#1096: Bersentuhan Lelaki dan Perempuan ketika Tawaf

Original price was: RM265.00.Current price is: RM200.00.

Siri Umrah dan Haji

[eBook] Panduan Haji dan Umrah

Original price was: RM50.00.Current price is: RM40.00.

Siri Kematian

10 eBook Siri Kematian

Original price was: RM60.00.Current price is: RM35.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah batal wuduk jika tersentuh tangan berlainan jantina ketika melakukan tawaf, lebih-lebih lagi dalam suasana orang ramai dan sesak sehingga sukar untuk dielakkan? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya:Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”[1]

Al-Syaukani menyatakan bahawa tawaf yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah tawaf ifadhah. Kaabah disebut sebagai “الْعَتِيقِ” kerana Allah SWT telah membebaskannya daripada kekuasaan orang yang zalim. Terdapat pendapat lain menyatakan bahawa maknanya ialah mulia.[2]

Syarat Sah Tawaf

Secara umumnya, suatu tawaf itu dianggap sah sekiranya memenuhi kesemua syarat-syaratnya. Antaranya syarat sah tawaf adalah sebagaimana syarat sah solat, iaitu niat, suci daripada hadas besar dan kecil, suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat tawaf dan menutup aurat.[3] Hal ini adalah sebagaimana sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

الطَّوَافُ حَوْلَ البَيْتِ مِثْلُ الصَّلاَةِ، إِلاَّ أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلاَ يَتَكَلَّمَنَّ إِلاَّ بِخَيْرٍ

Maksudnya:Tawaf mengelilingi Kaabah sama seperti solat, hanya sahaja kamu (boleh) bercakap di dalamnya (ketika tawaf). Sesiapa yang mahu bercakap-cakap tatkala tawaf, maka hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.”[4]

Begitu juga hadith daripada Aisyah R.Anha yang mana satu ketika beliau mengadu kepada Rasulullah SAW yang beliau dalam keadaan haid. Maka Rasulullah SAW bersabda:

افْعَلِي كَمَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِي

Maksudnya:Lakukanlah seperti mana yang dilakukan oleh orang yang mengerjakan ibadah Haji kecuali tawaf di Baitullah (Kaabah) sehinggalah engkau suci.”[5]

Justeru, berdasarkan hadith di atas, diketahui bahawa syarat sah tawaf mestilah dalam keadaan bebas daripada hadas. Ini juga bermaksud perlu kepada wuduk atau mandi wajib bagi seseorang yang ingin melakukan tawaf — jika dalam keadaan berhadas kecil atau besar.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi menyebutkan, termasuk dalam perkara umum balwa ketika tawaf adalah bersentuhan dengan wanita kerana kesesakan. Justeru, bagi lelaki janganlah mengasak-ngasak kaum wanita dan begitu juga bagi wanita janganlah mengasak-ngasak kaum lelaki (ketika tawaf) kerana dibimbangi terbatalnya wuduk. Jika salah seorang menyentuh kulit seseorang yang lain (yang berlainan jantina) dengan kulitnya (tanpa berlapik), maka hukumnya terbatal wuduk orang yang menyentuh, manakala hukum bagi orang yang disentuh pula, terdapat dua pendapat menurut Imam al-Syafi‘i:

  • Pendapat yang paling sahih (asah) di sisi kebanyakan ashabnya ialah wuduknya terbatal. Inilah yang dinaskan dalam kebanyakan kitabnya.
  • Pendapat kedua menyatakan, tidak batal wuduknya. Inilah pendapat yang dipilih oleh sekumpulan yang sedikit dalam kalangan ashab Syafi‘i.

Namun, pendapat yang terpilih (muktamad) ialah pendapat yang pertama iaitu batal wuduk.

Adapun jika seorang lelaki itu menyentuh rambut wanita, kukunya atau giginya, ataupun seseorang lelaki menyentuh kulit wanita dengan rambutnya, kukunya atau giginya, maka wuduknya tidak terbatal. Jika bersentuh hingga kedua-dua kulit terkena serentak, maka tiada dalam kalangan kedua-duanya orang yang disentuh, bahkan wuduk kedua-duanya terbatal tanpa sebarang khilaf.

Selain itu, jika orang perempuan yang disentuh termasuk dalam kalangan yang haram dikahwininya secara kekal dengan sebab keluarga, penyusuan atau persemendaan, maka tidak batal wuduk seseorang pun daripada mereka berdua (yakni orang yang menyentuh dan disentuh) disebabkan oleh sentuhan kulit itu mengikut pendapat yang paling sahih. Selain daripada itu, hukum batal wuduk tersebut juga adalah sama, tidak kira persentuhan (antara lelaki dan wanita) itu melibatkan wanita asing (ajnabi) yang cantik, hodoh, muda atau yang tua. Akan tetapi, tidak memudaratkan (yakni batal wuduk) sentuhan seseorang lelaki dengan wanita tetapi berlapik dengan baju yang nipis atau selainnya sekalipun dengan syahwat. Begitu juga tidak batal wuduk dengan menyentuh kanak-kanak kecil sama ada lelaki dan perempuan yang belum sampai had umur yang diingini padanya. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 158-159).

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi dalam kitabnya yang lain ada menukilkan pendapat-pendapat dalam kalangan ulama berkenaan isu ini. Di antaranya beliau menyebutkan:

  • Pendapat mazhab Syafi‘i ini[6] juga adalah sama sepertimana pendapat yang dipegang oleh Umar bin al-Khattab, Abdullah bin Mas‘ud, Abdullah bin Umar, Zaid bin Aslam, Makhul, al-Sya‘bi, al-Nakha‘I, ‘Ata’ bin al-Sa’ib, al-Zuhri, Yahya bin Sa‘id al-Ansari, Rabi‘ah, Sa‘id bin ‘Abd al-‘Aziz dan salah satu riwayat daripada al-Auza‘i.
  • Manakala mazhab kedua pula menyatakan tidak batal wuduk melalui sentuhan secara mutlak. Ini merupakan pendapat yang dinukilkan daripada Ibn Abbas, ‘Ata’, Tawus, Masruq, al-Hasan dan Sufyan al-Thauri. Bahkan ini juga merupakan pendapat Abu Hanifah tetapi beliau menyatakan, jika seseorang lelaki menggauli isterinya pada bahagian selain faraj, lalu zakarnya tegang, maka wajib ke atasnya untuk berwuduk.
  • Seterusnya mazhab ketiga berpendapat, jika sentuhan itu dengan syahwat, maka batal wuduknya dan sekiranya tidak (yakni tanpa syahwat), maka wuduknya tidak terbatal. Ini adalah pendapat yang dinukilkan daripada al-Hakim, Hammad, Malik, al-Laith, Ishaq, satu riwayat daripada al-Sya‘bi, al-Nakha‘i, Rabi‘ah, al-Thauri dan daripada Ahmad terdapat tiga riwayat seperti mana tiga mazhab yang telah disebutkan.
  • Seterusnya mazhab keempat pula berpendapat, jika sentuhan itu dengan sengaja maka batal wuduknya, dan sekiranya tidak sengaja, maka tidak batal wuduk. Ini adalah mazhab Daud, tetapi anaknya menyelisihinya dalam hal ini dan berpendapat, tidak terbatal wuduk dengan apa keadaan sekalipun.
  • Kemudian mazhab kelima menyatakan, jika sentuhan itu dengan anggota wuduk, maka batal wuduknya dan sekiranya tidak (yakni bukan dengan anggota wuduk) maka tidak batal wuduknya. Pendapat ini dinukilkan oleh pengarang al-Hawi daripada al-Auza‘i, dan dinukilkan juga daripadanya bahawa tidak batal wuduk melainkan sentuhan dengan tangan.
  • Kemudian mazhab keenam menyatakan, jika menyentuh dengan syahwat, maka batal wuduknya sekalipun sentuhan itu di atas alas yang nipis. Pendapat ini dinukilkan daripada Rabi‘ah dan Malik dalam satu riwayat daripada kedua-duanya.
  • Kemudian mazhab ketujuh berpendapat, sekiranya seseorang lelaki menyentuh orang yang halal baginya (untuk dikahwini), maka batal wuduknya, dan sekiranya dia menyentuh orang yang haram untuknya, maka tidak batal wuduknya. Pendapat ini dinukilkan oleh Ibn al-Munzir dan pengarang al-Hawi daripada ‘Ata’. Namun pendapat ini bertentangan dengan apa yang dinukilkan oleh jumhur ulama dan ia tidak sah (benar) daripada sesiapapun. Insya-Allah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/30-31).

Pendapat-pendapat yang kami kemukakan di atas adalah berdasarkan pengamatan kami terhadap pendapat para ulama. Adapun badan berautoriti yang menguruskan ibadat Haji Malaysia melalui Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-21 Musim Haji 1426H menyatakan:

  • Dalam isu batal wuduk ketika mengerjakan tawaf, maslahat jemaah haji dapat dijamin, masyaqqah dan haraj mereka seperti kesesakan di tempat tawaf yang boleh menyebabkan berlaku persentuhan lelaki dan perempuan, ia dapat dihindarkan dengan beralih daripada pendapat mazhab al-Syafi‘i yang masyhur dan berpegang kepada pendapat marjuh dalam mazhab al-Syafi‘i, atau memilih pendapat selain mazhab al-Syafi‘i.
  • Jemaah Haji boleh menggunakan pendapat yang mengatakan tidak batal wuduk jika berlaku persentuhan lelaki dan perempuan tanpa syahwat, berdasarkan hal-hal berikut:
    • Ia adalah pendapat yang paling sederhana.
    • Fuqaha mazhab al-Syafi‘i pun ada yang berpendapat sedemikian sebagaimana yang disebut oleh Ibn Suraij dan al-Rafi‘i.
    • Pendapat tersebut ialah pendapat yang paling tepat dengan maqasid syariah dan menepati ruh syariah.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat tidak batal wuduk jika tersentuh kulit berlainan jantina ketika melakukan tawaf disebabkan oleh masyaqqah dan kesukaran untuk mengelakkannya kerana kesesakan di tempat tawaf. Pendapat ini juga adalah sebagaimana yang telah diputuskan oleh Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-21 Musim Haji 1426H dan pendapat yang marjuh dalam mazhab al-Syafi‘i. Justeru, tawaf yang dilakukan adalah dikira sah dan tidak perlu mengulanginya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 8 Mac 2023 bersamaan 15 Syaaban 1444H

[1] Surah al-Hajj: 29

[2] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 437.

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/141.

[4] Riwayat al-Tirmizi (960)

[5] Riwayat al-Bukhari (1650)

[6] Iaitu sentuhan kulit antara lelaki dan perempuan membatalkan wuduk, tidak kira dengan syahwat dan sengaja ataupun tidak, dan tidak membatalkan wuduk jika berlapik sekalipun nipis.