Buku Fizikal
eBahth Ilmi RM40.00 Original price was: RM40.00.RM30.00Current price is: RM30.00.
RM100.00 Original price was: RM100.00.RM60.00Current price is: RM60.00.
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Baru-baru ini kita digemparkan dengan tindakan ahli politik Sweden, Rasmus Paludan, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, yang membakar al-Quran semasa protes Islamofobia di hadapan kedutaan (Turkiye) di Stockholm. Soalan saya, apakah sebenarnya hukum membakar al-Quran? Adakah ia termasuk dalam tindakkan menghina dan merendah-rendahkan al-Quran? Mohon pencerahan. Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Mukadimah
Islam sangat melarang seseorang itu mencela agama lain. Hal ini kerana ia akan menimbulkan kemarahan penganutnya dan akan menyebabkan mereka bertindak balas dan mencela Islam kembali. Firman Allah SWT:
وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula tanpa ilmu.”
(Surah al-An‘am: 108)
Al-Sabuni ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan maknanya adalah janganlah kamu memaki atau mencela sembahan-sembahan orang Musyrikin dan berhala-berhala mereka kerana mereka kelak akan membalasnya dengan celaan kepada Allah dalam keadaan jahil dan bersifat melampau disebabkan mereka tidak mengetahui kebesaran Allah SWT. Ibn Abbas R.Anhuma menyebutkan bahawa orang-orang Musyrikin berkata: “Berhentilah daripada menghina tuhan-tuhan kami ataupun kami akan menghina Tuhan kamu.” Maka Allah SWT melarang orang-orang beriman daripada mencela atau memaki berhala-berhala mereka. (Lihat Safwah al-Tafasir, hlm. 380).
Begitu juga Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, Allah SWT melarang Rasul-Nya dan orang beriman daripada mencela sembahan-sembahan orang Musyrikin sekalipun dalam hal itu adanya maslahah. Akan tetapi mafsadah daripada perbuatan tersebut adalah lebih besar daripada maslahahnya iaitu orang-orang Musyrikin akan membalas kembali dengan mencela Tuhan orang-orang beriman yakni Allah, tiada tuhan yang sebenar-benarnya berhak disembah melainkan Dia.
Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma bahawa janganlah kamu wahai kaum Muslimin mencela tuhan-tuhan (yakni sembahan) orang Musyrikin yang disembah selain Allah kerana boleh jadi akibat daripada perbuatan tersebut mereka mencela dan mencerca Allah ‘Azza wa Jalla secara zalim dan melampaui batas bagi menimbulkan kemarahan orang-orang beriman, dalam keadaan mereka jahil dengan takdir Allah dan kebesaran-Nya. Oleh itu, perkara ini menunjukkan bahawa suatu ketaatan atau maslahah, jika ia membawa kepada maksiat atau mafsadah, maka ia ditinggalkan.
Selain itu, para ulama berpendapat bahawa hukum ayat ini — yakni larangan mencerca atau menghina sembahan agama lain — adalah kekal bagi umat ini dalam setiap keadaan. Justeru, selagi mana orang kafir enggan atau tidak mahu tunduk kepada pemerintahan Islam dan kaum Muslimin, serta dibimbangi mereka akan mencela agama Islam atau Nabi SAW atau Allah ‘Azza wa Jalla, maka orang Islam tidak boleh untuk mencela atau menghina salib mereka, agama mereka atau gereja (tempat ibadat) mereka, dan tidak terdedah untuk melakukan apa-apa perbuatan yang membawa kepada perkara itu kerana ia seolah-olah menggalakkan maksiat — iaitu penghinaan kepada Allah dan Rasul-Nya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 7/325-328).
Membakar al-Quran
Berkenaan hal ini, ia hendaklah dilihat kepada dua keadaan bagi menentukan sama ada ia termasuk dalam penghinaan kepada al-Quran ataupun tidak.
Keadaan pertama, membakar al-Quran dengan tujuan melupuskan al-Quran yang rosak. Dalam situasi ini, perbuatan membakar al-Quran yang rosak bagi melupuskannya adalah diharuskan kerana ia bermatlamat untuk memuliakan al-Quran atau mushaf serta memeliharanya daripada dipijak dengan kaki atau dicampakkannya pada mana-mana tempat, dan bukannya untuk menghina atau merendah-rendahkannya. Sekalipun begitu, ia hendaklah dilakukan dengan penuh rasa hormat dan berhati-hati. Malah ia juga merupakan pendapat ulama mazhab Maliki dan Syafi‘i berdasarkan tindakan Uthman R.A yang memerintahkan untuk membakar mushaf yang lain yang berbeza dengan mushaf yang ditulis. Perbuatan tersebut telah disaksikan oleh ramai Sahabat dan tidak ada seorang pun daripada kalangan mereka mengingkarinya. Perbahasan lanjut berkenaan perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #391: Melupuskan al-Quran yang Rosak.[1]
Keadaan kedua, membakar al-Quran bukan dengan niat untuk melupuskannya kerana ia sudah rosak. Apatah lagi bertujuan untuk menghina atau merendah-rendahkannya. Maka, perbuatan membakar al-Quran dalam situasi seperti ini tidak syak lagi adalah haram dan sangat dilarang dalam Islam. Malah, berkemungkinan pelakunya boleh dianggap telah jatuh kufur.
Hal ini kerana al-Quran termasuk dalam kitab suci dan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW. Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum-hakam Islam. Al-Quran juga adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Bahkan, al-Quran adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membaca dan bertadabbur.
Begitu juga mencintai al-Quran termasuk dalam salah satu tanda kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT. Dr. Wahbah al-Zuhaili menukilkan daripada Sahl bin Abdullah yang menyebutkan, tanda seseorang itu mencintai Allah adalah dengan mencintai al-Quran, tanda seseorang itu mencintai al-Quran adalah dengan mencintai Nabi SAW, tanda seseorang itu mencintai Nabi SAW adalah dengan mencintai sunnah, tanda seseorang itu mencintai Allah, al-Quran, Nabi dan sunnah adalah dengan mencintai akhirat, tanda seseorang itu mencintai akhirat adalah dengan mencintai dirinya sendiri, tanda seseorang itu mencintai dirinya sendiri adalah dengan membenci dunia dan tanda seseorang itu membenci dunia adalah dengan dia tidak mengambil daripada dunia itu melainkan sebagai bekalan dan sekadarnya yang cukup sahaja — bagi kehidupan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 3/208; lihat juga Faidh al-Qadir, 2/66).
Perkara ini turut dinukilkan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah daripada Ibn Mas‘ud R.A melalui pesananannya bahawa:
لَا يُسْأَلُ أَحَدُكُمْ عَنْ نَفْسِهِ إلَّا الْقُرْآنُ فَإِنْ كَانَ يُحِبُّ الْقُرْآنَ فَهُوَ يُحِبُّ اللَّهَ وَإِنْ كَانَ يُبْغِضُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يُبْغِضُ اللَّهَ وَرَسُولَ
Maksudnya: “Janganlah ditanya seseorang daripada kamu itu tentang dirinya melainkan al-Quran. Hal ini kerana sekiranya dia mencintai al-Quran maka sesungguhnya dia mencintai Allah, dan sekiranya dia membenci al-Quran maka sesungguhnya dia (sebenarnya) membenci Allah dan Rasul-Nya.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 11/216).
Oleh sebab itu, sebahagian ulama meletakkan hukuman yang keras terhadap mereka yang mempermainkan dan menghina al-Quran. AL-Khatib al-Syirbini menyebutkan, di antara perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur ialah dia dengan sengaja menghina agama secara terang-terangan atau mengingkarinya seperti mencampakkan kotoran kepada mashaf (al-Quran) kerana perbuatan itu jelas menghina kalamullah, dan menghina atau merendah-rendahkan suatu ucapan (kalam) bermaksud dia telah menghina atau merendah-rendahkan Pengucapnya — yakni Allah SWT. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/431).
Begitu juga al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan, ketahuilah bahawa sesiapa yang (dengan sengaja) merendah-rendahkan al-Quran atau sesuatu daripadanya, atau mencacinya, atau mengingkarinya tidak kira satu huruf atau satu ayat, atau mendustainya atau mendustai sebahagian daripadanya, atau dia mendustai suatu hukum atau berita yang jelas dinyatakan di dalamnya, atau mengisbatkan suatu yang dinafikannya, atau menafikan suatu yang diisbatkannya, dalam keadaan dia mengetahui perkara tersebut atau dia syak pada sesuatu daripada perkara tersebut, maka dia dikira jatuh kafir di sisi ulama secara ijma‘. (Lihat al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa, 2/646)
Kesimpulannya
Oleh itu, perbuatan menghina atau merendah-rendahkan al-Quran melalui apa-apa cara termasuklah perbuatan membakarnya, memijaknya, menjadikannya sebagai bahan gurauan dan lawak, atau seumpamanya, bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang remeh atau ringan dalam Islam. Hal ini kerana ia merupakan kalamullah. Perbuatan menghina atau merendah-rendahkannya secara tidak langsung bermaksud penghinaan itu turut ditujukan kepada Pengucapnya iaitu Allah Azza wa Jalla, Tuhan sekalian alam. Oleh yang demikian, jika pelakunya seorang Muslim, berkemungkinan dia boleh dianggap telah jatuh kufur. Na‘uzubillah min zalik.
Pada kesempatan ini juga, kami ingin menyatakan bahawa kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ahli politik Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran semasa protes Islamofobia di hadapan kedutaan (Turkiye) di Stockholm. Tindakan Paludan membakar al-Quran ini bukan sahaja menjejaskan hubungan Sweden dan kerajaan Turki malah mengguris dan menyakiti jutaan umat Islam seluruh dunia.
Doa dan harapan kami bahawa peristiwa ini adalah peristiwa yang terakhir berlaku yang meremuk jiwa kita dan tidak akan berlaku lagi peristiwa seperti ini. Oleh kerana al-Quran mengajak kita bersatu-padu dan jangan bercerai-berai serta berpecah-belah, nanti kita mudah disambar oleh musuh dan jadilah kita hina dina dengan pelbagai tindakan yang terkena kepada kita serta agama kita. ‘Izzahnya al-Quran dengan sebab umat Islam kukuh bersatu-padu dan mempunyai jati diri serta semangat untuk membela agama.
Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 21 Februari 2023 bersamaan 30 Rejab 1444H
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/melupuskan-al-quran-yang-rosak/. Diakses pada 25 Januari 2023.