#1090: Solat Sunat Tawaf Pada Waktu Dilarang

Original price was: RM265.00.Current price is: RM200.00.

Siri Umrah dan Haji

[eBook] Panduan Haji dan Umrah

Original price was: RM50.00.Current price is: RM40.00.

Siri Kematian

10 eBook Siri Kematian

Original price was: RM60.00.Current price is: RM35.00.

Soalan:       

Assalamualaikum w.b.t. Saya melakukan tawaf selepas solat Asar. Kemudian, adakah saya tetap disunatkan untuk melakukan solat sunat tawaf selepas selesai mengerjakan tawaf? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, solat sunat tawaf termasuk dalam salah satu solat sunat yang disyariatkan dan thabit sandarannya di sisi syarak. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada ‘Amr bahawa kami bertanya kepada Ibn Umar R.Anhuma:

أَيَقَعُ الرَّجُلُ عَلَى امْرَأَتِهِ فِي العُمْرَةِ قَبْلَ أَنْ يَطُوفَ بَيْنَ الصَّفَا وَالمَرْوَةِ؟ قَالَ: «قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَطَافَ بِالْبَيْتِ سَبْعًا، ثُمَّ صَلَّى خَلْفَ الْمَقَامِ رَكْعَتَيْنِ، وَطَافَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ» وَقَالَ: لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ.

Maksudnya:Adakah (boleh bagi) seorang suami bersetubuh dengan isterinya ketika umrah sebelum mengerjakan sa‘i antara Safa dan Marwah? Beliau menjawab: ‘Nabi SAW tiba di Makkah, lalu mengerjakan tawaf di Baitullah sebanyak tujuh pusingan, kemudian menunaikan solat dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim serta mengerjakan sa‘i antara Safa dan Marwah.’” Ibn Umar juga membacakan ayat: “لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ” (Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”)[Surah al-Ahzab: 21].

Riwayat al-Bukhari (1623)

Menurut Imam al-Nawawi, apabila seseorang itu selesai daripada tawafnya, maka solatlah dua rakaat tawaf. Hal ini kerana dua rakaat solat itu hukumnya adalah sunat muakkad menurut pendapat yang paling sahih. Akan tetapi terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa kedua-duanya adalah wajib. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 244).

Manakala berkenaan waktu-waktu yang diharamkan untuk seseorang itu mendirikan solat pula, Syeikh Taqiyuddin al-Hisni ada menyebutkan tentang beberapa waktu tersebut iaitu:

  • Selepas solat subuh sehingga matahari terbit.
  • Ketika matahari terbit sehingga sempurna dan meninggi dengan kadar tombak.
  • Selepas asar sehingga matahari terbenam.
  • Ketika matahari terbenam sehingga sempurna terbenamnya.

(Lihat Kifayah al-Akhyar, hlm. 126)

Berbalik kepada persoalan yang dibahaskan, Imam al-Nawawi ada menjelaskan berkenaan larangan untuk mendirikan solat pada waktu yang dilarang ialah hanya pada solat yang tidak ada sebab. Manakala solat-solat yang mempunyai sebab maka tidak makruh — yakni haram — untuk melaksanakannya pada waktu-waktu tersebut. Maksud solat yang mempunyai sebab ialah sebab (yang disunatkan untuk solat) itu mendahului solat tersebut.

Kemudian, beliau menyebutkan pula contoh-contoh solat yang mempunyai sebab sekali gus memasukkan solat sunat tawaf termasuk di dalamnya. Hal ini adalah sebagaimana katanya, di antara solat yang mempunyai sebab ialah solat yang ditinggalkan sama ada solat fardhu mahupun solat sunat. Hal ini jika kita berpendapat dengan pendapat yang paling sahih — menurut mazhab Syafi‘i — bahawa disunatkan untuk menggantikan (qadha’) solat-solat sunat, maka pada waktu tersebut dibolehkan untuk menggantikan (qadha’) solat-solat fardu, sunat rawatib dan selainnya. Begitu juga, dibolehkan untuk menggantikan (qadha’) solat sunat yang menjadi kebiasaan baginya, solat yang dinazarkan, solat jenazah, sujud tilawah, sujud syukur, solat gerhana, solat tawaf, dan jika dia berwuduk pada waktu-waktu ini (yakni yang dilarang untuk solat) maka dia boleh melaksanakan solat sunat dua rakaat. Perkara ini disebutkan secara jelas oleh sebahagian ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan di antara dalam kalangan mereka ialah al-Rafi‘i. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/170).

Di antara yang menunjukkan kepada keharusan untuk melakukan solat-solat yang bersebab ini pada waktu-waktu yang dilarang padanya untuk mendirikan solat adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Qais bin ‘Amr, beliau berkata:

رَأَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم رَجُلاً يُصَلِّي بَعْدَ صَلاَةِ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: صَلاَةُ الصُّبْحِ رَكْعَتَانِ فَقَالَ الرَّجُلُ: إِنِّي لَمْ أَكُنْ صَلَّيْتُ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا فَصَلَّيْتُهُمَا الآنَ. فَسَكَتَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم.

Maksudnya:Rasulullah SAW melihat seorang lelaki menunaikan solat sesudah solat subuh sebanyak dua rakaat. Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Solat subuh itu dua rakaat.’ Maka lelaki itu berkata: ‘Sesungguhnya aku belum lagi melaksanakan solat sunat dua rakaat sebelum subuh, maka aku melakukannya sekarang (iaitu selepas solat subuh). Maka Rasulullah SAW pun diam.”

Riwayat Abu Daud (1267)

Hadith di atas menunjukkan, diamnya Nabi SAW itu menjelaskan bahawa Baginda tidak menghalang solat sunat yang mempunyai sebab untuk didirikan selepas daripada solat fardhu subuh — yakni pada waktu yang dilarang untuk solat.

Selain itu, perkara ini dikuatkan lagi dengan kenyataan daripada al-Syirazi dalam kitabnya bahawa tidak dihukumkan sebagai makruh (yakni haram) untuk mendirikan solat pada waktu-waktu yang dilarang di Makkah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Zar, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لَا صَلَاةَ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ وَلَا بَعْدَ الْعَصْرِ حَتَّى تَغْرُبَ الشَّمْسُ إلَّا بِمَكَّةَ

Maksudnya:Tidak ada solat selepas solat Subuh sehingga terbitnya matahari dan tidak ada solat selepas Asar sehingga terbenamnya matahari kecuali di Makkah.”

Riwayat Ibn Khuzaimah secara ringkasnya (2748); riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat dengan sedikit perbezaan lafaz (847); riwayat al-Baihaqi dalam Ma‘rifah al-Sunan wa al-Athar (5207) dan lafaz hadith ini daripadanya; al-Mubarakfuri menilai sanad hadith ini sebagai dhaif dalam Tuhfah al-Ahwazi (3/301).

Selain itu, Nabi SAW juga pernah bersabda:

الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ صَلَاةٌ

Maksudnya:Tawaf di Baitullah itu adalah solat.”

Riwayat al-Darimi (1889); riwayat Ibn Hibban (3836); riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (10955); Ibn Taimiyyah menyebutkan bahawa hadith ini tidak thabit daripada Nabi SAW, akan tetapi ia thabit daripada Ibn Abbas. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa (26/126).

Kemudian, al-Syirazi menyimpulkan, tiada khilaf bahawa tawaf dibolehkan — untuk dilakukan pada waktu yang dilarang — dan demikianlah juga dengan solat. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/175).

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan kenyataan al-Syirazi ini menyebutkan, hadith Abu Zar ini adalah dhaif. Ia diriwayatkan oleh Imam al-Syafi‘i, Ahmad, al-Daraqutni dan al-Baihaqi, serta mereka menilainya sebagai dhaif. Sekalipun begitu, terdapat hadith lain yang dapat dijadikan sebagai hujah iaitu hadith daripada Jubair bin Mut‘im R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

يا بَنِي عَبْدِ مَنَافٍ لَا تَمْنَعُوا أَحَدًا طَافَ بِهَذَا الْبَيْتِ وَصَلَّى أَيَّ سَاعَةٍ شَاءَ مِنْ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ

Maksudnya:Wahai Bani ‘Abd Manaf, janganlah kamu melarang siapapun yang hendak tawaf di rumah ini (Kaabah) dan mendirikan solat pada mana-mana waktu yang dikehendakinya, baik malam ataupun siang hari.

Riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya (1553); dan Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanad hadith ini sebagai sahih mengikut syarat Imam Muslim.

Kemudian Imam al-Nawawi menyatakan, hadith di atas diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi dalam kitab al-Hajj, al-Nasa’i dan Ibn Majah, serta selain daripada mereka berdua dalam kitab solat. Lafaz hadith ini daripada al-Tirmizi dan beliau menyebutkan, hadith ini adalah hasan sahih. Seterusnya, al-Baihaqi menyatakan, terdapat kebarangkalian bahawa solat yang dimaksudkan di sini merujuk kepada solat tawaf secara khusus ataupun merujuk kepada semua jenis solat. Imam al-Nawawi menyatakan pendapat yang pertama — yakni ia merujuk solat tawaf secara khusus — dikuatkan oleh riwayat Abu Daud.

Adapun hadith “الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ صَلَاةٌ” pula, ia telah diriwayatkan daripada Ibn Abbas daripada Nabi SAW. Selain itu, ia diriwayatkan juga secara mauquf daripada Ibn Abbas dan inilah pendapat yang lebih sahih. Demikianlah juga pendapat al-Hafiz dalam hal ini.

Selanjutnya, Imam al-Nawawi menyebutkan pula mengenai hukumnya iaitu ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, tidak dihukumkan sebagai makruh (yakni haram) untuk solat di Makkah pada waktu-waktu ini (yakni waktu-waktu yang dilarang untuk solat), tidak kira solat tersebut adalah solat tawaf atau selainnya. Inilah pendapat yang sahih lagi masyhur di sisi mereka. Namun, terdapat pendapat dalam kalangan mereka yang berpendapat bahawa solat yang dibenarkan itu hanyalah solat tawaf sebagaimana dinukilkan oleh ulama dari Khurasan dan sebahagian ulama dari ‘Iraq. Di antara mereka ialah al-Syeikh Abu Hamid, al-Bandaniji dan pengarang al-Hawi menukilkannya daripada Abu Bakar al-Qaffal al-Syasyi. Walau bagaimanapun, pendapat muktamad ialah pendapat yang pertama. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/179-179).

Selain daripada itu, Mantan Mufti Besar Arab Saudi juga pernah ditanya berkenaan hukum seseorang yang mendirikan solat dua rakaat di belakang maqam Ibrahim A.S pada waktu-waktu yang dilarang untuk mengerjakan solat-solat sunat?

Beliau menjawab, tidak ada masalah perkara tersebut berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

يَا بَنِي عَبْدِ مَنَافٍ، لا تَمْنَعُوا أَحَدًا طَافَ بِهَذَا الْبَيْتِ وَصَلَّى أَيَّةَ سَاعَةٍ شَاءَ مِنَ ليْلِ أو نهَارِ

Maksudnya:Wahai Bani ‘Abd Manaf, janganlah kamu melarang siapapun yang hendak tawaf di rumah ini (Kaabah) dan mendirikan solat pada mana-mana waktu yang dikehendakinya, baik malam ataupun siang hari.

Hadith di atas telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan pengarang sunan yang empat dengan sanad yang sahih.

Selain daripada itu, solat tawaf juga termasuk dalam jenis solat yang mempunyai sebab (zawat al-asbab). Oleh itu, tidak mengapa untuk mengerjakannya pada waktu yang dilarang — untuk mengerjakan solat — seperti mana solat tahiyyatul masji dan solat gerhana berdasarkan kepada hadith yang telah disebutkan dan selainnya daripada hadith-hadith yang membahaskan topik ini.[1]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa solat sunat tawaf boleh dilakukan sekalipun pada waktu-waktu yang dilarang untuk solat padanya kerana terdapat nas yang mengecualikannya secara khusus dan ia juga termasuk dalam solat yang mempunyai sebab (zawat al-asbab).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 8 Mac 2023 bersamaan 15 Syaaban 1444H

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/4225/ ركعتا-الطواف-وقت-النهي. Diakses pada 17 Jun 2022.