#1054 Gabung Puasa Qadha’ Ramadhan Bersama Dengan Puasa Sunat Yang Dituntut

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan tentang hukum menggabungkan Puasa Sunat dengan Puasa Qadha’? Ini kerana sebahagian ulama menyatakan bahawa yang memberi pandangan boleh itu hanyalah Imam al-Nasa’i sahaja. Benarkah di sana terdapat juga ulama-ulama lain yang membolehkannya, kerana saya dengar dalam beberapa sumber banyak khilaf sangat dalam isu ini. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Permasalahan ini dikenali dalam kalangan ahli ilmu dengan tasyrik atau tadakhul (menggabungkan atau saling memasukkan) antara ibadah. Ia terdapat dalam banyak bentuk. Antaranya menggabungkan antara yang wajib dan sunat dengan satu niat. Sesiapa yang berniat (amalan) sunat, tidak diterima untuk yang wajib. Sesiapa yang berpuasa dengan niat ‘Asyura’, tidak diterima untuk mengqadha’ Ramadhan. Sesiapa yang berniat qadha’ Ramadhan, dan berlaku pada hari ‘Asyura’, maka qadha’nya sah dan semoga memperoleh pahala ‘Asyura’ menurut sebahagian ahli ilmu.

Sebelum membahaskan perkara ini, terdapat dalam kalangan ulama yang membezakan di antara menggabungkan niat puasa qadha’ Ramadhan dengan puasa sunat selain enam Syawal dan menggabungkan niat puasa qadha’ Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal.

 Menggabungkan Niat Puasa Qadha’ dengan Puasa Sunat Selain Enam Syawal

Berkenaan dengan hal ini, Ibn Rajab menyebutkan dalam Lata’if al-Ma‘arif bahawa Umar R.A dan Ali R.A pernah berselisih pandangan tentang isu menggantikan puasa Ramadan dalam 10 hari terawal Zulhijjah. Umar menggalakkannya kerana keistimewaan dan kelebihan hari-harinya, maka jadilah puasa ganti dalam bulan Ramadan itu lebih afdhal berbanding jika dilakukan dalam tempoh 10 hari yang lain. Hal ini menunjukkan bahawa amalan fardhu dilipat gandakan pahalanya ke atas amalan sunat dalam tempoh 10 hari tersebut. Sedangkan Ali melarang perkara sedemikian, dan terdapat dua riwayat daripada Imam Ahmad dalam hal ini. Alasan kepada pandangan Ali ialah puasa qadha’ dalam 10 hari tersebut menyebabkan hilangnya kelebihan waktu berpuasa sunat padanya. Begitu juga alasan yang digunakan oleh Imam Ahmad dan ulama selainnya. Terdapat juga dalam kalangan ulama yang berpendapat bahawa jika seseorang itu berpuasa qadha’ pada hari tersebut, maka dia akan mendapat pahala puasa sunat padanya.[1]

Selain daripada itu, Syams al-Din al-Ramli menyebutkan, sekiranya seseorang berpuasa pada bulan Syawal (dengan niat) untuk puasa qadha’, nazar atau selain keduanya, atau dia berpuasa pada hari ‘Asyura’ (dengan niat puasa qadha’ atau nazar), maka dia memperoleh pahala sunat itu. Inilah sebagaimana difatwakan oleh bapa saya Rahimahullah dengan mengikut pandangan al-Barizi, al-Asfuni, al-Nasyiri, al-Faqih Ali bin Soleh al-Hadrami dan selain mereka. Akan tetapi, dia tidak memperoleh pahala yang sempurna sebagaimana yang dituntut, terutama bagi orang yang beberapa hari tidak berpuasa Ramadhan, dan lalu dia mengqadha’nya pada bulan Syawal.[2]

Begitu juga al-Suyuti menyatakan, seseorang yang berpuasa pada hari ‘Arafah, seperti (dengan niat puasa) qadha’, nazar, atau kaffarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari ‘Arafah, maka al-Barizi telah memfatwakan bahawa sah puasanya itu dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Katanya lagi: Begitu juga halnya sekiranya dia ithlaqkan — yakni tidak mengkhususkan niat pada mana-mana puasa — maka masalah tersebut mengikut masalah solat tahiyyatul masjid.

Meskipun begitu, al-Isnawi berpendapat, perkara ini adalah tertolak dan qiyas yang dilakukan tidak sah dalam menggambarkan perkongsian satu daripada keduanya. Beliau berpendapat, apa yang terhasil adalah yang fardhu sahaja dalam gambaran ithlaq.[3]

Tambahan lagi, al-Mardawi dalam kitabnya al-Insaf telah memilih pendapat yang menyatakan bahawa tidak makruh untuk melaksanakan puasa qadha’ dalam 10 hari terawal Zulhijjah.[4]

Selain itu, al-Buhuti juga ada menyebutkan, tidak makruh mengqadha’kan puasa dalam sepuluh hari terawal Zulhijjah kerana hari-hari itu ialah hari-hari ibadah, maka tidak makruh untuk mengqadha’kan puasa di dalamnya sebagaimana sepuluh hari Muharram. Malah, terdapat riwayat daripada Umar R.A bahawa beliau menggalakkan untuk mengqadha’kan puasa pada hari-hari tersebut.[5]

Di samping itu, Muhammad bin Soleh al-Uthaimin dalam syarahannya terhadap kitab Zad al-Mustaqni‘, ketika menjawab mengenai persoalan adakah boleh melakukan puasa lain sebelum puasa qadha’ dan adakah puasa itu dikira sah? Beliau menyebutkan, sekiranya puasa itu ialah puasa wajib seperti fidyah dan kaffarah, maka tidak mengapa. Namun, jika puasa itu ialah puasa sunat, maka mazhab (yakni mazhab Hanbali) berpendapat, tidak sah puasa sunat sebelum puasa qadha’ dan pelakunya dianggap berdosa. Mereka berdalilkan bahawa puasa sunat tidak boleh ditunaikan sebelum (diselesaikan terlebih dahulu) puasa wajib.

Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian ulama berpendapat, ia adalah dibolehkan (yakni melakukan puasa sunat sebelum puasa wajib — qadha’) selagi mana waktunya tidak sempit. Mereka menyebutkan, selagi mana waktunya masih luas maka diharuskan baginya untuk melakukan perkara-perkara sunat sebagaimana seseorang yang melakukan solat sunat sebelum mendirikan solat fardhu dalam keadaan waktunya yang masih luas. Contohnya, waktu Zuhur bermula daripada gelincir matahari dan berakhir apabila bayang setiap objek sama panjang dengan okjek tersebut. Justeru, sepanjang tempoh tersebut dibolehkan baginya untuk melakukan perkara-perkara sunat kerana waktu masih luas. Inilah pendapat yang lebih kuat dan lebih dekat dengan kebenaran, yakni puasanya adalah dikira sah dan pelakunya tidak dianggap berdosa kerana qiyas dalam hal ini adalah jelas.

Kemudian, timbul persoalan, manakah yang lebih baik; antara memulakan puasa sunat itu terlebih dahulu atau memulakan dengan puasa qadha’ dahulu? Maka, beliau menjawab, perkara yang lebih baik adalah dia memulakan dengan puasa qadha’ terlebih dahulu, sehinggakan jika seseorang itu berada dalam 10 hari pertama bulan Zulhijjah atau hari ‘Arafah, maka kami katakan, “Lakukanlah puasa qadha’ pada hari-hari tersebut.” Hal ini kerana boleh jadi kamu akan memperoleh pahala puasa qadha’ dan pahala puasa sunat pada hari-hari tersebut. Manakala bagi sesiapa yang berpegang mesti menyelesaikan puasa wajib dahulu kerana ganjaran puasa pada hari-hari tersebut tidak dapat diperoleh bersama puasa qadha’. Justeru, puasa qadha’ adalah lebih utama untuk didahulukan berbanding mendahulukan puasa sunat.

Seterusnya beliau juga ada mengulas atau menjawab berkenaan jawapan yang diberikan oleh para ashab (yakni ulama mazhab Hanbali) dengan menyebutkan, waktu puasa wajib (qadha’) dalam keadaan ini adalah luas. Justeru, tidak wajib ke atas seseorang itu untuk melakukannya sekarang sehingga dikatakan kepadanya telah meninggalkan perkara yang fardhu (wajib). Bahkan kewajipan itu tetap berada dalam tanggungannya dalam tempoh yang telah diberikan oleh Allah SWT — sehinggalah diselesaikan. Oleh itu, jika dia melakukan puasa sunat (dalam tempoh tersebut sebelum puasa qadha’), maka tidak mengapa.[6]

Selain daripada itu, dalam kitabnya yang lain, beliau ada menyebutkan, sesiapa yang melakukan puasa sunat hari ‘Arafah, atau puasa sunat hari ‘Asyura’, sedangkan dia masih (dalam keadaaan) mempunyai tanggungan qadha’ Ramadhan, maka puasanya sah. Akan tetapi, jika dia niatkan puasa pada hari ‘Arafah (atau puasa hari ‘Asyura’) untuk puasa qadha’ Ramadhan, maka dia memperoleh dua ganjaran pahala, iaitu: Pahala puasa hari ‘Arafah, atau pahala puasa ‘Asyura’ berserta dengan pahala puasa Qadha’.

Perkara ini adalah berdasarkan kepada puasa sunat secara umumnya, yang tidak terikat dengan Ramadhan. Adapun puasa enam hari Syawal, maka ia terikat dengan Ramadhan. Oleh itu, pahalanya tidak didapati melainkan setelah dia mengqadha’nya. Jika dia berpuasa sunat enam hari Syawal, sebelum mengqadha’kan puasa Ramadhan, maka dia tidak memperoleh pahala puasa sunat tersebut. Hal ini berdasarkan kepada hadith,  Nabi SAW bersabda:

مَن صَامَ رمَضَانَ ثمَّ أتبَعَهُ بسِتٍّ مِن شوّالٍ، فكأنَّما صَامَ الدَّهْرَ

Maksudnya:Sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikuti dengan enam hari Syawal, maka dia bagaikan berpuasa setahun.[7]

Begitu juga sebagaimana yang diketahui bahawa orang yang masih mempunyai puasa qadha’, maka dia belum lagi dianggap berpuasa Ramadhan sehinggalah dia menyempurnakan qadha’nya itu. [8]

Tambahan pula dalam Fatwa Nur ‘ala al-Darb, tatkala membahaskan puasa qadha’ dan kaitannya dengan puasa sunat, beliau menyebutkan, jika seseorang hendak berpuasa wajib (qadha’), bertepatan dengan (hari) puasa sunat, seperti puasa 10 hari pertama Zulhijjah, puasa ‘Arafah, atau puasa ‘Asyura’, sekali gus berserta puasa wajib, maka kami berharap dia memperoleh ganjaran pahala puasa wajib dan puasa sunat. Hal ini berdasarkan makna umum daripada sabda Rasulullah SAW ketika Baginda ditanya tentang puasa ‘Arafah, Baginda bersabda:

أحْتَسِبُ على اللهِ أنْ يُكَفِّرَ السنَةَ التي قَبلَهُ، والسنَةَ التي بَعدَهُ

Maksudnya:Aku berharap kepada Allah, agar puasa ini menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.”[9]

Oleh kerana itu, aku berharap Allah SWT memberikan dua ganjaran pahala kepadanya, iaitu pahala wajib dan pahala sunat. Meskipun begitu, afdhalnya, dia hendaklah melaksanakan puasa wajib dalam satu hari dan melaksanakan puasa sunat dalam hari yang lain.[10]

Hal yang sama juga difatwakan oleh al-Lajnah al-Da’imah ketika ditanya berkenaan isu menggabungkan niat puasa sunat dan puasa wajib, mereka menyatakan bahawa diharuskan untuk berpuasa sunat hari ‘Arafah berserta puasa qadha’ Ramadhan, sekiranya dia meniatkannya untuk qadha’.[11]

Menggabungkan Niat Puasa Qadha’ dengan Puasa Sunat Enam Syawal

Berkenaan perkara ini, Imam Syihab al-Din al-Ramli dalam kitabnya Fatawa al-Ramli pernah ditanya tentang seseorang yang mempunyai tanggungan puasa Ramadhan dan diganti pada bulan Syawal, adakah dia memperoleh pahala qadha’ dan pahala puasa enam hari Syawal? Beliau menjawab, dia memperoleh pahala qadha’ Ramadhan bersama pahala puasa enam hari Syawal, meskipun dia menggabungkan niat puasa qadha Ramadhannya dengan puasa yang lain. Dia juga memperoleh ganjaran puasa enam hari bulan Syawal. Permasalahan ini telah disebutkan oleh ramai ulama yang terkemudian (muta’akkhirin).[12]

Selain itu, Imam Ibn Hajar al-Haitami juga ada menyebutkan, pendapat yang muktamad – sebagaimana yang kami telah jelaskan dalam Syarh al-‘Ubab – bahawa jika sesiapa yang berniat puasa qadha’ Ramadhan pada hari Isnin misalnya, lalu dia turut berniat puasa sunat hari Isnin bersama puasa qadha’ tersebut, maka kedua-dua puasa itu adalah sah dan diberi ganjaran. Namun, sekiranya tidak — yakni tidak diniatkan sekali — maka puasa yang kedua tidak diberikan ganjaran pahala, tetapi gugur tuntutannya. Hal ini adalah sebagaimana seseorang yang berniat solat fardhu Zuhur berserta dengan niat solat sunat tahiyyatul masjid; yang mana terhimpunnya niat pada suatu tempat dengan solat, sedangkan yang ini pula adalah terhimpunnya niat pada suatu zaman (masa) dengan puasa.[13]

Selain daripada itu, al-Syarqawi pula menyebutkan, sekiranya seseorang berpuasa dalam bulan Syawal puasa qadha’ Ramadhan, puasa nazar atau puasa sunat yang lain, maka tercapai baginya pahala puasa sunat Syawal kerana yang dimaksudkan adalah wujudnya puasa dalam enam hari bulan Syawal. Akan tetapi tidak tercapai baginya pahala yang sempurna yang dijanjikan kecuali dengan niat puasa khusus iaitu berniat puasa enam hari Syawal. Maka, apatah lagi dengan orang yang ada meninggalkan puasa Ramadhan kerana sesungguhnya dia tidak dianggap berjaya berpuasa penuh Ramadhan, lalu melanjutkan puasa enam hari pada bulan Syawal (iaitu tidak memperoleh ganjaran puasa setahun sepertimana yang dijanjikan).[14]

Begitu juga, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan, sekiranya seseorang melakukan puasa dalam bulan Syawal dengan niat puasa qadha’, puasa nazar atau selainnya, maka dia memperoleh pahala sunat itu — yakni pahala sunat puasa enam hari Syawal. Akan tetapi, dia tidak memperoleh ganjaran yang disebutkan di dalam hadith — yakni puasa setahun penuh. Lebih-lebih lagi, bagi sesiapa yang ada meninggalkan puasa Ramadhan, lalu dia menggantikannya dalam bulan Syawal, kerana dia tidak dianggap berjaya memperoleh ganjaran puasa setahun — seperti mana yang disebut dalam hadith.[15]

Selain itu, Dar Ifta’ al-Misriyyah pernah ditanya berkenaan hukum menggabungkan niat puasa Qadha’ dengan puasa sunat enam hari Syawal? Mereka menjawab, dibolehkan bagi seseorang Muslim untuk berniat puasa sunat bersama niat puasa fardhu. Oleh itu, dia boleh menggantikan (qadha’) puasanya yang ditinggalkan dalam bulan Ramadhan dalam bulan Syawal. Begitu juga cukup bagi setiap hari yang digantikan itu termasuk dalam enam hari bagi puasa sunat Syawal, dan dia memperoleh dua ganjaran pahala (iaitu pahala puasa qadha’ dan pahala puasa sunat) melalui perbuatan tersebut. Walau bagaimanapun, perbuatan yang lebih sempurna dan afdhal adalah dengan berpuasa bagi setiap satunya secara asing-asing.[16]

Begitu juga dinyatakan dalam Fatwa Da’iratul Ifta’ al-Urduniyyah, sesiapa yang terdapat padanya puasa yang wajib seperti qadha’ Ramadhan, nazar atau kaffarah, lalu dia ingin melakukan puasa tersebut dalam bulan Syawal dan ingin mendapatkan kelebihan berpuasa enam hari dalam bulan Syawal, maka dalam hal ini terdapat dua pendapat mazhab Syafi‘i:

Pendapat pertama menyatakan bahawa perbuatan puasa seperti mana dalam bentuk ini adalah dilarang kerana kedua-duanya iaitu puasa qadha’ dan puasa enam hari dalam bulan Syawal termasuk dalam perkara ibadah yang dimaksudkan secara zatnya. Justeru, kedua-duanya tidak boleh saling memasuki dalam niat.

Manakala pendapat kedua menyatakan bahawa harus menggabungkan antara niat puasa qadha’ dan puasa enam Syawal kerana tujuannya — yakni yang dimaksudkan — adalah menyibukkan hari-hari ini dengan berpuasa. Begitu juga berdasarkan kaedah qiyas yang menunjukkan bahawa terhasilnya solat tahiyyatul masjid dengan mana-mana solat ketika memasuki masjid, dan qiyas terhadap terhasilnya mandi wajib daripada mandi sunat jumaat. Akan tetapi orang yang berpuasa dengan bentuk ini tidak memperoleh ganjaran yang sempurna.

Oleh itu, kami berpendapat bahawa harus untuk menggabungkan puasa sunat bulan syawal dengan niat puasa qadha’. Namun begitu, yang lebih hati-hati adalah dengan mengasingkan setiap puasa tersebut secara berasingan bagi menambahkan lagi ganjarannya serta sebagai langkah keluar daripada khilaf bagi mereka yang melarang perbuatan menggabungkan puasa tersebut. Kami juga ingin mengingatkan di sini bahawa niat yang perlu dilakukan pada malam hari puasa itu ialah niat puasa qadha’. Manakala niat puasa sunat Syawal tidak wajib untuk dilakukan pada malam harinya.[17]

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan di atas, kami berpendapat bahawa boleh untuk menggabungkan niat puasa qadha’ dengan puasa sunat, serta dia memperoleh ganjaran pahala kedua-duanya. Lebih-lebih lagi, bagi mereka yang waktunya sempit dan khuatir terlepas daripada mendapat ganjaran pahala sunat yang khusus seperti puasa hari ‘Arafah, hari ‘Asyura’ dan seumpamanya. Akan tetapi orang yang berpuasa dengan bentuk seperti ini tidak memperoleh ganjaran yang sempurna.

Oleh yang demikian, kami juga ingin menyatakan di sini bahawa perbuatan yang lebih sempurna dan afdhal adalah dengan berpuasa bagi setiap satunya secara berasingan, sebagai mengambil sikap berhati-hati (Ihtiyat) dan keluar daripada khilaf mereka yang melarang perbuatan tersebut. Kaedah menyebut:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya:Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).[18]

Di samping itu, dengan berpuasa secara berasingan juga akan menambahkan lagi ganjarannya. Hal ini juga selari dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

مَا كَانَ أَكْثَرَ فِعْلًا كَانَ أَكْثَرَ فَضْلًا

Maksudnya: Lebih banyak sesuatu perbuatan, lebih banyak fadhilatnya (kelebihan).”[19]

Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan untuk beribadah kepada-Nya di samping kefahaman yang jelas dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 5 Julai 2022 bersamaan 5 Dzulhijjah 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 266

[2] Lihat Nihayah al-Muhtaj, 3/208. Pandangan yang sama juga disebut dalam Mughni al-Muhtaj, 2/184 dan Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj, 3/457

[3] Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 22

[4] Lihat al-Insaf fi Ma‘rifah al-Rajih min al-Khilaf, 3/350-351

[5] Lihat Kassyaf al-Qina‘, 5/298

[6] Lihat al-Syarh al-Mumti’ ‘ala Zad al-Mustaqni’, 6/442-443

[7] Riwayat Muslim (1164), Abu Daud (2433) dan lafaz di atas mengikut riwayatnya, al-Tirmizi (759), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (2862), Ibn Majah (1716) dan Ahmad (23533).

[8]Lihat Fatawa al-Siyam, hlm. 438. Lihat juga www.islamweb.net/ar/fatwa/116935/حكم-الجمع-بين-نية-صوم-القضاء-وصوم-يوم-عرفة

[9] Riwayat Muslim (1162), Abu Daud (2425), Ahmad (22650), al-Tirmizi (749, 752), Ibn Majah (1730, 1738) dan Ibn Hibban (3632)

[10] Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 11/2

[11] Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta’, 10/346

[12] Lihat Fatawa al-Ramli fi Furu‘ al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/339

[13] Lihat al-Fatawa al-Kubra, 2/75

[14] Lihat Hasyiah al-Syarqawi ‘ala Tuhfah al-Tullab, 2/322

[15] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/209

[16] Lihat https://daralifta.org/Home/ViewFatwa?ID=12986&title=الجمع_بين_صيام_القضاء_وصيام_الست_من_شوال. Diakses pada 4 Julai 2022.

[17] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=3571. Diakses pada 4 Julai 2022.

[18] Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1

[19] Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 143; Mausu‘ah al-Qawaid al-Fiqhiyyah, 9/171