#1092: Memakan Tikus

Original price was: RM265.00.Current price is: RM200.00.

Siri Umrah dan Haji

[eBook] Panduan Haji dan Umrah

Original price was: RM50.00.Current price is: RM40.00.

Siri Kematian

10 eBook Siri Kematian

Original price was: RM60.00.Current price is: RM35.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum makan tikus sebenarnya sebab saya dengar ada mazhab yang mengharuskannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf : 157)

Ayat ini menunjukkan bahawa dihalalkan segala benda-benda yang berasa elok pada jiwa dan enak pada tabiat manusia, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan bahawa ia adalah haram. Begitu juga diharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah, serta orang yang memakannya dianggap fasik.  Dalam kata lain, semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit. Lalu apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Justeru setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum sebaliknya. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).

Definisi tikus

Tikus (genus Mus), nama biasa secara amnya tetapi tidak tepat digunakan untuk tikus yang ditemui di seluruh dunia dengan badan kurang daripada kira-kira 12 cm (5 inci) panjang. Dalam konteks saintifik, tikus (mouse) merujuk kepada mana-mana daripada 38 spesies dalam genus Mus, iaitu perkataan Latin untuk tikus. Tikus rumah (Mus musculus), yang berasal dari Asia Tengah, telah memantapkan dirinya dengan populasi manusia di banyak bahagian lain di dunia.

Semua tikus dengan badan seperti mouse atau rat, tanpa mengira saiz badan atau ciri diagnostik, telah digambarkan sebagai spesies Mus antara 1758 dan akhir 1800-an. Kajian seterusnya mengalihkan kebanyakan spesies tersebut ke dalam banyak kumpulan yang berbeza, meninggalkan Mus sebagai genus yang lebih kecil dan jelas dengan gabungan ciri-ciri tertentu. Di dalam genus terdapat empat kumpulan tersendiri: tikus berduri (subgenus Pyromys), shrew-mice (subgenus Coelomys), tikus sawah dan tikus rumah (subgenus Mus), dan tikus Afrika (subgenus Nannomys).

Tikus mempunyai badan yang langsing, muncung tumpul atau tirus, berbulu tipis, telinga menonjol, kaki belakang yang sempit dengan tapak botak, dan kuku yang tajam dan kecil. Ekor berbulu nipis kelihatan tidak berbulu; ia mungkin sama panjang dengan kepala dan badan, atau boleh jadi lebih pendek. Salah satu yang terbesar ialah tikus berbulu rata (M. platythrix) semenanjung India, seberat kira-kira 18 gram (0.6 auns), dengan panjang badan 10 hingga 12 cm (4 hingga 4.7 inci) dan ekor yang lebih pendek (7 hingga 8cm [2.8 hingga 3.1 inci]). Yang terkecil pula mungkin ialah tikus kerdil (M. Minutoides) sub-Sahara Afrika, seberat 3 hingga 12 gram (0.11 hingga 0.42 auns), dengan badan 6 hingga 8 cm (2.3 hingga 3.1 inci) panjang dan ekor pendek 3 hingga 6 cm (1.2 hingga 2.3 inci).

Dari segi dietnya (pemakanannya) adalah berbeza-beza antara spesies. Di luar rumah tikus memakan biji-biji benih dan serangga, manakala di dalam rumah pula ia memakan hampir apa sahaja yang boleh dihadam. Kebanyakan spesies lain memakan gabungan bahagian tumbuhan (terutamanya biji), serangga, dan invertebrata lain. Perut tikus kerdil perut kelabu yang ditangkap di Afrika Timur, contohnya, mengandungi bahagian tumbuhan, kepingan kulit kayu, serangga (kebanyakannya kumbang dewasa), dan cacing.[1]

Tikus mempunyai spesies-spesies dan jenis-jenis yang banyak. Telah disebutkan pada sebahagian penelitian bahawa tikus mempunyai 86 jenis dan terdiri daripada 720 spesies. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab al-Qawaridh fi al-Wathni al-‘Arabi karya ‘Adil Muhammad Ali, (hlm. 75).

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (4/39) menyatakan, tikus mempunyai pelbagai jenis, seperti al-Juradz (rat), al-khuld (tikus gurun), tikus unta, tikus ikan, dan banyak lagi. Semua jenis tikus ini hukumnya sama, iaitu haram dimakan dan boleh dibunuh.

Hukum makan tikus

Pada asasnya, tikus termasuk dalam jenis haiwan hasyarat al-ardh (حَشَرَاتِ الْأَرْضِ) sepertimana kala jengking, kumbang, lipas, ular, cicak dan seumpamanya. Dalam bahasa mudahnya, hasyarat ialah haiwan kecil yang melata di bumi dan haiwan kecil perosak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/278).

Ulama mazhab Hanafi, Syafi‘i dan Hanbali berpendapat, tidak halal untuk memakan tikus. Al-Mahalli dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i menyatakan, pengharamannya adalah disebabkan oleh terdapatnya larangan untuk memakannya dan perintah untuk membunuhnya. Manakala di sisi ulama mazhab Maliki pula terdapat dua pendapat. Pendapat pertama menyatakan ia adalah haram untuk dimakan seperti mana mazhab jumhur ulama. Pendapat kedua menyatakan, hukum memakannya adalah makruh. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyyah al-Kuwaitiyyah, 6/32).

Selain daripada itu, ulama mazhab Maliki juga ada menyatakan berkenaan tikus bahawa sekiranya diketahui ia telah sampai ke najis, maka hukum memakannya adalah makruh, dan sekiranya tidak diketahui ia telah sampai ke najis, maka hukum memakannya adalah diharuskan. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyyah al-Kuwaitiyyah, 5/144).

Al-Syeikh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir menyatakan, dihukumkan sebagai makruh untuk memakan tikus dan ia adalah pendapat yang masyhur dalam mazhab Maliki. Namun, al-Dusuki dalam hasyiahnya bagi kitab ini menyebutkan, pendapat itu perlu diperhalusi lagi. Hal ini kerana dinyatakan dalam kitab al-Taharah daripada al-Taudhih bahawa mengenai tikus dan kelawar terdapat tiga pendapat. Pendapat yang menyatakan keharamannya adalah pendapat yang masyhur, dan dia menukilkannya. Begitu juga disebutkan daripada Ibn Rusyd bahawa dia menghafal pendapat yang menyatakan keharamannya. (Lihat Hasyiah al-Dusuki ‘ala al-Syarh al-Kabir, 2/115).

Tidak syak lagi bahawasanya tikus termasuk dalam haiwan fawasiq yang diperintahkan untuk dibunuh. Nabi SAW bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ، يُقْتَلْنَ فِي الحَرَمِ: الفَأْرَةُ، وَالعَقْرَبُ، وَالحُدَيَّا، وَالغُرَابُ، وَالكَلْبُ العَقُورُ

Maksudnya: “Lima binatang fawasiq (yang mendatangkan kerosakan) boleh dibunuh di Tanah Haram: Tikus, kala jengking, helang, gagak, dan anjing yang ganas.”

Riwayat al-Bukhari (3314; 1826) dan Muslim (1198)

Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (9/22) bahawa para ashab kami (ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i) menyebutkan, apa-apa haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh, maka ia adalah haram untuk dimakan kerana Nabi SAW memerintahkan untuk membunuh lima binatang fawasiq (yang mendatangkan kerosakan)[2] dalam Tanah Haram dan ketika dalam keadaan berihram. Sekiranya ia adalah halal untuk dimakan, sudah tentu Baginda SAW tidak memerintahkan untuk membunuhnya. Apatah lagi terdapat firman Allah SWT:

لَا تَقْتُلُوا الصَّيْدَ وَأَنتُمْ حُرُمٌ

Maksudnya:Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram.”

(Surah al-Ma’idah: 95)

Apatah lagi, ia haiwan yang dianggap jijik dan kotor. Firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “dan dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Menurut al-Maraghi perkataan “الْخَبَائِثَ” bermaksud diharamkan buat mereka daripada memakan makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya seperti bangkai dan darah yang mengalir. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/82-83). Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya pula menyatakan, makna ayat ini ialah apa-apa yang dianggap jijik dan kotor oleh orang Arab. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16).

Malah Fakhruddin al-Razi ada menyebutkan bahawa semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Oleh itu, setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan hukumnya yang berbeza. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tikus termasuk dalam jenis haiwan yang haram untuk dimakan sebagaimana pendapat jumhur ulama dan salah satu pendapat dalam mazhab Maliki. Hal ini kerana ia dianggap sebagai haiwan yang dianggap jijik, dan termasuk dalam jenis haiwan perosak yang diperintahkan untuk dibunuh. Justeru, inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan tepat (أقرب إلى الصواب).

Lebih-lebih lagi, Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya:Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

(Surah al-A‘raf: 157)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 8 Mac 2023 bersamaan 15 Syaaban 1444H

[1] Lihat https://www.britannica.com/animal/mouse-rodent/Geographic-distribution-and-habitat. Diakses pada 2 Mac 2023.

[2] Lima haiwan perosak itu ialah tikus, kala jengking, helang, gagak, dan anjing yang ganas.