Soalan:
Tangan kanan saya disimen kerana patah selama 3 minggu. Selama 3 minggu tersebut bagaimana cara berwudhuk dan tayammum dalam tempoh tersebut?
Jawapan:
Definisi patah tulang adalah keadaan dimana berlaku renggangan atau keretakkan pada struktur sesuatu tulang yang menjejaskan fungsi, bentuk/posisi, dan pergerakkan sesuatu tulang. Kepatahan tulang biasanya berlaku apabila terdapat tekanan atau daya renggangan yang melampau melebihi keupayaan tulang itu sendiri. Kepatahan biasanya melibatkan kemalangan,kecederaan semasa bersukan,jatuh dari tempat yang tinggi. Kepatahan tulang juga boleh berlaku pada tulang yang tidak normal dan tulang rapuh seperti “osteoporosis” dimana struktur dalam tulang telah menjadi rapuh dan kekurangan zat seperti kalsium sekaligus menyebabkan tulang menjadi lembut dan senang patah. Kepatahan tulang disebabkan tulang rapuh boleh mencecah 30% bagi wanita berumur 50 tahun ke atas dan dilaporkan lebih kurang 1.5 juta kepatahan setiap tahun disebabkan oleh tulang rapuh di seluruh dunia.
Jika berlaku kepatahan, pesakit digalakkan berjumpa doktor untuk mendapat rawatan susulan. Jika kepatahan tidak berapa serius, pesakit boleh dirawat menggunakan balutan simen (POP : plaster of paris). Akan tetapi jika kepatahan yang lebih parah, pesakit mungkin memerlukan pembedahan dan gantian sokongan besi pada tulang yang patah.
Kami katakan di sini ada 3 cara yang diutarakan pendapat oleh para ulama dan fuqaha.
- Mazhab Syafi’i yang masyhur, hendaklah seseorang itu mengambil wudhuk dengan sempurna dahulu sebelum dilakukan proses menyimen tulang yang patah. Kemudian, selepas itu, bolehlah dia sapu ke atas anggota tersebut setiap kali berwudhuk.
- Seseorang itu hendaklah melakukan seperti di atas dan setiap kali untuk membasuh kepada tangan yang disimen, hendaklah diganti dengan tayammum dan kemudian teruskan membasuh baki wudhuk seterusnya.
- Pendapat yang ketiga, dengan cara berpindah kepada tayammum tanpa perlu berwudhuk. Ini kerana, hukum tayammum sendiri telah menggantikan tempat wudhuk tersebut. Pendapat ini mempunyai asas yang kuat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW tentang seorang yang mendapat luka di kepala dan meninggal dunia selepas dia mandi:
إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيهِ أَنْ يَتَيَمَّمَ أَوْ يَعْصِبَ عَلَى جُرْحِهِ خِرْقَةً ثُمَّ يَمْسَحَ عَلَيْهَا وَيَغْسِلَ سَائِر جَسَدِهِ
Maksudnya: “Dia sepatutnya bertayammum sahaja dan membalut lukanya dengan kain, kemudian menyapunya dan basuh seluruh badannya.”
Riwayat Abu Daud (336)
Ia selaras dengan kaedah fiqhiyyah:
الْمَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيْرَ
Maksudnya: “Kesusahan akan membawa kepada kemudahan.”
Kaedah ada menyebut:
الْبَدَلُ يَأْخُذُ حُكْم الْمُبْدَل مِنْهُ
Maksudnya: “Ganti itu mengambil hukum yang diganti daripadanya.”
Justeru, hukum tayammum telah mengambil segala hukum yang terkait dengan wudhuk apabila tidak dapat dilaksanakan wudhuk dengan sempurna dengan sebab uzur syar’ie. Saya cenderung kepada pendapat yang ketiga ini dan mentarjihkannya. Ini selaras dengan nas hadith dan kaedah yang dikemukakan di samping maslahat kepada pesakit.
Saya mengambil kesempatan untuk menyarankan kepada pihak berautoriti atau para ulama untuk mengemukakan sebuah buku secara khusus yang dinamakan sebagai Fiqh Pesakit. Ia meraikan sifat mudah, maslahah untuk pesakit serta kemampuan dalam melaksanakan ibadat dengan mudah.
Hal ini bagi pesakit dan juga yang menjaga pesakit dalam mengendalikan acara ibadatnya. Boleh jadi dalam beberapa isu, sifat raf’u al-haraj atau mengangkat kesukaran perlu dititik beratkan dalam mengemukakan fiqh pesakit. Begitu juga, boleh jadi satu-satu hukum itu yang telah diputuskan merentasi mazhab yang diikuti oleh seseorang.
Ini akan dapat dizahirkan betapa tasamuh dan toleransinya agama Islam kepada umatnya agar dalam apa jua sekali pun keadaan seseorang itu, namun, pelaksanaan ibadat mampu diteruskan dengan seupaya mungkin berdasarkan rukhsah serta kaedah yang selalu disebut:
الْمَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيْرَ
“Kesusahan akan membawa kepada kemudahan.”
Akhirnya, jelas terbukti betapa syariat sifatnya mudah dan sesuai dilaksanakan dalam apa jua keadaan. Ia sekali-kali tidak ingin menyusahkan tetapi mencari alternatif untuk memudahkannya dalam urusan beribadat dan kehidupan manusia. Benarlah firman Allah SWT:
مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan).”
(Surah al-Maidah: 6)
Firman Allah SWT:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”
(Surah al-Haj: 78)
Firman Allah SWT:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”
(Surah al-Baqarah: 185)
Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita untuk melaksanakan ibadat kepada-Nya dengan sempurna dan diterima oleh-Nya. Amin.