Buku Fizikal
eBahth Ilmi RM40.00 Original price was: RM40.00.RM30.00Current price is: RM30.00.
RM100.00 Original price was: RM100.00.RM60.00Current price is: RM60.00.
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Baru-baru ini saya ada melihat satu iklan atau gambar di facebook berkenaan keropok kering tokek yang dibungkus dengan elok dan dijual. Soalan saya, apakah hukum makan tokek? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”[1]
Ayat ini menunjukkan bahawa dihalalkan segala benda-benda yang berasa elok pada jiwa dan enak pada tabiat manusia, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan bahawa ia adalah haram. Begitu juga diharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah, serta orang yang memakannya dianggap fasik. Dalam kata lain, semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit. Lalu apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Justeru setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum sebaliknya.[2]
Definisi tokek
Tokek adalah sejenis cicak dalam keluarga Gekkonidae yang terdapat di timur laut India dan Bangladesh, seluruh Asia Tenggara, Filipina hingga Indonesia dan New Guinea Barat. Ia hidup pada pokok-pokok tinggi dan tebing dalam hutan hujan tropika.[3] Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tokek ialah sejenis binatang seperti cicak (besarnya seperti mengkarung) yang kulitnya kasap.[4] Justeru, secara umumnya tokek termasuk dalam jenis atau spesies cicak.
Cicak ialah reptilia yang rapat kaitannya dengan ular. Seperti ular, sesetengah cicak tidak mempunyai kaki. Sesetengahnya menyerupai ular, tetapi mempunyai kaki. Banyak cicak besar kelihatan seperti buaya. Cicak berbeza-beza dari segi saiz, bentuk dan warnanya. Ahli sains telah mengenal pasti lebih daripada 3750 spesies cicak. Australia mempunyai lebih daripada 500 spesies.[5] Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula, cicak ialah sejenis reptilia kecil, badan dan ekornya panjang serta memiliki empat kaki.[6] Takrifan yang diberikan oleh Kamus Dewan ini lebih dekat dengan cicak sebagaimana yang dikenali oleh kita semua di Malaysia.
Dalam bahasa Arab cicak disebut sebagai “الوزغة” dan dikenali sebagai haiwan yang melata. Badannya berbintik-bintik seperti penyakit kusta dan merupakan haiwan perosak.[7] Takrifan Wazaghah (الوزغة) yang diberikan oleh bahasa Arab ini dilihat hampir dengan tokek yang biasanya kita kenali pada hari ini.
Gambar di atas: Tokek
Hukum makan tokek (cicak)
Pada asasnya, tokek atau cicak ini termasuk dalam jenis haiwan hasyarat al-ardh (حَشَرَاتِ الْأَرْضِ) sepertimana kala jengking, kumbang, lipas, tikus dan seumpamanya. Dalam bahasa mudahnya, hasyarat ialah haiwan kecil yang melata di bumi dan haiwan kecil perosak.[8]
Berkenaan hukum memakannya, para ulama berselisih pendapat kepada dua pendapat:
Pendapat pertama, hukumnya adalah haram. Abu Ishaq al-Syirazi ada menyebutkan bahawa tidak halal untuk memakan hasyarat al-ardh dan salah satu contoh hasyarat yang disebutkan ialah cicak.[9] Kemudian, Imam al-Nawawi menjelaskan lagi dengan menyatakan bahawa mazhab kami (mazhab Syafi‘i), Abu Hanifah, Ahmad dan Daud berpendapat, haram untuk memakannya.[10] Muhammad al-Amin al-Syanqiti menambah, termasuk juga dalam kalangan mereka yang mengharamkannya ialah Ibn Syihab, ‘Urwah dan ramai lagi.[11]
Pengharaman ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:
وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “dan dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”[12]
Menurut al-Maraghi perkataan “الْخَبَائِثَ” bermaksud diharamkan buat mereka daripada memakan makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya seperti bangkai dan darah yang mengalir.[13] Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya pula menyatakan, makna ayat ini ialah apa-apa yang dianggap jijik dan kotor oleh orang Arab.[14]
Selain daripada itu, cicak juga termasuk dalam haiwan yang diharuskan untuk membunuhnya. Hal ini adalah sebagaimana hadith riwayat Ummu Syarik bahawa:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهَا بِقَتْلِ الأَوْزَاغِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkannya untuk membunuh cicak.”[15]
Begitu juga dalam riwayat lain daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas, beliau berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بقَتْلِ الوَزَغِ وَسَمّاهُ فُوَيْسِقًا
Maksudnya: “Nabi SAW memerintahkan untuk membunuh cicak dan memanggilnya sebagai fuwaisiq — haiwan perosak.”[16]
Justeru, perintah untuk membunuhnya adalah disebabkan oleh gangguan dan kemudaratannya. Al-Damiri menjelaskan, memanggil cicak sebagai ‘fuwaisiq’, maka ia adalah sebanding dengan haiwan-haiwan perosak lima yang lain — sebagaimana yang disebutkan dalam hadith lain — yang diharuskan untuk membunuhnya sama ada di tanah halal mahupun tanah haram. Asal makna ‘al-Fisq’ ialah keluar. Maka, kesemua haiwan yang disebutkan ini telah terkeluar daripada sifat kebanyakan haiwan yang melata (hasyarat) dan seumpamanya, disebabkan oleh kemudaratan dan gangguan yang dibawanya.[17] Penjelasan lanjut berkenaan perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #837 Membunuh Cicak.[18]
Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya, al-Majmu‘[19] bahawa para ashab kami (ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i) menyebutkan, apa-apa haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh, maka ia adalah haram untuk dimakan kerana Nabi SAW memerintahkan untuk membunuh lima binatang fawasiq (yang mendatangkan kerosakan)[20] dalam Tanah Haram dan ketika dalam keadaan berihram. Sekiranya ia adalah halal untuk dimakan, sudah tentu Baginda SAW tidak memerintahkan untuk membunuhnya. Apatah lagi terdapat firman Allah SWT:
لَا تَقْتُلُوا الصَّيْدَ وَأَنتُمْ حُرُمٌ
Maksudnya: “Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram.”[21]
Justeru, termasuklah juga dalam jenis haiwan fawasiq itu ialah cicak kerana ia turut disebutkan oleh Nabi SAW dalam hadith yang lain.
Begitu juga, Ibn Hazm al-Zahiri juga berpendapat bahawa tidak halal untuk makan siput daratan dan juga apa sahaja haiwan yang tergolong sebagai hasyarat (iaitu serangga atau haiwan kecil yang melata) seperti cicak, kumbang, semut, lebah, lalat dan lain-lain yang termasuk dalam jenisnya kerana haiwan-haiwan itu tidak boleh disembelih. Hal ini kerana sembelihan hanya berlaku pada leher atau dada haiwan tersebut sahaja. Adapun mana-mana haiwan yang tidak boleh disembelih, maka tiada jalan atau cara untuk memakannya. Oleh itu, ia adalah haram untuk dimakan kerana terdapatnya halangan bagi memakannya (yakni tidak boleh disembelih) kecuali bangkai yang tidak perlu kepada sembelihan.[22]
Pendapat kedua pula menyatakan ia adalah halal untuk dimakan. Ini merupakan pendapat Imam Malik. Muhammad al-Amin al-Syanqiti menambah, Imam Malik mensyaratkan bahawa ular halal dimakan jika selamat daripada racun atau bisanya. Selain itu, di antara mereka yang diriwayatkan turut memberi kelonggaran untuk memakannya ialah al-Auza‘i dan Ibn Abi Laila.[23] Walau bagaimanapun, Ibn Qudamah menyatakan dalam kitabnya bahawa Imam Malik, Ibn Abi Laila dan al-Auza‘i berpendapat diharuskan untuk memakan kesemua jenis hasyarat kecuali cicak. Malah Ibn ‘Abd al-Bar menyatakan, para ulama telah bersepakat akan pengharaman cicak.[24]
Keharusan untuk memakan hasyarat ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:
قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi.’”[25]
Begitu juga, terdapat riwayat daripada al-Talib bin Tha‘labah al-Tamimi R.A, beliau berkata:
صحِبْتُ النَّبيَّ صلّى اللهُ عليه وسلَّم فلم أسمَعْ لحشَرةِ الأرضِ تحريمًا
Maksudnya: “Aku telah bersahabat dengan Nabi SAW dan tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat (serangga dan haiwan kecil yang melata).”[26]
Seterusnya, Imam al-Nawawi juga ada menjawab hujah-hujah yang dikemukakan oleh mereka yang mengharuskan untuk memakan hasyarat (termasuklah ular) iaitu firman Allah SWT dalam surah al-An‘am ayat 145 dan hadith al-Talib sebahagaimana yang telah disebutkan di atas. Imam al-Nawawi menyatakan, adapun ayat tersebut, Imam al-Syafi‘i dan ulama selainnya berpendapat, maknanya adalah daripada apa-apa makanan yang kamu makan dan kamu suka (tidak menganggapnya jijik). Imam al-Syafi‘i menambah, inilah maknanya yang lebih aula (utama) berdasarkan dalil al-Sunnah. Wallahu a‘lam. Adapun hadith al-Talib pula, sekalipun ia hadith yang thabit, tetap tidak boleh menjadi dalil. Hal ini kerana perkataannya yang mengatakan beliau tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat, tidak menunjukkan perkara tersebut tidak didengari oleh sahabat yang lain. Wallahu a‘lam.[27]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa cicak termasuk dalam jenis haiwan yang haram untuk dimakan sebagaimana pendapat jumhur ulama kerana ia dianggap sebagai haiwan yang dianggap jijik, dan termasuk dalam jenis haiwan perosak yang diperintahkan untuk dibunuh. Justeru, inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan tepat (أقرب إلى الصواب).
Lebih-lebih lagi, Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”[28]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 21 Februari 2023 bersamaan 30 Rejab 1444H
[1] Surah al-A‘raf : 157
[2] Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381.
[3] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Tokek. Diakses pada 25 Januari 2023.
[4] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=tokek. Diakses pada 25 Januari 2023.
[5] Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 5/273.
[6] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=cicak. Diakses pada 30 Disember 2021.
[7] Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/544.
[8] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/278.
[9] Lihat al-Muhazzab fi al-Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/451.
[10] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16.
[11] Lihat Adhwa’ al-Bayan, 1/535.
[12] Surah al-A‘raf: 157.
[13] Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/82-83.
[14] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16.
[15] Riwayat al-Bukhari (3307) dan Muslim (2237)
[16] Riwayat Muslim (2238)
[17] Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/546; lihat juga al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/237.
[18] Lihat https://maktabahalbakri.com/836-membunuh-cicak/. Diakses pada 25 Januari 2023.
[19] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/22.
[20] Lima haiwan perosak itu ialah tikus, kala jengking, helang, gagak, dan anjing yang ganas. Riwayat al-Bukhari (3314; 1826) dan Muslim (1198)
[21] Surah al-Ma’idah: 95
[22] Lihat al-Muhalla, 6/77.
[23] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16; Adhwa’ al-Bayan, 1/535.
[24] Lihat al-Mughni, 9/406.
[25] Surah al-An‘am: 145
[26] Riwayat Abu Daud (3798)
[27] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16-17.
[28] Surah al-A‘raf: 157