Soalan:
Hukum menyentuh kemaluan sendiri tanpa qasad selepas wudhu’, adakah batal wudhu’?
Jawapan:
Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.
Berdasarkan mazhab Syafi’i dan sebahagian mazhab hukumnya batal wudhu’ tersebut dan hendaklah mengambil semula wudhu’. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Busrah binti Sofwan R.anha, beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ مَسَّ ذَكَرَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyentuh kemaluannya, maka berwudhu’lah”
Riwayat Abu Dawud (181), al-Nasaie (163), Ibn Majah (479)
Syeikh Abd al-Muhsin al-‘Abbad mengatakan dalam syarahnya bagi Sunan Abu Dawud: “Imam Abu Dawud menyatakan ‘Bab berwudhu’ bagi sesiapa yang menyentuh zakarnya (kemaluannya)’, iaitu adakah membatalkan wudhu’ ataupun tidak. Dalam terjemahan bagi hadith-hadith yang dinyatakannya adalah menyentuh tanpa lapik, manakala jika disentuh dengan berlapik, maka sentuhan tersebut tidak memberi kesan wudhu’nya.
Beliau menyatakan hadith Busrah binti Sofwan R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Sesiapa yang menyentuh kemaluannya, maka berwudhu’lah’. Hal ini menunjukkan bahawa menyentuh kemaluan membatalkan wudhu’ dan dia mestilah mengambil wudhu’ semula, sama ada dia memegangnya dengan syahwat ataupun tidak, kerana sabda baginda SAW bersifat mutlak, dan hal ini menunjukkan menyentuh kemaluan membatalkan wudhu’. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 30/14)
Walaupun begitu, timbul sedikit perbezaan pendapat dalam hal ini berdasarkan hadith Busrah binti Sofwan R.anha. Hadith yang diriwayatkan daripada Talq bin Ali RA, beliau berkata:
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، سُئِلَ عَنْ مَسِّ الذَّكَرِ، فَقَالَ: لَيْسَ فِيهِ وُضُوءٌ، إِنَّمَا هُوَ مِنْكَ
Maksudnya: “Aku telah mendengar Rasulullah SAW ditanya mengenai menyentuh zakar, maka baginda berkata: Tidak perlu mengambil wudhu’, sesungguhnya ianya adalah sebahagian daripada kamu.”
Riwayat Ibn Majah (483)
Syeikh Muhammad bin Abd al-Hadi al-Sindi dalam mensyarahkan hadith ini mengatakan: “Hadith ‘Sesiapa yang menyentuh kemaluannya, maka berwudhu’lah’ boleh ditakwil dengan menjadikan kinayah kepada buang air kecil, kerana kebiasaannya yang dimaksudkan batal adalah keluar hadas maka anggapannya adalah sebagaimana anggapan datangnya hadas tersebut daripada tempat buang air besar sebagaimana yang dimaksudkan pada firman Allah SWT, “Atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air” (Surah al-Nisa’:43). Aku berkata:…Tidak batal wudhu’ dengan menyentuh zakar dengan ‘illah Dzatiah iaitu, kerana zakar merupakan sebahagian daripada tubuh badan manusia. Namun, pada zahirnya, kekal hukum dengan kekal illahnya. Dakwaan mengatakan hadith Talq RA mansuh tidak ada alasan di sebaliknya. Ditambah pula dengan penulis (Sunan Ibn Majah) menamakan bab keringanan dalam hal ini (iaitu tidak membatalkan wudhu’) sebagai isyarat bahawa pengamalan yang awal (membatalkan wudhu’) tidak dikecualikan (iaitu tidak dimansuhkan, tetapi diberi keringanan).” (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Sunan Ibn Majah, 1/177)
Justeru, saya katakan apabila masalah menjadi khilaf di kalangan ulama dan ahli ilmu, maka bagi ihtiyat dalam permasalahan ini, kaedah menyebut, keluar daripada khilaf adalah sunat. Justeru, mengambil wudhu’ adalah lebih baik bahkan lebih utama di samping itulah yang menjadi pegangan di kalangan ulama Syafi’i.
Pendapat yang pertama tadi dikuatkan lagi dengan hadith riwayat al-Tarmizi yang menyatakan:
مَنْ مَسَّ ذَكَرَهُ فَلاَ يُصَلِّ حَتَّى يَتَوَضَّأَ
Maksudnya: “Siapa yang menyentuh zakarnya atau kemaluannya maka jangan dia bersolat sehingga dia berwudhu’.”
Riwayat Abu Daud (181), al-Tirmizi (82), al-Nasa’ie (447) dan Ahmad (27295). Imam al-Tirmizi berkata, hadith ini hasan sahih. Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij al-Musnad menyatakan hadith ini sahih.
Ibn Abdi al-Bar menyebut bahawa Ibn Sakan berkata, “Hadith ini adalah sebaik-baik hadith yang diriwayatkan pada bab ini.” Pendapat yang kami kemukakan ini selaras dengan pandangan Setiausaha Agung Majma’ Fuqaha Syariah Amerika Prof Dr Solah al-Sowi melalui kitabnya Mausu’ah Fatawa al-Mughtaribin, 12/119-120. Wallahu a’lam.
Semoga jawapan ini memberi kefahaman yang baik kepada kita berkenaan dengan agama kita. Amin.