yang membacanya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

منْ قرأَ حرفًا من كتابِ اللهِ فله به حسنةٌ، والحسنةُ بعشرِ أمثالِها لا أقولُ: آلم حرفٌ، ولكنْ ألِفٌ حرفٌ وميمٌ حرفٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran), maka baginya satu kebaikan (pahala). Dan satu kebaikan itu dilipat gandakan menjadi sepuluh kebaikan semisalnya. Tidaklah aku mengatakan: Alif, lam, mim itu satu huruf, akan tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf.”[1]

Begitu juga terdapat riwayat daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.[2]

Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia.[3]

Selain daripada itu, menghafal al-Quran merupakan suatu perkara yang mulia yang mendapat ganjaran yang sangat besar kerana menjaga kalamullah. Malah, menghafal al-Quran secara keseluruhan hukumnya ialah fardhu kifayah dan sunat ‘ain, iaitu sunat bagi setiap Muslim.[4] Seterusnya menjadi kewajipan setiap mereka yang menghafal ayat-ayat al-Quran untuk memelihara dan menjaganya daripada terlupa dengan selalu murajaah serta mengulang-ngulang membacanya. Terdapat riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اسْتَذْكِرُوا الْقُرْآنَ فَلَهُوَ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنْ صُدُورِ الرِّجَالِ مِنْ النَّعَمِ بِعُقُلِهَا

Maksudnya: “Ingat-ingatlah (mengulang-ulang) al-Quran, kerana ia lebih cepat hilangnya daripada dada seseorang, daripada unta yang terlepas daripada ikatannya.”[5]

Pada permulaan hadith ini terdapatnya larangan daripada berkata:

بِئْسَمَا لِأَحَدِهِمْ يَقُولُ: نَسِيتُ آيَةَ كَيْتَ وَكَيْتَ، بَلْ هُوَ نُسِّيَ

Maksudnya: “Alangkah buruknya seseorang apabila dia berkata, ‘Aku telah lupa ayat ini dan itu,’ bahkan (sebenarnya) dia telah dilupakan.”

Imam al-Nawawi ketika mengulas hadith tersebut menyebutkan, seseorang yang berkata, “Aku telah lupa ayat ini dan itu,” hukumnya adalah makruh tanzih dan tidak menjadi makruh sekiranya dia berkata, “Aku telah dilupakan.” Kata-kata tersebut dilarang kerana perkataannya itu seolah-olah mengandungi pengakuan terhadap kesalahannya (yakni kelupaan itu), adalah berpunca daripada dirinya sendiri disebabkan oleh kelalaiannya dan sikap bermudah-mudah terhadap ayat-ayat al-Quran — yakni tidak mengulang atau murajaah ayat-ayat al-Quran yang dihafal.[6] Menurut al-Qurtubi pula, lafaz ‘nussiya’ bermakna dia telah dihukum dengan lupa pada ayat-ayat al-Quran — yang pernah dihafal — disebabkan oleh kecuaiannya dalam menjaga ayat-ayat tersebut dan mengulangnya.[7]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, membaca surah dengan susunan ayatnya secara terbalik, yakni dimulakan dengan ayat terakhir kepada ayat terawal hukumnya adalah sangat dilarang. Tidak kira surah-surah tertentu yang dibaca itu pendek mahupun panjang. Perkara ini jelas disebutkan oleh Imam al-Nawawi dan dinukilkan juga oleh al-Zurqani mengenainya bahawa pembacaan suatu surah daripada ayatnya yang terakhir kepada ayatnya yang terawal adalah sangat dilarang kerana ia menghilangkan sebahagian daripada kemukjizatan al-Quran dan hikmah susunan tertib ayat-ayat.[8]

Lebih-lebih lagi, umat Islam telah menyatakan ijma’ bahawa tertib sunanan ayat-ayat al-Quran sebagaimana yang terdapat dalam mashaf pada hari ini adalah bersifat tauqifi daripada Nabi SAW dan tidak ada ruang dalam hal tersebut untuk berijtihad. Bahkan Jibril A.S ketika menurunkan ayat-ayat al-Quran kepada Baginda SAW, turut menjelaskan atau menunjukkan kepada Baginda kedudukan ayat-ayat tersebut dalam surah-surahnya. Seterusnya Nabi SAW membacakan pula ayat-ayat tersebut kepada para sahabatnya dan memerintahkan pula para penulis wahyu untuk menulisnya dengan menunjukkan kepada mereka ayat-ayat itu dalam surah yang mana serta kedudukannya. Kesemuanya adalah sebagaimana susunan ayat-ayat yang kita lihat dalam mashaf pada hari ini.

Tambahan lagi, semua sahabat yang menghafaz al-Quran atau mereka yang menghafaz sebahagian daripadanya, juga menghafaznya mengikut susunan tertib ayat-ayat sebagaimana yang kita ketahui dan tidak ada seorang pun daripada kalangan mereka, mahupun khulafa’ al-Rasyidin yang menyelisihinya.[9] Di samping itu, terdapat banyak nas yang menyokong ijma’ ini. Di antaranya, riwayat daripada ‘Uthman bin Abu al-‘As al-Thaqafi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَتاني جِبريلُ، فأمَرَني أنْ أضَعَ هذه الآيةَ بهذا الموضِعِ من هذه السورةِ: {إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ والْإِحْسانِ وَإِيتاءِ ذِي الْقُرْبى وَيَنْهى عَنِ الْفَحْشاءِ والْمُنْكَرِ والْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ}

Maksudnya:Jibril A.S datang menemuiku dan menyuruhku agar meletakkan ayat ini di tempat ini daripada surah ini (firman Allah SWT yang bermaksud): ‘Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.’[10]

Selain daripada itu, susunan tertib ayat-ayat al-Quran juga maknanya saling berkait antara satu sama lain. Oleh sebab itu, para ulama terdahulu berpendapat bahawa membaca satu surah secara sempurna (lengkap) adalah lebih baik berbanding membaca sebahagiannya sahaja kerana ia lebih selamat dan berhati-hati dalam menjaga perkaitan dan topik yang dibawakan di dalam ayat-ayat al-Quran sebagaimana yang difahami menerusi kata-kata Imam al-Nawawi.[11] Justeru,  membacanya secara terbalik atau tidak mengikut susunan tertib ayat-ayatnya, pasti akan menyebabkan maknanya tidak lagi tepat dan menyeluruh sebagaimana yang dikehendaki pada asalnya, bahkan mungkin tersasar.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa membaca suatu surah daripada al-Quran mengikut susunan ayat-ayatnya secara terbalik adalah dilarang dan haram melakukannya kerana ia akan menghilangkan sebahagian daripada kemukjizatan al-Quran serta hikmah susunan tertib ayat-ayatnya. Justeru, sebaiknya mengulanglah bacaan ayat-ayat al-Quran mengikut susunan tertib ayat-ayatnya bagi memelihara kemukjizatan al-Quran dan makna-maknanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25 Mei 2022 bersamaan 24 Syawal 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Riwayat al-Tirmizi (2910)

[2] Riwayat Muslim (817); riwayat Ibn Majah (218); riwayat Ibn Hibban (772)

[3] Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin oleh Faisal bin ‘Abd al-‘Aziz al-Mubarak, hlm. 581

[4] Lihat Radd al-Muhkhtar wa Hasyiyah Ibn Abidin, 1/538.

[5] Riwayat al-Bukhari (5032); Muslim (790); al-Nasa’i (943)

[6] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/76; al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim, 2/391.

[7] Lihat Fath al-Bari oleh Hajar al-‘Asqalani, 9/80.

[8] Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 99; Manahil al-‘Irfan fi ‘Ulum al-Quran, 1/359.

[9] Lihat Manahil al-‘Irfan fi ‘Ulum al-Quran, 1/346-347.

[10] Surah al-Nahl: 90

[11] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/174.