Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah fadhilat dan kelebihan hari ‘Arafah? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, hari ‘Arafah merujuk kepada hari di mana jemaah haji berwuquf di ‘Arafah pada 9 Zulhijjah. ‘Arafah ialah nama bagi sebuah bukit atau tanah tinggi yang jaraknya dari Makkah adalah sejauh 25 kilometer. Ia dinamakan sebagai ‘Arafah kerana bertemunya Adam dan Hawa’ di situ setelah keduanya diturunkan dari syurga. Dikatakan juga kerana ketinggian tempatnya; daripada al-A‘raf iaitu (puncak) gunung. Dikatakan juga kerana berasal daripada pengenalan Jibril kepada Nabi Ibrahim mengenai manasik haji, lalu Ibrahim berkata: “عَرَفْتُ” (aku tahu) sebanyak dua kali.[1]
Seterusnya, berbalik kepada soalan yang ditanyakan, di antara kelebihan dan fadhilat hari ‘Arafah ialah:
Pertama: Hari ‘Arafah adalah rukun daripada haji.
Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan, berwuquf di ‘Arafah merupakan rukun haji yang terpenting, sehinggakan seolah-olah haji dilihat terbatas dengan ‘Arafah. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada ‘Abd al-Rahman bin Ya‘mur al-Diyali bahawa orang ramai dari Najad datang menemui Rasulullah SAW yang ketika itu sedang berada di ‘Arafah, lalu bertanya kepadanya. Maka, Baginda memerintahkan kepada seseoang untuk menyeru:
الْحَجُّ عَرَفَةُ، مَنْ جَاءَ لَيْلَةَ جَمْعٍ قَبْلَ طُلُوعِ الْفَجْرِ فَقَدْ أَدْرَكَ الْحَجَّ
Maksudnya: “Haji adalah ‘Arafah. Sesiapa yang datang di ‘Arafah pada hari Nahr malam sebelum fajar terbit, maka dia dikira melakukan haji.”[2]
Oleh itu, berwuquf di ‘Arafah merupakan amalan haji yang terpenting, rukun haji yang paling dikenali berdasarkan hadith di atas, dan kaum Muslimin telah menyatakan ijmak bahawa ia adalah salah satu daripada rukun-rukun haji.[3]
Kedua: Hari Arafah ialah hari penyempurnaan agama dan nikmat.
Terdapat hadith daripada riwayat Umar bin al-Khattab R.A bahawa suatu hari seorang lelaki Yahudi berkata kepadanya:
يَا أَمِيرَ الـمُؤْمِنِينَ، آيَةٌ فِي كِتَابِكُمْ تَـقْرَءُونَـهَا، لَوْ عَلَيْنَا مَعْشَرَ اليَهُودِ نَـزَلَتْ، لاَتَّخَذْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ عِيدًا. قَالَ: أَيُّ آيَةٍ؟ قَالَ: {اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا} قَالَ عُمَرُ: قَدْ عَرَفْنـَا ذَلِكَ اليَوْمَ، وَالـمَكَانَ الَّذِي نَـزَلَتْ فِيهِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ قَائِمٌ بِعَرَفَةَ يَوْمَ جُمُعَةٍ
Maksudnya: “Wahai Amirul Mukminin, ada satu ayat dalam kitab kamu yang sering kamu baca, jika ayat itu diturunkan kepada kami, nescaya kami akan jadikan hari turunnya ayat tersebut sebagai hari perayaan orang yahudi.” Umar bertanya: “Ayat yang mana?” Yahudi tersebut membacakan: ‘اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا’ (Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu.”) [Surah al-Ma’idah: 3]. Umar menjawab: ‘Kami mengetahui hari dan di mana tempat ia diturunkan kepada Nabi SAW, iaitu ketika Baginda SAW sedang berdiri di ‘Arafah pada hari Jumaat.’”[4]
Ibn Rejab menyebutkan, penyempurnaan agama pada hari tersebut menatijahkan beberapa perkara. Antaranya, setelah kefarduan haji disyariatkan, umat Islam tidak terus mengerjakan ibadah haji malah tiada seorang pun yang mengerjakannya. Inilah pendapat majoriti ulama. Oleh itu, penyempurnaan agama itu dikira hanya apabila mereka (yakni umat Islam) menyempurnakan rukun Islam kesemuanya. Antaranya juga Allah telah mengembalikan ibadah haji sebagaimana yang disyariatkan kepada Nabi Ibrahim, serta menghapuskan segala perkara syirik yang dilakukan oleh orang sebelumnya. Maka, perbuatan mengerjakan haji yang dilakukan oleh umat Islam sekarang tidak bercampur dengan syirik.[5]
Al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat 3 daripada surah al-Ma’idah menyebutkan, hari yang dimaksudkan dalam ayat itu ialah hari ‘Arafah, di mana Allah SWT telah menyempurnakan agama-Nya, membantu hamba dan rasul-Nya serta orang-orang Musyrik pula dikalahkan (dibiarkan tanpa diberikan sebarang pertolongan) dengan kekalahan yang sangat teruk, selepas mereka bersungguh-sungguh dan berkeinginan untuk memalingkan orang-orang beriman daripada agama mereka.
Ketika mana mereka melihat keizzahan, kemenangan dan kekuatan Islam, orang-orang beriman itu berputus asa untuk kembali kepada agama asal mereka, dan mereka menjadi orang yang paling takutkan Allah dalam kalangan mereka. Oleh sebab itu, pada tahun di mana Nabi SAW mengerjakan haji iaitu tahun ke-10 (hajjatul wada‘), tidak ada seorang pun orang musyrikin yang mengerjakan haji dan melakukan tawaf di Baitullah dalam keadaan bertelanjang. Oleh sebab itu juga, dalam ayat seterusnya dinyatakan supaya janganlah takut kepada orang musyrikin, akan tetapi takutlah kepada Allah yang memberi kemenangan kepada kamu, menghinakan kaum musyrikin itu dan menolak komplot jahat mereka.
Begitu juga Allah SWT telah menyempurnakan buat kamu agama kamu dengan kemenangan yang sempurna dan syariat yang menyeluruh dari segi zahir dan batin, usul dan furu‘ (cabang). Oleh sebab itu, cukuplah al-Quran dan al-Sunnah dalam hukum-hakam agama, sama ada usulnya mahupun furu‘nya. Selain itu, Allah SWT juga telah mencukupkan nikmat-Nya buat kamu sama ada zahir dan batin, serta telah memilih dan menjadikan buat kamu agama yang diredhai-Nya. Justeru, kerjakanlah kehidupan seharian kamu dengannya sebagai tanda kesyukuran kamu kepada-Nya dan pujilah Allah yang telah mengurniakan kepada kamu dengan agama yang paling baik, mulia dan sempurna — iaitu agama Islam.[6]
Ketiga: Hari ‘Arafah ialah hari raya buat umat Islam.
Terdapat riwayat daripada ‘Uqbah bin ‘Amir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يَوْمُ عَرَفَةَ، وَيَوْمُ النَّحْرِ، وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ، وَهِيَ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
Maksudnya: “Hari ‘Arafah, hari Nahr dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) ialah hari raya kita — orang Islam — dan ia adalah hari makan dan minum.”[7]
Ibn Rejab menyebutkan, oleh sebab itu, bagi mereka yang menunaikan haji tidak disyariatkan untuk berpuasa pada hari ‘Arafah kerana di situlah hari raya pertama mereka dan tempat berhimpun terbesar (yakni untuk berwuquf) bagi mereka. Sesungguhnya Rasulullah telah berbuka di ‘Arafah (yakni tidak berpuasa) dan orang ramai melihatnya. Diriwayatkan bahawa Rasulullah melarang untuk berpuasa pada hari ‘Arafah di padang ‘Arafah.
Selain itu, diriwayatkan juga daripada Sufyan bin ‘Uyainah, bahawa dia ditanya berkenaan larangan berpuasa pada hari ‘Arafah di padang ‘Arafah? Dia menjawab, “Larangan tersebut adalah kerana ketika itu Allah menyambut para tetamu-Nya, dan Tuhan yang Maha Mulia tidak mahu melihat para tetamu-Nya itu dalam kelaparan.” Makna ini terdapat dalam dua hari raya dan juga pada hari tasyrik kerana manusia ketika itu merupakan tetamu-tetamu Allah ‘Azza wa Jalla, terutamanya ketika Hari Raya Korban. Hal ini kerana ketika itu semua manusia akan memakan daging haiwan yang dikorbankan termasuklah orang yang berwuquf (yakni yang berada di ‘Arafah) atau selainnya.[8]
Keempat: Hari ‘Arafah merupakan al-Syaf‘u (الشفع) dalam surah al-Fajr
Menurut Ibn Rejab, hari ‘Arafah merupakan al-Syaf‘u (yang genap) yang mana Allah SWT telah bersumpah dengannya dalam kitab-Nya, manakala al-Witr (yang ganjil) pula ialah hari raya korban sebagaimana firman Allah SWT:
وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ
Maksudnya: “Dan bilangan yang genap serta yang ganjil.”[9]
Diriwayatkan perkara ini daripada Nabi SAW daripada hadith Jabir, yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Nasa’i dalam tafsirnya. Dikatakan: Inilah al-Syahid yang Allah SWT bersumpah dengannya dalam kitab-Nya. Firman Allah SWT:
وَشَاهِدٍ وَمَشْهُودٍ
Maksudnya: “Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan.”[10]
Dalam al-Musnad daripada riwayat Abu Hurairah R.A yang diriwayatkan secara marfu‘ dan mauquf:
الشَّاهِدُ يَومُ عَرَفةَ وَالـمَشْهُودُ يَومُ الجُمُعَةِ
Maksudnya: “Saksinya ialah hari ‘Arafah dan penyaksian ialah hari Jumaat.”
Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi secara marfu‘ dan diriwayatkan juga daripada Ali dengan kata-katanya. Selain itu, al-Tabarani meriwayatkan hadith daripada Abu Malik al-Asy‘ari yang diriwayatkan secara marfu‘:
الشّاهِدُ: يَومُ الجُمُعَةِ، وَالـمَشْهُودُ: يَومُ عَرَفةَ
Maksudnya: “Saksinya ialah hari Jumaat dan penyaksian ialah hari ‘Arafah.”
Oleh itu, apabila berlaku hari ‘Arafah pada hari Jumaat, maka akan berkumpullah pada hari tersebut saksi dan penyaksian.[11]
Kelima: Berpuasa pada hari ‘Arafah menghapuskan dosa dua tahun.
Di antara amalan yang dianjurkan juga adalah berpuasa pada hari ‘Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah bagi sesiapa yang tidak mengerjakan ibadah haji. Hari ‘Arafah adalah bersempena amalan berwuquf di Padang ‘Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun ibadah haji. Terdapat hadith daripada riwayat Abu Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah SAW ditanya berkenaan puasa pada hari ‘Arafah? Baginda bersabda:
يُكَفِّرُ السَّنَةَ الـمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.”[12]
Hadith di atas menjadi dalil yang menunjukkan kepada kelebihan dan fadhilat berpuasa pada hari ‘Arafah, dan pahalanya yang besar di sisi Allah SWT iaitu dihapuskan dosanya selama dua tahun — yakni tahun sebelum dan tahun selepasnya. Selain itu, disunatkan untuk berpuasa ‘Arafah hanya bagi orang yang tidak mengerjakan haji. Manakala bagi orang yang mengerjakan haji, tidak disunatkan untuk berpuasa pada hari tersebut, bahkan sebaliknya disunatkan untuk tidak berpuasa sebagai mengikuti Nabi SAW dan khulafa’ al-Rasyidin.[13]
Keenam: Hari ‘Arafah merupakan hari yang digalakkan untuk memperbanyakkan doa di dalamnya secara khusus
Terdapat hadith daripada riwayat ‘Amr bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya, bahawa Nabi SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.
Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa pada hari ‘Arafah. Sebaik-baik zikir yang aku dan para nabi sebelumku ucapkan ialah, ‘لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ’ (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan hanya Allah semata-mata, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu).”[14]
Al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, maknanya ialah doa yang paling cepat dipenuhi dan dikabulkan.[15]
Begitu juga terdapat riwayat daripada Talhah bin ‘Ubaidillah secara mursal:
أفضلُ الدُّعاءِ دعاءُ يومِ عرَفةَ
Maksudnya: “Sebaik-baik (afdhal) doa ialah doa pada hari ‘Arafah.”[16]
Para ulama berselisih pendapat berkenaan adakah fadhilat doa hari ‘Arafah ini hanya khusus buat mereka yang mengerjakan haji atau umum buat semua? Pendapat yang tepatnya, ia adalah bersifat umum kerana keutamaannya adalah keutamaan pada hari ‘Arafah. Namun, tidak syak lagi bahawa sesiapa yang berada di padang ‘Arafah telah berkumpul pada dirinya dua kelebihan iaitu kelebihan tempat dan masa.
Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Qudamah dalam kitabnya, sebahagian ulama salaf membolehkan al-Ta‘rif iaitu berhimpun dalam masjid bagi berdoa dan berzikir kepada Allah pada hari ‘Arafah. Di antara mereka yang melakukannya ialah Ibn Abbas R.Anhuma, ‘Amr bin Huraith R.A, al-Hasan, Bakr dan Muhammad bin Wasi‘. Bahkan, Imam Ahmad juga membolehkannya sekalipun dia tidak melakukannya.[17]
Oleh itu, jelaslah bahawa fadhilat dan kelebihan berdoa pada hari ‘Arafah adalah bersifat umum untuk semua dan bukannya khusus hanya untuk jemaah haji sahaja. Sekalipun perbuatan berkumpul bagi berdoa dan berzikir di masjid-masjid di tempat selain ‘Arafah pada hari ‘Arafah tidak sabit dilakukan oleh Nabi SAW, dan oleh sebab itulah juga Imam Ahmad tidak melakukannya. Akan tetapi Imam Ahmad memberi keringanan dan tidak melarangnya kerana perbuatan tersebut sabit bahawa ia dilakukan oleh sebahagian sahabat seperti Ibn Abbas dan ‘Amr bin Huraith.
Ketujuh: Hari ‘Arafah ialah hari pengampunan dosa dan pelepasan azab api neraka.
Terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari ‘Arafah.”[18]
Imam al-Nawawi menyebutkan, hadith ini secara zahirnya menunjukkan kepada kelebihan dan fadhilat hari ‘Arafah.[19]
Lebih-lebih lagi hari ‘Arafah iaitu 9 Zulhijjah juga termasuk dalam sepuluh hari terawal Zulhijjah, yang mana amalan kebaikan yang dilakukan di dalamnya sangat disukai dan dilipat gandakan. Terdapat hadith daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
مَا العَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ؟ قَالُوا: وَلاَ الجِهَادُ؟ قَالَ: وَلاَ الجِهَادُ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ.
Maksudnya: “Tidak ada amalan pada hari-hari lain yang lebih utama daripada amalan pada hari ini (hari yang kesepuluh bulan Zulhijjah). Mereka (sahabat) bertanya: ‘Meskipun jihad?’ Baginda menjawab: ‘(Ya), tidak juga jihad, melainkan seorang lelaki yang keluar untuk membahayakan dirinya dan hartanya (untuk jalan Allah), dan tidak kembali dengan membawa apa-apa.’”[20]
Selain itu, terdapat hadith yang lain datang dengan lafaz bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ما مِن أيّامٍ العَمَلُ الصّالِحُ فيها أحَبُّ إلى اللهِ مِن هذه الأيّامِ – يَعني أيّامَ العَشرِ قالوا: يا رَسولَ اللهِ، ولا الجِهادُ في سَبيلِ اللهِ؟ قال: ولا الجِهادُ في سَبيلِ اللهِ، إلّا رَجُلًا خرَجَ بِنَفْسِهِ ومالِهِ، ثم لم يَرجِعْ مِن ذلك بِشَيءٍ.
Maksudnya: “Tiadalah hari di mana amalannya yang soleh lebih baik dan disukai oleh Allah SWT daripada hari-hari sepuluh Zulhijjah. Lantas sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah sekalipun jihad pada jalan Allah?’ Baginda menjawab: ‘Sekalipun jihad pada jalan Allah kecualilah seseorang lelaki keluar dengan dirinya dan hartanya kemudian tidak pulang daripada demikian itu (iaitu mati syahid).”[21]
Menurut Ibn Rejab, hadith di atas menjadi dalil kepada beramal pada 10 hari ini lebih disukai oleh Allah SWT berbanding amalan pada hari-hari yang lain tanpa sebarang pengecualian. Apabila ia merupakan perkara yang paling disukai oleh Allah SWT, maka ia adalah sesuatu yang afdhal di sisi-Nya.
Selain itu, hadith ini juga diriwayatkan dengan terdapat syak di sisi perawi pada lafaznya: “أحب” (paling disukai) atau “أفضل” (paling baik). Apabila suatu amalan dalam 10 hari ini afdhal dan lebih disukai oleh Allah SWT berbanding amalan yang dilakukan dalam hari-hari yang lain dalam setahun. Maka, jadilah amalan yang kurang utama yang dilakukan dalam tempoh 10 hari ini afdhal daripada amalan yang lebih utama yang dikerjakan pada selainnya. Oleh sebab itulah, para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, sekalipun jihad pada jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda menjawab: “Ya, sekalipun jihad tidak dapat menandinginya.” Kemudian Baginda mengecualikan satu jenis jihad yang merupakan sebaik-baik jihad pada jalan Allah. Hal ini kerana Baginda SAW juga pernah ditanya: “Apakah jihad yang lebih afdhal?” Baginda menjawab: “Jihad seseorang yang kudanya ditikam mati dan dia pun mati syahid merupakan orang yang mempunyai kedudukan yang paling tinggi di sisi Allah.”
Manakala jenis jihad yang lain pula, amalan yang dikerjakan dalam 10 hari terawal Zulhijjah adalah lebih baik (afdhal) dan lebih disukai oleh Allah ‘Azza wa Jalla daripadanya, termasuklah juga semua amalan yang lain. Hal ini menunjukkan bahawa amalan yang kurang utama (al-Mafdhul), yang dikerjakan dalam tempoh yang terbaik akan diberi kelebihan sama seperti amalan yang lebih utama (al-Fadhil) yang dikerjakan dalam tempoh selainnya, bahkan amalan pertama tadi mengatasinya disebabkan ganjaran yang dilipat ganda. Penambahan ini disebutkan dalam hadith daripada riwayat Ibn ‘Abbas R.Anhuma:
والعَمَلُ فِيهِنَّ يُضَاعَفُ بِسَبْعِمِائةِ ضِعْفٍ
Maksudnya: “Amalan yang dikerjakan dalam tempoh ini akan dilipat gandakan pahalanya sehingga 700 kali.”[22]
Selain daripada itu, kadar gandaan pahala turut disebutkan dalam banyak riwayat yang berbeza. Al-Tirmizi dan Ibn Majah meriwayatkan hadith daripada al-Nahhas bin Qahm, daripada Qatadah, daripada Ibn al-Musayyab, daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
ما مِن أيامٍ أحبُّ إلى اللهِ أن يُتَعَبَّدُ لهُ فيها مِن عشرِ ذي الحجَّةِ يعدِلُ صيامُ كلِّ يومٍ منها بصيامِ سنةٍ وقيامِ كلِّ ليلةٍ منها بقيامِ ليلةِ القدرِ
Maksudnya: “Tiada hari-hari yang paling disukai oleh Allah SWT untuk seseorang itu beribadah kepada-Nya selain 10 hari Zulhijjah. Puasa setiap harinya menyamai puasa setahun, dan qiyamullail setiap malamnya menyamai qiyamullail pada malam al-Qadar.”[23]
Namun, Ibn Rejab menyatakan, ulama hadith melemahkan al-Nahhas bin Qahm. Al-Tirmizi menyebutkan daripada Imam al-Bukhari bahawa hadith tersebut diriwayatkan daripada Qatadah daripada Sa‘id secara mursal.
Tambahan lagi, Ibn Rejab juga menukilkan daripada ‘Abd al-Razzaq yang meriwayatkan dalam kitabnya daripada Ja‘far, daripada Hisyam, daripada al-Hasan, katanya: “Puasa sehari daripada 10 hari terawal Zulhijjah menyamai puasa dua bulan.” Di samping itu, ‘Abd al-Karim meriwayatkan daripada Mujahid, katanya: “Amalan yang dikerjakan dalam 10 hari terawal Zulhijjah akan digandakan pahalanya.”
Kemudian, Ibn Rejab menyimpulkan bahawa berkenaan gandaan pahala ini juga, terdapat banyak hadith-hadith yang lain tetapi ia adalah palsu. Oleh yang demikian, ia diabaikan untuk disebutkan dan begitu juga dengan hadith-hadith yang menyerupai palsu yang menyebutkan berkenaan kelebihan 10 hari tersebut. Hal ini kerana hadith daripada riwayat Ibn Abbas berkenaan gandaan pahala seluruh amalan soleh yang dikerjakan dalam 10 hari terawal Zulhijjah tanpa sebarang pengecualian sudah menjadi dalil (yang kuat) dalam perkara ini.[24]
Kesimpulan
Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa di sana terdapat banyak kelebihan dan fadhilat ahri ‘Arafah ini. Lebih-lebih lagi, hari ‘Arafah adalah satu hari yang istimewa yang termasuk dalam sepuluh hari terawal Zulhijjah. Justeru, kita sebagai umat Islam mesti merebut peluang dan kesempatan ini agar kita tidak termasuk dalam kalangan orang yang rugi, yang mensia-siakan peluang dan kelebihan yang telah dikurniakan ini.
Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan untuk beribadah kepada-Nya di samping kefahaman yang jelas dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 6 Julai 2022 bersamaan 6 Dzulhijjah 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/332.
[2] Riwayat Abu Daud (1949); al-Nasa’i (3016); al-Tirmizi (889); Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Zad al-Ma‘ad (2/218) menilai sanadnya sebagai sahih. Begitu juga Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (8/95) menilainya sebagai sahih.
[3] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/332.
[4] Riwayat al-Bukhari (45) dan Muslim (3017)
[5] Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 279.
[6] Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/219.
[7] Riwayat Abu Daud (2419); al-Tirmizi (773); al-Nasa’i (3004) dan Ahmad dengan sedikit perbezaan lafaz (17379); Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Zad al-Ma‘ad (1/61) menilai sanadnya sebagai sahih. Imam al-Tirmizi menyebutkan, hadith ini hasan sahih. Begitu juga Abu Daud diam mengenai hadith ini, dan beliau menyebutkan dalam risalahnya kepada Ahli Makkah bahawa mana-mana hadith yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dikira baik (soleh).
[8] Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 279.
[9] Surah al-Fajr: 3
[10] Surah al-Buruj: 3
[11] Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 280.
[12] Riwayat Muslim (1162)
[13] Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 5/79.
[14] Riwayat al-Tirmizi (3585)
[15] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 10/33.
[16] Riwayat Malik dalam Muwatta’ (500); riwayat al-Baihaqi (8651); dan pengarang kitab al-Silsilah al-Sahihah (7/4) menilai sanadnya sebagai mursal sahih.
[17] Lihat al-Mughni, 3/295.
[18] Riwayat Muslim (1348)
[19] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/117.
[20] Riwayat al-Bukhari (969)
[21] Riwayat Abu Daud (2438) dan Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai sahih.
[22] Riwayat al-Tabarani (11116); al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (3758); dan al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib (2/191) menyatakan, sanadnya adalah sahih, hasan atau apa yang menghampiri kedua-duanya. Namun, Ibn Rejab dalam Lata’if al-Ma‘arif (hlm. 261) menilai sanadnya sebagai dhaif.
[23] Riwayat al-Tirmizi (758); riwayat Ibn Majah (1728)
[24] Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 260-262.