#1100: Makan Jerboa

Original price was: RM265.00.Current price is: RM200.00.

Siri Umrah dan Haji

[eBook] Panduan Haji dan Umrah

Original price was: RM50.00.Current price is: RM40.00.

Siri Kematian

10 eBook Siri Kematian

Original price was: RM60.00.Current price is: RM35.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum makan jerboa? Adakah hukumnya sama dengan tikus? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كُنتُم بِآيَاتِهِ مُؤْمِنِينَ. ‏ وَمَا لَكُمْ أَلَّا تَأْكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَقَدْ فَصَّلَ لَكُم مَّا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلَّا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ

Maksudnya:Maka makanlah binatang-binatang (yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika kamu beriman kepada ayat-ayat-Nya. Mengapa kamu tidak mahu memakan (binatang-binatang yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada kamu apa yang diharamkan-Nya atasmu, kecuali apa yang terpaksa kamu memakannya.

(Surah al-An‘am: 118-119)

Syeikh al-Sa‘di ketika mensyarahkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT memerintahkan para hamba-Nya yang beriman sesuai dengan keimanan tersebut dan jika mereka benar-benar beriman, maka hendaklah mereka memakan haiwan ternakan dan haiwan-haiwan lain yang telah dihalalkan buat mereka, yang telah disebutkan nama Allah kepadanya (ketika menyembelihnya) dan menyakini akan kehalalannya. Janganlah mereka melakukan perbuatan sebagaimana perbuatan orang Jahiliyyah yang mengharamkan banyak daripada perkara yang halal kerana mengada-adakan sesuatu yang baru daripada pihak mereka sendiri, di samping penyesatan daripada syaitan-syaitan mereka. Justeru, Allah SWT menyebutkan bahawa tanda orang beriman adalah dengan menyelisihi orang Jahiliyyah dalam adat kebiasaan yang buruk ini yang termasuk dalam perbuatan mengubah syariat Allah SWT.

Seterusnya ditegaskan pula bahawa apakah yang menghalang lagi kamu — orang beriman — daripada memakan haiwan yang telah disebutkan nama Allah (ketika menyembelihnya). Sesungguhnya Allah SWT telah menjelaskan dan menerangkan kepada para hamba-Nya apa yang diharamkan buat mereka. Oleh itu, tidak ada lagi padanya sebarang kesamaran mahupun syubhah yang menghalang mereka daripada memakan sebahagian perkara yang halal kerana bimbang terjatuh ke dalam perkara haram.

Ayat al-Quran ini menunjukkan bahawa hukum asal bagi sesuatu dan makanan adalah diharuskan, dan ini adalah sekiranya tidak terdapat daripada syarak sebarang pengharaman daripadanya, maka ia kekal dalam hukum asalnya iaitu harus. Justeru, apa yang didiamkan oleh Allah SWT mengenainya, maka ia adalah halal kerana perkara yang haram telah dijelaskan oleh Allah SWT. Oleh itu, apa yang tidak dijelaskan oleh Allah SWT (sebagai haram), tidak dihukumkan sebagai haram. Selain daripada itu, perkara haram yang telah dijelaskan dan diterangkan oleh Allah SWT itu juga boleh menjadi harus ketika keadaan dharurat (keperluan mendesak) dan kelaparan yang melampau (sehingga boleh membawa maut). Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat ke-3. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/270-271).

Definisi Jerboa

Dalam bahasa Arab, Jerboa dikenali sebagai yarbu‘ (يربوع) atau jarbu‘ (جربوع). Jerboa ialah mamalia yang kelihatan seperti kanggaru kecil. Jerboa berwarna perang kekuningan dan mempunyai telinga yang runcing, mata bulat bak butang, dan misai yang panjang. Kaki depannya pendek, dan kaki belakangnya panjang dan kuat. Jerboa biasanya berjalan menggunakan kaki belakang. Apabila ketakutan, ia akan berlari melompat-lompat seperti kanggaru. Jerboa adalah sejenis rodensia. la tergolong dalam order haiwan yang sama dengan tikus dan tupai. la tinggal di gurun dan kawasan kering di Afrika, Asia, dan timur Eropah. Jerboa hidup berkumpulan dalam lubang bawah tanah. la keluar waktu malam untuk mencari makanan. Jerboa memakan tumbuh-tumbuhan, biji, dan serangga. Dalam iklim sejuk, jerboa berhibernat.

Gambar atas: Jerboa.[1]

Ahli sains telah mengenal pasti 25 spesies jerboa. Jerboa berkaki-bulu pelepah, satu daripada spesies yang paling luas tersebar, didapati di bahagian tengah Rusia merentasi Mongolia hingga ke utara China. Jerboa dan tikus kanggaru, yang hidup di Amerika Syarikat, adalah terlalu serupa hingga sukar untuk dibezakan antara satu sama lain. la adalah contoh yang dinamakan oleh ahli biologi sebagai evolusi tumpuan. Kajian tentang tengkorak dan gigi kedua-dua haiwan ini menunjukkan bahawa kedua-duanya mempunyai leluhur yang agak berbeza. Dari segi pengelasan saintifik, jerboa membentuk famili Jerboa, Dipodidae. Jerboa berkaki-bulu pelepah ialah Dipus sagitta. (Lihat Ensiklopedia Dunia, Terj. DBP, 9/715).

Perbezaan antara tikus kanggaru dengan jerboa

Perbezaan utama antara jerboa dan tikus kanggaru adalah dari segi klasifikasi, rupa, dan tabiat menggali dan hibernasi. Kami ringkaskannya seperti mana berikut:

  • Walaupun kedua-dua spesies ini saiznya kecil, tikus kanggaru adalah lebih besar sedikit berbanding jerboa. Tikus kanggaru bersaiz sederhana, seberat 35 hingga 180 gram, dengan panjang badan 10 hingga 20 cm (4 hingga 8 inci) dan ekor yang sama panjang. Sebaliknya, jerboa pula mempunyai badan seperti tetikus yang mempunyai panjang antara 5 hingga 15 cm (2 hingga 5.9 inci) dan ekor panjang antara 7 hingga 25 cm (2.7 hingga 9.8 inci).
  • Spesies Jerboa berbeza secara taksonomi, dengan individu-individu yang tergolong dalam lima subfamili berbeza dalam keluarga Dipodidae. Manakala tikus kanggaru pula dikelaskan dalam order Rodentia dalam keluarga Heteromyidae (tikus yang berbeza) dan bukannya tikus “sebenar” (keluarga Muridae).
  • Jerboa adalah haiwan yang dikenali sebagai comel dan lasak. Rodensia gurun kecil ini menggunakan misai panjang seperti kucing untuk mengemudi habitat mereka. Sebagaimana namanya, jerboa bertelinga panjang mempunyai telinga yang jauh lebih panjang daripada spesies rodensia yang lain. Sementara itu, tikus kanggaru pula mempunyai kaki belakang yang kuat yang membolehkan mereka melompat sepanjang badan mereka sendiri berkali-kali. Ekor mereka, digunakan untuk keseimbangan, berumbai dan lebih panjang daripada seluruh badan haiwan itu, memberikan mereka moniker “tikus kanggaru.” Berbanding dengan jerboa, ciri yang paling berbeza bagi haiwan ini ialah mereka mempunyai kantung pipi yang dilapisi bulu, dan ia mengisi kantung ini dengan biji dan meletakkannya di tempat simpan yang tersembunyi yang bertaburan di sekitar wilayah mereka.
  • Jerboa mempunyai tabiat membina atau menggali banyak lubang. Manakala tikus kanggaru hanya menggali satu lubang untuk dirinya sendiri.
  • Pada musim sejuk jerboa berhibernasi, sedangkan tikus kanggaru tidak berhibernasi. Oleh itu, liang musim sejuk jerboa direka untuk menjadi hangat dan selamat seboleh mungkin. Apabila mereka bangkit daripada tidur musim sejuk mereka, maka bermulalah musim mengawan. Jerboa dipercayai mengamalkan polygyny, yang bermaksud bahawa jantan tunggal akan kerap mengawan dengan banyak betina, tetapi betina pula hanya akan mengawan dengan seekor jantan sahaja. Satu penjelasan mengapa jerboa berhibernasi manakala tikus kanggaru tidak, adalah kerana jerboa tidak menyimpan stok makanan mereka seperti tikus kanggaru lakukan. Tikus kanggaru boleh memakan benih yang disimpan semasa musim sejuk. Sedangkan jerboa tidak boleh makan biji keras; mereka hanya memakan serangga, rumput, dan cendawan.[2]

Gambar atas: Tikus Kanggaru.[3]

Hukum makan jerboa

Pada asasnya, para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum makan jerboa. Jumhur ulama berpendapat ia adalah halal untuk dimakan. Imam Malik berpendapat tidak mengapa memakan landak, jerboa, dhab, zarib,[4] arnab dan apa-apa haiwan yang menyerupainya. (Lihat al-Mudawwanah, 1/450).

Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, pada perincian berkenaan sebahagian jenis hasyarat yang diharamkan dan yang diharuskan untuk dimakan ada dinyatakan bahawa ulama mazhab al-Syafi‘i berpendapat, diharuskan untuk memakan wabar (hyrax), ummu hubain (trapelus), jerboa, ibn ‘urs (weasel) dan landak. Adapun diharuskan untuk memakan ummu hubain kerana ia disamakan dengan dhab. Manakala baki yang lain pula diharuskan untuk memakannya kerana ia tidak dianggap sebagai haiwan yang mustakhbathah (jijik dan kotor).

Seterusnya, ulama mazhab Hanbali pula berselisih pendapat dengan ulama mazhab al-Syafi‘i pada landak dan ibn ‘urs, di mana mereka berpendapat kedua-dua haiwan itu adalah haram untuk dimakan. Manakala bagi wabar dan jerboa pula terdapat dua riwayat mengenai hukum memakannya. Riwayat yang paling sahih daripada dua riwayat tersebut menyatakan bahawa ia adalah harus untuk dimakan. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/144).

Kemudian, ulama yang berpendapat ia adalah haram untuk dimakan adalah pendapat mazhab Hanafi. Mulla Khusru menyebutkan dalam kitabnya, tidak halal untuk dimakan haiwan buas yang bertaring atau burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam iaitu haiwan buas yang memburu dengan menggunakan taringnya dan juga burung yang memburu dengan menggunakan cengkaman kukunya, begitu juga hasyarat iaitu haiwan kecil yang melata di bumi, keldai ahli (peliharaan atau domestik), sehinggalah beliau menyebutkan, begitu juga gajah, jerboa, ibn ‘urs, dan haiwan-haiwan air kecuali ikan yang tidak terapung. Hal ini kerana ikan yang terapung itu adalah ikan yang mati dalam air dengan sendirinya tanpa sebarang sebab. (Lihat Durar al-Hukkam Syarh Ghurar al-Ahkam, 1/280).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa jerboa halal untuk dimakan dan ini merupakan pendapat jumhur ulama. Hal ini kerana ia bukanlah haiwan yang dianggap jijik dan kotor oleh orang Arab. Di samping itu, haiwan ini juga jarang dikenali oleh masyarakat kita dan ia lebih dikenali dalam masyarakat Arab. Selain daripada itu juga, jerboa tidak termasuk dalam jenis tikus yang diperintahkan untuk dibunuh serta diharamkan untuk dimakan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 8 Mac 2023 bersamaan 15 Syaaban 1444H

[1] Sumber gambar: https://a-z-animals.com/blog/jerboa-vs-kangaroo-rat-what-are-their-differences/ Diakses pada 3 Mac 2023.

[2] Lihat https://a-z-animals.com/blog/jerboa-vs-kangaroo-rat-what-are-their-differences/. Diakses pada 1 Mac 2023.

[3] Sumber gambar: https://a-z-animals.com/blog/jerboa-vs-kangaroo-rat-what-are-their-differences/. Diakses pada 3 Mac 2023.

[4] Haiwan yang lebih kecil daripada kucing, berkaki pendek dan berbau busuk — skunk.