#1153: Solat di Belakang Tabir

Soalan:

Jemaah wanita biasanya bersolat di belakang tabir. Ketika hendak melakukan solat berjemaah, adakah lebih afdhal tabir dibuka sedikit agar jemaah wanita dapat melihat saf lelaki di hadapan atau pun dibiarkan tabir bertutup.

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Antara syarat sahnya solat berjemaah ialah imam dan makmum mesti berada dalam satu tempat yang sama, atau ijtima. Jika antara imam dan makmum terdapat penghalang yang pada pandangan uruf memisahkan tempat kedua-dua pihak, maka tidak sahlah solat pihak makmum jika mengikut imam. Syarat ijtima` ini berbeza antara solat yang dilaksanakan di masjid dan di luar masjid. Jika di masjid,  syaratnya adalah seperti berikut:

Hendaklah tiada penghalang untuk makmum sampai kepada imam walaupun perlu mengundur dan berpaling daripada kiblat. Ini kerana masjid dibina untuk tujuan solat berjemaah, maka setiap hukum yang dilakukan di dalamnya mengambil kira keadaan berjemaah. (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab, 4/307) oleh al-Nawawi, al-Bayan, 4/139 oleh al-Imrani dan al-Mughni, 2/152 oleh Ibn Qudamah).

Manakala bagi qudwah di luar masjid atau salah seorangnya, sama ada imam atau makmum,  di luar masjid, syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

  • Hendaklah tiada penghadang yang menegah daripada musyahadah (melihat kepada imam atau makmum yang sah qudwahnya dengan imam)
  • Hendaklah tiada penghalang bagi istitraq (boleh makmum berjalan sampai kepada imam tanpa perlu mengundur dan berpaling daripada kiblat.)
  • Tidak melebihi 300 hasta di antara imam di dalam masjid dan makmum di luarnya.
  • Menurut mazhab al-Syafie, kain penutup seumpama langsir pada urufnya memisahkan satu tempat kepada dua, bagi konteks kawasan solat selain masjid seperti dalam rumah dan pejabat. Berkata Syeikh Zainuddin al-Malibari:

“Sekiranya suatu menghalang jalan seperti tingkap, atau pandangan seperti pintu yang tertutup, sekalipun tidak berkunci, nescaya akan menghalang musyahadah (penglihatan), sekalipun tidak menghalang laluan, contohnya seperti penutup yang labuh.” (Lihat Fath al-Mu`in, hlm. 75 dan Tuhfah al-Muhtaj, 8/203)

Disebut di dalam I`anah al-Tolibin (2/35): “[al-sitri]…kata nama bagi sesuatu yang dijadikan penutup dengannya…[al-markha] yakni antara imam dan makmum.”

Oleh itu, ketika makmum perempuan di halangi oleh kain penutup, tetapi tidak menghalangnya sampai ke imam kerana dapat ditembus dengan melewatinya dan tidak menghalangi ru’yah kerana ditutup dengan penutup yang nipis atau tebal namun terbuka sedikit sehingga boleh melihat imam, maka solat jemaahnya sah.

Namun jika kain penutup itu menghalang ru’yah (pandangan) kepada imam seperti tertutup rapat dengan penutup yang tebal hingga tidak terlihat imamnya sama sekali, maka solat makmum itu tidak sah. Apabila solat jemaah itu tidak sah, maka kesannya solatnya juga boleh terbatal sekali jika “makmum” itu menunggu “imam”nya dengan lama tanpa melakukan apa-apa. Jika menunggu tidak lama, maka solatnya sah tetapi dianggap sebagai solat bersendirian.

Manakala dihuraikan di dalam kitab Fath al-Muin (hlm.178-179):

“Maka jika seseorang itu meninggalkan niat qudwah atau syak pada niat (termasuk jika syarat qudwahnya tidak memenuhi – pent.) kemudian dia mengikut pada perbuatan seperti menunduk badan untuk rukuk mengikut (“imam”nya) atau memberi salam, dengan niat tanpa mengikut imam, dan hal itu berlaku dengan lama mengikut uruf pada penungguannya, maka batallah solat.”

Di dalam I`anah al-Tolibin (2/25) menyebut alasan batal itu ialah:

“Kerana orang yang solat itu bermain-main dengan keadaannya yang menggantung solatnya dengan solat orang lain tanpa penyambung yang sah antara mereka berdua.”

Ini merupakan pendapat yang asah (lebih sahih). Adapun pendapat ulama yang muqabil asah (berlawanan dengan yang lebih sahih) mengatakan hukumnya adalah tidak membatalkan solat tetapi dikira solat bersendirian. Fakta ini ada disebutkan dalam kitab al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (4/201):

“[Pendapat yang asah lagi masyhur mengatakan hukumnya batal solatnya kerana solatnya diikatkan dengan orang yang tidak bukan imam bagi, maka jadilah seperti hukum mengikat dengan orang yang tidak bersolat. Inilah pendapat yang dipastikan oleh al-Baghawi dan ulama lain. Manakala pendapat kedua bahawa tidak batal kerana orang itu telah melaksanakan rukun-rukun berdasarkan bentuknya. Inilah pendapat yang telah dipastikan oleh ramai ulama. Justeru jika kita berpegang bahawa tidak batal solatnya maka jadilah solat itu dilaksanakan secara berseorangan, dan tidak mendapat pahala jemaah tanpa khilaf, dan inilah yang dijelaskan oleh al-Mutawalli, dan selain beliau.”

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa sebaiknya tidak diletakkan langsir yang menutup pandangan makmum perempuan kepada imam. Ini bagi mengeluarkan diri daripada khilaf yang berlaku dalam kalangan ulama berkenaan kesahihan solat berjemaah bahkan solat itu sendiri. 

Imam al-Baihaqi ada menyebut satu riwayat daripada Imam al-Syafi’i yang berkata:

قَدْ صَلَّى نِسْوَةٌ مَعَ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حُجْرَتِهَا، فَقَالَتْ: ” لَا تُصَلِّيَنَّ بِصَلَاةِ الْإِمَامِ؛ فَإِنَّكُنَّ دُونَهُ فِي حِجَابٍ “. قَالَ الشَّافِعِيُّ رَحِمَهُ اللهُ تَعَالَى: وَكَمَا قَالَتْ عَائِشَةُ فِي حُجْرَتِهَا إِنْ كَانَتْ قَالَتْهُ قُلْنَاهُ

Maksudnya: “Beberapa orang wanita solat bersama Aisyah, isteri Nabi ﷺ dalam biliknya, kemudian Aisyah berkata: Janganlah kamu solat dengan solat Imam (kerana bilik beliau bersebelahan masjid Nabawi, ketika itu). Ini kerana sesungguhnya kamu tidak dapat mengikutinya di belakang disebabkan penghalang.” 

Berkata al-Syafi’i – semoga Allah merahmatinya -: Seperti mana yang dikatakan oleh Aisyah (tentang solat berjemaah) di dalam biliknya, jika beliau mengatakan sebegitu, kami juga berpendapat sebegitu.” (Lihat Sunan al-Kubra, 5246 oleh al-Baihaqi).

Tambahan lagi, solat berjemaah di belakang imam yang tidak dapat dilihat pergerakan solatnya sebenarnya adalah sukar untuk mengetahui pergerakan dengan tepat. Keadaan ini juga mendedahkan makmum kepada kekeliruan jika imam tersilap dalam rukun, sujud tilawah, sujud sahwi atau seumpamanya.

Namun begitu, sekiranya ia berkenaan fakta yang menyebut surau pejabat itu telah diwartakan di bawah Jabatan agama bermaksud ia sudah menjadi mengambil hukum masjid, seperti disediakan untuk ditunaikan di dalamnya solat lima waktu, hanya sahaja dikekalkan nama surau bagi tujuan pentadbiran, maka kewujudan langsir itu tidak memudaratkan solat berjemaah berkenaan.

Jika statusnya bukan masjid, status solat makmum di belakang langsir yang tertutup penuh tidak dapat melihat pergerakan imam adalah tidak sah mengikut pendapat yang asah. Manakala pendapat kedua, mengatakan hukumnya adalah sah tetapi hilang fadhilat berjemaah. Manakala pendapat dalam mazhab Maliki, menghukumkan sah tetapi makruh apabila makmum berdekatan, dapat mendengar suara imam dan mengetahui pergerakannya tetapi tidak dapat melihatnya. (Lihat Hasyiah al-Dusuqi, 1/338 dan al-Majmu’, 4/309)

Saya katakan persoalan di atas bahawa isu buka atau tidak langsir, lebih baik tidak dibuka jika diketahui pergerakan imam melalui pembesar suara atau makmum yang berada di hadapan kerana imam untuk diikuti sebarang bentuk pergerakannya. Walaupun begitu, jika buka dengan selamat daripada fitnah, maka tidak mengapa. Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28 Mac 2023 bersamaan 6 Ramadhan 1444H