Buku Fizikal
RM40.00 Original price was: RM40.00.RM30.00Current price is: RM30.00.
eBahth Ilmi
RM100.00 Original price was: RM100.00.RM60.00Current price is: RM60.00.
Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan:
Kita sedang puasa sunat, tetapi ada orang jemput menghadiri undangan ke rumahnya. Mana lagi afdhal? Berbuka puasa dan makan hidangan tuan rumah bagi menggembirakan hatinya atau teruskan berpuasa?
Jawapan:
Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.
Kami nyatakan terlebih dahulu maksud puasa sunat iaitu puasa yang bukan wajib seperti puasa Ramadhan, puasa qadha, pausa nazar dan puasa kaffarah. Adapun, puasa sunat amat banyak. Antaranya, puasa sunat 6 Syawal, puasa sunat Arafah, puasa sunat hari Isnin dan khamis, puasa hari-hari putih iaitu 14, 15 & 16 bulan qamariyyah.
Orang yang berpuasa sunat, dia menjadi ketua untuk dirinya, sama ada dia meneruskan puasa atau dia berbuka. Ini berdasarkan hadith Nabi SAW:
الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِينُ نَفْسِهِ إِنْ شَاءَ صَامَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ
Maksudnya: “Seseorang yang berpuasa sunat adalah pemegang amanah bagi dirinya, jika dia mahu dia boleh teruskan berpuasa, dan jika mahu dia juga boleh berbuka.”
Riwayat Tirmizi (732)
Walaupun begitu, yang afdhalnya seseorang itu jangan merosakkan puasa sunatnya, berdasarkan umum firman Allah SWT:
وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!”
Surah Muhammad (33)
Menjawab persoalan di atas, saya katakan meraikan kepada jemputan adalah baik di samping menyambung silaturrahim dan menggembirakan hatinya. Akan tetapi, jika boleh untuk meneruskan puasa dan mengambil secara take-away sedikit makanan sebagai meraikan, alangkah baiknya. Tetapi jika dia mahu meraikan dan berbuka puasa maka tidaklah menjadi masalah dan boleh berpuasa pada hari lain di bulan Syawal sebagai contoh untuk puasa 6 yang belum lagi cukup.
Saya juga mengambil kesempatan agar pihak yang menjemput dalam open house sebagai contoh, dapat meraikan rakan-rakan yang berpuasa agar boleh memikirkan untuk mengadakan jemputan pada sebelah malam atau waktu berbuka puasa. Bahkan ini jauh lebih baik kerana menjamu orang yang berbuka puasa di samping meraikan keadaannya yang tidak lagi serba salah.
Akhirnya keduanya, dapat merealisasikan kehendak untuk mengadakan open house dan yang berpuasa dapat menunaikan hajat tuan rumah dengan perasaan yang amat selesa. Semoga adab dalam menghormati tetamu dan meraikan tuan rumah dapat dilaksanakan sebaiknya.
Benarlah hadith Rasulullah SAW:
وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.”
Riwayat Bukhari (6475) dan Muslim (47)
Bertarikh: 24 Mac 2023 bersamaan 2 Ramadhan 1444H