Buku Fizikal
RM40.00 Original price was: RM40.00.RM30.00Current price is: RM30.00.
eBahth Ilmi
RM100.00 Original price was: RM100.00.RM60.00Current price is: RM60.00.
Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan:
Boleh Dato’ kisahkan berkenaan dengan tiga orang yang terkenal dengan sikap pemurah di zaman tabi’in?
Jawapan:
Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.
Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah menceritakan kisah tokoh-tokoh dermawan pada zaman tabi’in: Pada suatu hari, orang ramai duduk berbual di dalam Masjid al-Nabawi selepas mengerjakan solat Isya’. Salah seorang daripada mereka bertanya: “Siapakah orang Arab yang paling dermawan era tabi’in ini?”
Seorang lelaki menjawab: “Tabi’in paling dermawan adalah Abdullah Bin Jaafar Bin Abu Thalib, iaitu anak kepada Jaafar al-Thayyar.”
Seorang lagi menjawab: “Orang Arab paling dermawan itu adalah Qais Bin Saad Bin Ubadah.”
Seorang lagi menjawab: “Orang Arab paling dermawan ialah Urabah al-Ausi.”
Mendengar apa yang diperkata oleh mereka itu, maka kaum Muslimin berkata: “Kalau begitu hendaklah masing-masing dari kita datang menemui setiap tokoh dermawan tadi secara berasingan. Sebelum berjumpa dengannya untuk meminta-minta, hendaklah kita menampilkan diri seperti layaknya orang faqir. Setelah menjalankan tugas ini, kita hendaklah berjumpa kembali di tempat ini dan setiap orang akan menceritakan manakah di antara mereka yang lebih pemurah.”
Seorang yang ditugaskan menemui Abdullah bin Jaafar terlebih dahulu, dia memakai pakaian buruk dan compang-camping. Dia terus pergi untuk menemui Abdullah Bin Jaafar. Setibanya di Madinah, dia mendapati Abdullah Bin Jaafar sedang menunggang seekor kuda menuju ke Syam.
Lelaki itu terus menghalangi perjalanan Abdullah Bin Jaafar.
Melihat keadaan itu, Abdullah Bin Jaafar berkata: “Sekiranya kamu mendatangiku ketika aku berada di Madinah, tentulah aku memberikan seluruh permintaan mu ini. Sekarang, harta yang ada pada diriku hanyalah seekor kuda dan sebilah pedang. Sedangkan aku hendak bermusafir ke Syam. Kalau begitu, ambil sajalah kuda ini. Demi Allah, mulai dari sekarang aku tidak akan menunggang kuda lagi.”
Abdullah Bin Jaafar kemudian duduk di bawah sebatang pohon menanti rombongan musafir yang menuju ke Syam dengan harapan mereka sudi membawanya ke negeri Syam.
Lelaki tadi terus mengambil kudanya dan kemudian membawa ke Mekah.
Manakala seorang yang ditugaskan meminta-minta kepada Qais Bin Sa’ad Bin Ubadah pula berangkat menuju ke rumah Qais. Setibanya di hadapan rumah Qais di Madinah, dia terus mengetuk pintu rumahnya dan tak lama kemudian seorang pembantu Qais datang menghampiri pintu dan bertanya: “Siapakah yang mengetuk pintu dari luar?”
Lelaki tadi menjawab: “Aku adalah lelaki faqir. Aku datang ingin berjumpa Qais.”
Pembantu tersebut berkata: “Tuan saya sedang tidur. Tapi ambil sahaja seribu dinar ini untuk keperluanmu.”
Dalam hatinya berbisik dengan penuh kehairanan: “Seorang pembantu rumah berani menginfaqkan harta sebanyak seribu dinar, lantas bagaimanakah dengan Qais?”
Seorang lagi yang ditugaskan berjumpa Urabah Al-Ausi datang untuk meminta-minta kepadanya. Ketika itu, Urabah sedang keluar dari dalam rumahnya untuk mengerjakan solat ‘Asar dan ditemani oleh dua orang hamba sahayanya. Urabah adalah seorang buta dan sememangnya memerlukan dua orang bagi menuntun perjalanannya.
Lelaki tadi terus meminta-minta di hadapannya dengan berkata: “Aku adalah seorang faqir dan aku datang menemuimu untuk meminta sesuatu kepadamu.”
Urabah menjawab: “Demi Allah, sekarang ini aku sudah tidak memiliki apa-apa lagi, kerana banyaknya infaq yang telah ku lakukan kebelakangan ini. Tapi sudikah kau menerima dua orang hamba sahaya ini?”
Lelaki tadi menjawab: “Kalau kamu berikan kepadaku dua hamba sahayamu ini, lantas siapa lagi yang akan menuntun perjalananmu menuju masjid nanti?”
Urabah menjawab: “Biarlah aku berangkat sendiri menuju ke masjid.”
Lelaki tersebut terus mengambil dua hamba sahaya berkenaan dan kemudian membawanya pulang ke Mekah.
Ketiga-tiga lelaki tadi berhimpun di dalam Masjid al-Haram selepas mereka berjaya menjalankan tugasan masing-masing.
Setiap daripada mereka menceritakan: “Abdullah Bin Jaafar sememangnya orang kaya dan dermawan. Dia pasti dikenang masyarakat Arab. Qais Bin Saad pula adalah seorang dermawan dan baik hati. Namun kedua-duanya tidaklah sehebat Urabah Al-Ausi. Ini adalah kerana walaupun dia seorang yang faqir dia masih lagi bersifat pemurah. Tambahan lagi, dia adalah seorang yang buta dan berjalan ke masjid tanpa sesiapa yang menuntunnya. “ (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 11/356)
Seorang penyair bersyair:
“ Aku lihat Urabah al-Ausi mengukir kehormatan;
tanpa tandingan dan mereka pasti memujinya.
Jika bendera kemuliaan dan kehormatan dikibarkan;
Pastilah Urabah orang yang pertama memegangnya.”
Sifat dermawan mesti mempunyai beberapa kriteria, antaranya:
Pertama: Hendaklah seorang yang mendermakan hartanya ikhlas kerana Allah SWT. Jika populariti dan ingin dipuji sebagai matlamatnya, maka Allah SWT tidak akan memberikan keberkatan ke atas harta yang didermakan. Malah ia akan menjadi laknat dan seksa ke atas dirinya.
Kedua: Tidak berlebihan di samping mengikuti cara yang diamalkan oleh ulama Salaf. Dengan erti kata lain, seseorang dalam mendermakan hartanya tidak dibenarkan membazir. Sebab sikap membazir adalah sahabat syaitan. Allah SWT berfirman:
وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
Maksudnya: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”.
(Surah al-Isra’: 27)
Al-Tabari menukilkan bahawa Ibn Mas’ud berkata: Kami para sahabat Muhammad bersepakat bahawa ‘التَّبْذِيْرُ’ maksudnya menggunakan harta tidak pada haknya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 16/623; Ma’alim al-Tanzil, 3/492)
Al-Syaukani berkata: ‘التَّبْذِيْرُ’ maksudnya menghamburkan harta, sebagaimana menghamburkan benih secara semberono/sembarangan tanpa memaksudkannya dengan sasaran tepat. Itu adalah pemborosan yang tercela dan melampaui batas yang dipandang baik secara syar’i dalam pengurusan harta. Atau menggunakan harta tidak secara hak walaupun hanya sedikit. (Lihat Fath al-Qadir, 6/538)
Allah SWT berfirman lagi:
وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا
Maksudnya: “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu”.
(Surah al-Furqan: 67)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Yakni, apabila mereka menginfaqkan (harta), mereka tidak berlebihan dalam infaq mereka, mereka tidak berinfak yang melebihi batas kemampuan, dan tidak pula bakhil (kedekut) atau mengurangkan harta infaq yang menjadi hak mereka dan yang mesti mereka tunaikan dalam infaq. Akan tetapi, mereka menunaikan infaq dengan adil, tidak berlebihan, sesuai dengan keperluan dan sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan (adil). (Lihat al-Tafsir al-Munir, 10/104)
Allah SWT turut berfirman di dalam al-Quran:
وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَّحْسُورًا
Maksudnya: “Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggalah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan”.
(Surah al-Isra’: 29)
Ketiga: Hendaklah harta yang didermakan disalurkan kepada orang yang memerlukan. Ini kerana, ada sesetengah orang suka mendermakan hartanya, namun diberikan kepada orang-orang kaya dan sebenarnya mereka tidak memerlukannya. Ini merupakan salah satu daripada contoh sifat pemurah dan mendermakan harta bukan pada tempatnya. (Lihat Ahasin al-Kalim Syarh al-Hikam, 2/48). Wallahu a’lam.
Semoga sifat-sifat pemurah mereka dapat diikuti oleh generasi yang akan datang. Ini sudah tentu menatijahkan pelbagai bentuk kebaikan bahkan mendidik masyarakat secara realiti dan waqi’i dengan sifat-sifat yang terpuji seperti yang digambarkan di atas.
Bertarikh: 24 Mac 2023 bersamaan 2 Ramadhan 1444H