#1121: Rahsia dan Kesan Ibadah

Soalan:

Boleh ustaz terangkan kepada kami apakah rahsia dan kesan ibadah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Saya terangkan dahulu erti ibadah. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, ibadah bermaksud khidmat bakti kepada Tuhan. Perbuatan dan amalan yang dilakukan sebagai bakti kepada atau kerana Tuhan (seperti bersembahyang, berpuasa, bersedekah, berbuat baik sesama manusia dan lain-lain). Dia berdoa supaya semuanya diterima Tuhan. 

Ibadah adalah berasal daripada perkataan Arab, iaitu ‘عِبَادَة’, yang berasal daripada kata akar ‘عَبَدَ – يَعْبُدُ – عِبَادَةً’. Dari segi bahasa, ia bermaksud taat, tunduk dan merendah diri. Ibn Manzur menyebut, ibadah dari segi bahasa ialah al-ta’ah (الطَّاعَة) iaitu taat. (Lihat Lisan al-’Arab, 3/272) Al-Wahidi menggabungkan makna ibadah dari segi bahasa dengan menyebut, “Ia adalah ketaatan dengan cara merendah diri dan menundukkan diri.” (Lihat al-Matla’ ‘ala Alfaz al-Muqanni’, hlm. 118)

Manakala pada istilah, ibadah merujuk kepada pengakuan yang menyeluruh, ketundukan yang sempurna dan ketaatan yang sepenuhnya untuk Allah SWT. (Lihat Mausu’ah al-Akhlaq wa al-Zuhd wa al-Raqa’iq, 2/310) Perkataan lain yang membawa makna serupa dengan ibadah ialah penyembahan, penyerahan dan ketundukan seorang hamba kepada tuhannya. (Lihat Mafhum al-’Ubudiyyah fi al-Islam, hlm. 7)

Menurut Abu al-’Ala al-Maududi, ibadah dari segi hakikat dan makna ialah penyembahan hamba kepada tuannya. Segala apa yang terhasil daripada penyembahan hamba tersebut dalam mentaati tuannya adalah ibadah. Sebagai contoh, menjauhi berbohong dalam percakapan, tidak mengumpat, berlaku adil, mengadakan urusan jual beli dengan jujur, menunaikan segala yang hak, menjaga hubungan baik sesama manusia, segalanya termasuk dalam ibadah. (Lihat Mabadi’ al-Islam, hlm. 129)

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi merumuskan bahawa hakikat ibadah yang telah ditentukan oleh Allah itu mestilah dilengkapi dengan dua faktor yang penting iaitu:

  • Perbuatan mengikut dan mengikat diri dengan segala perkara yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Justeru, seseorang yang tidak tunduk kepada perintah Allah SWT, bahkan enggan melakukan suruhan-Nya tidak akan dinamakan sebagai hamba Allah atau orang yang beribadat kepada Allah SWT. Untuk menghasilkan ibadah, seseorang hendaklah memohon dan bergantung harap hanya kepada Allah SWT, sama ada dalam keadaan senang mahupun susah, serta menunaikan hak-hak Allah SWT sepertimana firman-Nya: ‘ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ’ (Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.) [Surah al-Fatihah: 5]
  • Manakala faktor kedua adalah, kepatuhan terhadap segala yang ditentukan Allah SWT itu hendaklah datang dari hati yang kasih dan cinta kepada Allah SWT, dan menyedari bahawa tiada tuhan yang lain selayaknya wujud kecuali Allah SWT. (Lihat al-’Ibadah fi al-Islam, hlm. 34)

Justeru, boleh difahami bahawa ibadah ialah taat, patuh dan merendahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT dengan mengikut peraturan dan suruhan Allah SWT sebagaimana ditetapkan di dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Kepatuhan ini hendaklah dilakukan secara berterusan setiap masa sehingga ke akhir hayat.

Allah SWT berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Surah al-Dhariyat (56)

Syeikh Ibn ‘Asyur antara lain berkata, “Huruf lam pada (لِيَعْبُدُونِ) dengan maksud lam al-’illah iaitu aku tidak ciptakan mereka jin dan manusia kerana sebab kecuali sebab beribadat semata-mata kepada-Ku. ” (Lihat Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir oleh Ibn ‘Asyur, 27/25)

Antara kelebihan ibadat dan kesannya ialah:

  • Menghampirkan diri kepada Allah SWT.
  • Dengan beribadah, hati, roh dan jasad hamba menjadi sebati dengan ketaatan.
  • Beribadah dapat menukar pengabdian yang umum kepada yang khusus.
  • Dengan beribadah, hamba berada dalam pemeliharaan Tuhan.
  • Mendapat kegembiraan daripada Allah SWT.
  • Mendapat keamanan daripada Allah SWT.
  • Dengan beribadah dapat dikecapi kemanisan iman.

Firman Allah SWT:

وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Maksudnya: “Dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”

Surah al-Fatihah (5)

Oleh kerana seluruh hamba fakir dan berhajat kepada Allah SWT yang Maha Kaya, Berkuasa dan sempurna, justeru, permintaan hendaklah diadukan kepada-Nya juga. Mu’az berkata, Nabi SAW bersabda:

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah aku untuk ingatkan-Mu, syukur dan baik dalam beribadah kepada-Mu.”

Riwayat Ahmad (no. 22119), Abu Daud (no. 1524), dan al-Nasaie (no. 1303). Dinilai sahih oleh Ibnu Hibban (no. 2020) dan Ibnu Khuzaimah, no. 751)

Berdoa dan memohon pertolongan Allah SWT merupakan arahan Allah SWT dan Rasul-Nya melalui nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. 

Hikmah didahulukan ibadah sebelum meminta pertolongan, antaranya:

  • Ibadah adalah hak Allah SWT sedangkan meminta pertolongan adalah permintaan mereka.
  • Doa yang didahulukan dengan ibadah amat mustajab seperti doa orang berpuasa ketika berbuka adalah mustajab kerana berdoa selepas ibadah.
  • Ibadah merupakan amanah yang besar yang dipikul oleh manusia. Hendaklah meminta pertolongan dengan Allah SWT, nescaya Allah SWT menolongnya sehingga dapat ditunaikan hak ibadah yang dapat keluar daripada kezaliman dan kejahilan.
  • Ibadah merupakan objektif utama penciptaan jin dan manusia, justeru perlaksanaannya adalah dengan berdoa dan meminta pertolongan kepada Allah sehingga ke akhir hayat.

Akhirnya, penulis menutup perbincangan ini dengan merujuk tafsir Fi Zilal al-Quran karangan Sayyid Qutb berkenaan tafsir ayat tersebut, katanya: “Inilah satu lagi dasar aqidah pokok yang lahir daripada dasar aqidah pokok yang lepas, yang telah dijelaskan, iaitu aqidah tiada ibadat melainkan untuk Allah dan tiada permohonan pertolongan melainkan kepada Allah. Wallahu a’lam.