#1098: Memakan Ikan Tembakul

Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
Original price was: RM10.00.Current price is: RM7.00.
Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.

Buku Fizikal

Dengan Nama Allah

Original price was: RM15.00.Current price is: RM10.50.

Buku Fizikal

Imam Mahdi

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Original price was: RM70.00.Current price is: RM49.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan ikan tembakul dan adakah ia sama sahaja seperti ikan-ikan yang lain? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”[1]

Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak (pendapat) sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. Oleh itu, Allah SWT telah berfirman, “Qul – katakanlah” iaitu wahai Muhammad kepada mereka kaum Musyrikin yang telah mengharamkan sesuatu berdasarkan pendapat mereka yang menyeleweng (rosak) lagi bid’ah. Dan firman Allah SWT, “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hambaNya” iaitu (perhiasan tersebut) adalah merupakan sesuatu yang telah dijadikan atau diciptakan oleh Allah buat sesiapa yang beriman kepada-Nya atau hamba-hamba-Nya di atas dunia ini, sekalipun orang-orang kafir itu turut sama menikmatinya di atas dunia ini. Akan tetapi apabila di hari kiamat kelak, perhiasan tersebut adalah khusus buat mereka (orang-orang yang beriman) dan tidak ada seorang pun dalam kalangan orang-orang kafir yang akan berkongsi bersama mereka kenikmatan tersebut kerana syurga itu telah diharamkan buat orang-orang kafir (dari memasukinya).[2]

Definisi ikan tembakul

Ikan tembakul yang dikenali juga sebagai ikan belacak adalah salah satu ikan yang paling aneh di dunia. Hal ini kerana ramai yang tersilap dengan menyangka bahawa mereka adalah amfibia atau mempunyai paru-paru, kerana mereka menghabiskan sebahagian besar masa mereka di luar air. Dalam bahasa Inggeris, mereka dipanggil sebagai mudskipper. Ikan ini tergolong dalam famili Gobiidae.[3]

Ikan belacak, spesies ikan yang banyak menghabiskan masa di luar air. Ikan belacak boleh berjalan dan bernafas di darat. Disebabkan ia tidak mempunyai kaki, ikan belacak menggunakan sirip pectoralnya untuk bergerak. Ikan belacak boleh bernafas melakui insang dan kulitnya. Ia menyimpan gelembung air di dalam rongga insangnya, lalu membolehkannya bernafas di luar air sehingga dua hari. Selain itu, ikan belacak sering kelihatan bergolek di dalam lumpur. Ini bagi menyejukkan serta melembabkan kulitnya yang terdedah kepada terik matahari. Kadang-kadang ia bersembunyi di bawah tanah untuk menyejukkan diri dan berlindung daripada haiwan pemangsa.

Di samping itu, ikan belacak ialah haiwan karnivor. Ia memakan serangga, haiwan krustasea, ikan-ikan kecil dan cacing. Dengan mata yang tersembul di bahagian kepala, ikan belacak akan memerhati keadaan sekeliling untuk mengenal pasti kawan atau lawannya. Ikan belacak juga mempunyai kawasannya tersendiri. Ikan belacak jantan akan mempertahankan kawasannya daripada diceroboh. Hanya ikan belacak yang paling kuat akan menjadi juara.

Semasa musim mengawan, ikan belacak jantan akan menampakkan bintik-bintik berwarna biru terang. Namun disebabkan ia bersaiz kecil dan sering berada di tanah, ia sukar terlihat. Ia harus melompat tinggi untuk mendapatkan perhatian ikan belacak betina. Ia juga akan mengembangkan sirip dorsalnya untuk menarik perhatian. Ikan belacak jantan perlukan pasangan bagi membiak bagi menjamin kelangsungan spesies ini.[4]

Walaupun rupa bentuk mereka dilihat agak ganjil, ikan belacak dianggap sebagai makanan istimewa dengan harga yang tinggi di Taiwan dan Jepun. Sebelum dimakan, ia disimpan di dalam air tawar selama beberapa hari bagi menghilangkan bau lumpur.[5]

Selain itu, ikan ini juga bukanlah suatu yang asing lagi dalam masyarakat kita, lebih-lebih lagi ia ada disebutkan dalam cerita lagenda yang terkenal dalam masyarakat Melayu iaitu “Batu Belah Batu Bertangkup” di mana si ibu telah ditelan oleh batu berkenaan kerana kempunan telur ikan tembakul.

Hidupan air

Haiwan air ialah haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air, tidak kira air masin atau air tawar, sama ada di laut, sungai, tasik, air telaga atau lain-lain. Apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih atau ia dapat hidup tetapi hayatnya tidak kekal lama (di atas darat).[6]

Secara umumnya, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan bahawa hidupan air terbahagi kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”[7]

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”[8]

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini.[9] Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air.[10] Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.[11]

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.[12]

Haiwan dua alam

Selain daripada itu, oleh kerana ikan belacak juga sering dikaitkan dengan haiwan dua alam, maka kami sertakan bersama perbahasan berkenaan isu ini. Di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah disebutkan, ulama mazhab Syafi‘i berpendapat bahawa haiwan dua alam adalah haram untuk dimakan. Haiwan dua alam yang dimaksudkan ialah haiwan yang dapat hidup secara berterusan sama ada di daratan mahupun lautan (yakni air), jika tiada baginya sebarang bandingan dengan haiwan di darat yang halal dimakan. Di antara contoh haiwan dua alam yang disebutkan oleh mereka ialah katak, ketam, ular, nasnas, buaya dan penyu. Pengharaman haiwan jenis dua alam ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Rafi‘i dan Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Raudhah serta pendapat yang dipegang oleh al-Ramli.

Imam al-Nawawi kemudiannya telah membetulkan semula pendapatnya dalam kitab al-Majmu‘ bahawa semua haiwan yang tinggal di dalam air secara habitatnya[13] adalah halal bangkainya sekalipun ia boleh untuk hidup di atas daratan melainkan katak. Inilah pendapat yang muktamad di sisi al-Khatib dan Ibn Hajar al-Haitami, dan menambah pada katak — dengan memberi sebab — kerana padanya terdapat racun. Oleh itu, berdasarkan kepada pendapat ini, ketam, ular, nasnas, buaya dan penyu, jika kesemua haiwan ini tinggal di dalam air secara habitatnya, maka halal bangkainya dan tidak diambil kira kemampuannya untuk hidup di atas darat. Akan tetapi jika haiwan itu tinggal di atas daratan secara habitatnya,[14] maka haram bangkainya.[15]

Dalam erti kata lain, adanya kebarangkalian bahawa terdapat faktor lain yang mendorong kepada pengharaman kesemua haiwan dua alam yang disebutkan di atas seperti nas yang melarang, memberi mudarat kepada pemakannya atau lain-lain. Hal ini dapat difahami dengan lebih jelas melalui kenyataan daripada Dr. Muhammad al-Zuhaili yang menyebutkan bahawa katak haram dimakan kerana ada nas yang melarang untuk membunuhnya. Manakala ular dan ketam kerana racunnya serta kedua-duanya dianggap haiwan yang jijik. Selain itu juga diharamkan untuk memakan buaya kerana ia memburu dengan taringnya.[16]

Selain itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari juga ada menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, iaitu:

مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ

Maksudnya: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”

Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air. Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram — untuk memakannya.[17]

Tambahan pula Imam al-Syafi‘i juga ada menyebutkan bahawa untuk menentukan haiwan tersebut dalam kategori haiwan buruan yang mana, maka lihatlah haiwan itu hidupnya lebih banyak di darat atau di laut. Termasuk juga dalam kategori haiwan yang mengambil hukum haiwan laut ialah haiwan yang tinggal di dalam air perigi, paya, air tawar, air masin, air sedikit, air banyak dan lain-lain.[18]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa ikan tembakul atau belacak ini adalah halal untuk dimakan, dan ia adalah sebagaimana ikan-ikan yang lain.

Kemampuannya untuk hidup di atas daratan dalam beberapa keadaan juga tidak menjejaskan penisbahannya kepada haiwan air kerana kebanyakan hidupnya adalah di dalam air. Justeru, ia tetap mengambil hukum haiwan air yang halal bangkainya dan tidak perlu kepada sembelihan bagi menghalalkannya. Apatah lagi hidupnya di atas darat (luar air) itu tetap dibantu oleh gelembung air yang disimpan di dalam rongga insangnya, lalu membolehkannya bernafas di luar air sehingga dua hari. Ini menunjukkan bahawa ia tetap tidak dapat hidup lama di darat tanpa adanya bantuan air.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 8 Mac 2023 bersamaan 15 Syaaban 1444H

[1] Surah al-A‘raf : 32

[2] Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15.

[3] Lihat https://www.mysabah.com/wordpress/mudskippers/. Diakses pada 23 Februari 2023.

[4] Lihat https://youtu.be/NL8bxtF8MYk. Diakses pada 22 Februari 2023.

[5] Lihat https://www.mysabah.com/wordpress/mudskippers/. Diakses pada 23 Februari 2023.

[6] Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/150; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/127-128.

[7] Surah al-Ma’idah: 96.

[8] Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

[9] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548.

[10] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34.

[11] Surah al-Ma’idah: 96

[12] Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

[13] Yakni kehidupannya lebih banyak di dalam air.

[14] Yakni kehidupannya lebih banyak di atas daratan.

[15] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/130; Lihat juga al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/32-33.

[16] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548-549.

[17] Lihat Asna al-Matalib, 1/566.

[18] Lihat al-Umm, 2/199; 2/230.