#1151: Sufyan al-Thauri

Original price was: RM265.00.Current price is: RM200.00.

Siri Umrah dan Haji

[eBook] Panduan Haji dan Umrah

Original price was: RM50.00.Current price is: RM40.00.

Siri Kematian

10 eBook Siri Kematian

Original price was: RM60.00.Current price is: RM35.00.

Soalan:

Boleh ceritakan kisah Sufyan al-Thauri yang lari daripada Abu Ja’far al-Mansur?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Beliau ialah Sufyan Ibn Sa’id Ibn Masruq al-Thauri, dari keturunan Thaur Ibn Abdul Manaf. Beliau mempunyai pelbagai gelaran antaranya; Amirul Mu’minin fi al-Hadith (Pemimpin orang beriman dalam hadis), pemimpin dalam takwa, Al Imam, dan Ketua Para Wali. Beliau dilahirkan di Kufah pada tahun 97 Hijrah.

Ayahnya, Sa’id Ibn Masruq al-Thauri adalah ulama’ terkemuka yang bersahabat dengan Imam al-Sya’bi dan Khaitsamah bin Abdul Rahman, 2 perawi terkenal di Kufah.

Sufyan al-Thauri hidup pada zaman 2 khalifah Abbasiyah iaitu Abu Ja’far al-Mansur dan al-Mahdi. Al-Mansur menawarkan Sufyan jawatan hakim, namun beliau tegas dan menolaknya. Alasan beliau menolak jawatan tersebut adalah kerana beliau adalah orang yang sangat tidak boleh untuk melihat sebarang kemungkaran dihadapannya. Beliau menjawab tawaran tersebut dengan berkata: “Sesungguhnya jika aku melihat sesuatu yang wajib bagiku untuk mengatakan kebenarannya, namun aku tidak boleh untuk melakukannya, maka aku akan kencing darah (sedih yang teramat sangat)”.

Jikalau beliau menerima jawatan hakim khalifah tersebut, sudah tentu beliau akan hidup dekat dengan istana dan tampuk pemerintahan di mana beliau akan melihat terlalu banyak  hal yang bertentangan dengan prinsipnya dan beliau akan merasa sangat sedih akan hal itu.

Khalifah al-Mansur tidak berpuas hati dengan keengganan al-Thauri dan terus meminta dan menekan agar al-Thauri menerima jawatan hakim tersebut. al-Thauri tetap berkeras dengan keputusannya. Lalu, al-Mansur mengeluarkan perintah untuk menangkapnya dan menawarkan ganjaran sebanyak sepuluh ribu dirham kepada sesiapa yang berjaya menangkap Sufyan. Apabila mendapat berita tentang arahan penangkapannya, al-Thauri segera melarikan diri menuju ke Yaman.

Semasa al-Thauri di dalam pelariannya dari ditangkap, beliau berpindah-randah ke beberapa negara termasuklah Yaman, Basrah, Iran dan Hijaz. Walaupun di dalam keadaan sukar dan cuba menyembunyikan diri daripada ditahan beliau tetap istiqamah dan terus menuntut ilmu.

Ada kisah menarik yang diriwayatkan oleh Abu Ahmad al-Zubairy tentang ujian yang menimpa Sufyan al-Thauri ketika melakukan pelarian ke Yaman. Dikisahkan satu ketika, Sufyan al-Thauri dituduh mencuri oleh sekumpulan orang, kemudian orang-orang tersebut membawanya ke hadapan pemimpin Yaman yaitu Ma’an bin Zaidah.

Mereka yang menuduh al-Thauri berkata kepada Ma’an, “Dia telah mencuri daripada kita.” Sufyan segera membantah dan berkata: “Aku tidak mencuri apa-apa,”

Ma’an berfikir panjang dan berkata, “Pulanglah kalian dan biar aku menyoalnya,”. Ma’an berpaling ke arah Sufyan dan bertanya, “Siapa namamu?”

“Abdullah bin Abdul Rahman (Hamba Allah anak dari Hamba Al Rahman)”, jawab al-Thauri berhelah untuk menyembunyikan identitinya.

“Demi Allah, sebutlah nasabmu!” Ma’an mendesak.

“Aku Sufyan bin Sa’id bin Masruq”

“al-Thauri?” Ma’an bertanya untuk memastikan.

“Ya, al-Thauri”

“Engkau adalah orang yang diburu oleh Amirul Mukminin!” Ma’an berkata.

“Ya, benar.” Jawab al-Thauri tenang.

Mendengar jawapan tersebut, Ma’an berfikir dengan teliti sebelum berkata: Jika kamu mahu, kamu boleh tinggal di sini dan jika kamu mahu pergi juga kami tidak akan menghalangmu. Demi Allah jika kamu bersembunyi dibawah telapak kakiku aku tidak akan mengangkatnya,” Ini kerana dia tidak mahu menyerahkan al-Thauri dan akan melindunginya.

Ketika di Basrah pula, al-Thauri bersembunyi dan bekerja sebagai tukang kebun dengan penuh amanah. Satu hari, pemungut zakat datang kepadanya:

“Hai tuan, siapakah kamu?”

“Saya penduduk Kufah.” al-Thauri menjawab.

“Pada pandanganmu, ruthab Basrah atau ruthab Kufah yang lebih manis?”

al-Thauri menjawab dengan jujur, “Saya belum pernah rasa ruthab Basrah.”

“Kamu berbohong!” jawab pemungut zakat tidak percaya.

Apabila pulang, pemungut zakat pun menceritakan kejadian tersebut kepada pemimpin tempatnya. Pemimpin tempatnya menempelaknya dengan berkata: “Celakalah kamu, jika benar apa yang kamu katakan sepatutnya kita perlu serahkan orang itu kepada Amirul Mukminin kerana dia adalah Sufyan al-Thauri. Ia boleh membuatkan kita rapat dengan Amirul Mukminin.”

Selain itu, pada zaman pemerintahan Khalifah al-Mahdi pula, Sufyan al-Thauri menerima surat undangan dari istana. Khalifah al-Mahdi ingin melantik al-Thauri sebagai gabenor Kufah. Sufyan al-Thauri menerima surat tersebut tetapi ketika beliau melalui sungai Dajlah beliau membuang surat tersebut kerana beliau enggan dan menolak jawatan tersebut. Sufyan terus melarikan diri ke Makkah kemudian ke Basrah. al-Mahdi mengeluarkan arahan untuk menangkap Sufyan al-Thauri dan al-Thauri terus menjadi buruan sehingga akhir hayatnya.

Di akhir hayatnya, Sufyan dicari oleh Khalifah Al Mansur dan Al Mahdi. Dia bersembunyi selama dua tahun dan dia mati di tempat persembunyiannya. 

Dikatakan ketika beliau berada di Kota Mekah telah sampai berita kepada khalifah Abu Ja’far al-Mansur yang beliau masih berada di Mekah. Kebetulan tahun tersebut Abu Ja’far ingin melaksanakan haji dan apabila sampai di Madinah berita kedatangannya sudah diketahui oleh penduduk Mekah dan ulama’nya. Mereka amat bimbang apa yang akan berlaku kepada Sufyan al-Thauri. Sehinggalah Khalifah datang dari Madinah menuju ke Mekah dan memohon kepada pengawalnya supaya menjaga dan mengawal Sufyan al-Thauri agar tidak terlepas. Berita seperti ini amat menakutkan ulama’ dan penduduk Mekah. Tetapi Sufyan al-Thauri tetap tenang sehingga beliau berkata dalam doanya: “Ya Allah, jangan kamu masukkan Khalifah Abu Ja’far al-Mansur ke kota Mekah ini,” Sehinggalah apabila hampir sampai ke kota Mekah tiba-tiba Khalifah Abu Ja’far meninggal dunia.

Sufyan al-Thauri wafat di Basrah pada bulan Sya’ban tahun 161 Hijriah pada usia 84 tahun. Dia menghafaz tiga puluh ribu hadis. Beliau meninggalkan beberapa karya tulisannya seperti: Al-Jami’ Al-Kabir dan Al-Jami’ Ash-Shaghir – kedua-duanya adalah kitab hadith dan kitab tentang masalah pewarisan (Rujukan: Tadzkirah Al-Huffazh, oleh al-Dzahabi, dalam Al-Maktabah al-Shamilah, no. 198)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita sifat istiqamah dan merasa ‘izzah dengan Islam serta mati dalam husnul khatimah. Amin.

Bertarikh: 28 Mac 2023 bersamaan 6 Ramadhan 1444H