#1155: Nabi Palsu Tulaihah bin Khuwailid al-Asadi

Soalan:

Boleh kisahkan kepada kami berkenaan dengan nabi palsu bernama Tulaihah bin Khuwailid al-Asadi?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Tulaihah (طليحة) bin Khuwailid al-Asadi adalah orang ketiga yang mengaku sebagai nabi. Awalnya, dia memeluk Islam pada tahun 9 H. Namun, di akhir hayat Nabi SAW, dia murtad dan mengaku sebagai seorang nabi. Akan tetapi akhir hayatnya berbeza dengan Musailimah yang tidak sempat bertaubat. Dia bertaubat pada zaman pemerintahan Abu Bakar. Dan pada masa Khalifah Umar, dia dibenarkan untuk ikut sama berjihad.

Tulaihah adalah salah seorang dukun dari Bani Asad. Dia mendakwa sebagai seorang nabi di akhir masa kehidupan Nabi Muhammad SAW. Jadi, ia sama seperti Musailimah dan al-Aswad al-Ansi. Mengaku nabi ketika Nabi Muhammad SAW masih hidup. Tulaihah tinggal di Buzakha, sebuah tempat yang merupakan sumber air milik Bani Asad.

Pengakuan Tulaihah sebagai seorang nabi mulai tersebar setelah wafatnya Nabi SAW. Kaumnya pun mengikutinya. Mereka membatalkan perjanjian damai dengan kabilah Thayyi’ dan al-Ghauts. Kemudian mereka bersekutu dengan Ghatafan. Kabilah di hujung Arab yang memang berselisih dengan Madinah.

Bani Asad adalah sebuah kabilah yang bermukim di wilayah Najd. Mereka tinggal berjiran dengan kabilah Thayyi di sebelah timur dan kabilah Bakr di sebelah selatan. Di sebelah utara ada kampung kabilah Hawzan dan Ghatafan. Dan di sebelah barat adalah kabilah Abdul Qais dan Tamim. Suku-suku ini memiliki sejarah perjanjian damai sekaligus juga pertikaian. Perubahan keadaan damai dan perang sesuai dengan keadaan mereka dan perkembangan daerah yang berlaku di sekeliling mereka.

Pada tahun 9 H atau yang dikenal dengan ‘am al-wufud (tahun datangnya utusan-utusan), datang utusan Bani Sa’d menuju Madinah untuk berbaiah kepada Nabi SAW. Mereka berikrar untuk memeluk Islam. Jumlah mereka yang datang ketika itu sepuluh orang. Di antara mereka adalah Dhirar bin al-Azur, Wabishah bin Ma’bad, Tulaihah bin Khuwailid, dan lain-lain. Mereka berbincang berkaitan persengketaan antara mereka dengan kabilah yang berjiran, yakni Bani Thayyi’. Nabi SAW berusaha menghakimi dan menyelesaikan perselisihan itu. Nabi SAW menulis surat kepada mereka. 

Sepucuk surat yang ditulis oleh Khalid bin Said. Bani Thayyi’ menanggapi, “Syaratnya, mereka tak boleh mendekati sumber air dan tanah Thayyi’. Ini kerana air Thayyi’ tidak halal dan bukan untuk mereka. Dan jangan mengusahakan tanah mereka orang-orang dari mereka.” Mereka menunjuk Qudha’i bin Amr seorang dari Bani ‘Adzrah sebagai pegawai mereka (Lihat al-Tabaqat oleh Ibnu Sa’d, 1/ 270-292).

Kabilah Asad, Ghatafan, dan Thayyi’ sebenarnya sudah saling berdamai sejak zaman jahiliyah sebelum masa nubuwwah. Kemudian terjadi persengketaan antara mereka, Thayyi’ keluar dari perjanjian. Asad dan Ghatafan pun menjauhkan kabilah daripada mereka. Perselisihan inilah yang ingin diselesaikan oleh Nabi SAW. Agar orang-orang Bani Asad tak lagi dilarang mengambil air dan mengusahakan tanah yang ada di Thayyi’.

Ketika Tulaihah mengumumkan diri sebagai nabi, dan semakin kuat mereka yang mengikuti dan percaya kepada pengakuan Tulaihah tersebut setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW, orang-orang Ghatafan juga menerima pengakuan itu. Ini kerana mereka bermusuhan dengan Quraisy. Uyainah bin Hishn al-Fazzari mengatakan, “Aku tak mengetahui keadaan Ghatafan sejak terputusnya hubungan antara kami dengan Bani Asad. Sungguh aku akan memperbaiki perjanjian damai antara kami di masa lampau dan mengikuti Tulaihah. Demi Allah! Mengikuti seorang nabi dari dua kelompok yang menjadi sekutu lebih aku cintai daripada mengikuti Quraisy. Muhammad telah wafat. Sedangkan Tulaihah hidup.” (Lihat Tarikh al-Tabari, 3/257). Kesimpulannya, kabilah-kabilah ini membenci kepemimpinan Quraisy.

Tidak jelas apa yang memotivasi Tulaihah mengaku sebagai nabi. Bisa jadi hal itu ia lakukan semata-mata kerana persaingan kabilah. Indikasinya adalah ucapan Uyainah bin Hishn di atas.

Dalam dakwahnya, Tulaihah tidak mengajak masyarakat Arab untuk menyembah berhala. Hal ini juga tak dilakukan oleh mereka yang mengaku-ngaku nabi selain dirinya. Mereka sekali-kali tidak menyerukan agar masyarakat Arab kembali ke tradisi lama menyembah berhala. Ini kerana dakwah tauhid sudah begitu menyebar. Paganisme di Jazirah Arab sudah berhasil dilupuskan secara tuntas oleh Nabi Muhammad SAW.

Hampir tidak ada pemikiran Tulaihah yang diabadikan dalam catatan sejarah. Yang sampai kepada kita hanyalah berita bahawa ia mengingkari rukuk dan sujud dalam solat. Ia mengatakan, “Sesungguhnya Allah tidak memerintahkan untuk meletakkan wajah kamu di tanah. Atau mengangkat punggung kamu dalam solat.” Ia juga mengatakan, “Sesungguhnya Allah tidak memerintahkan melumuri wajah kamu dan memburukkan punggung kamu. Ingatlah Allah dengan berdiri…” (Lihat Futuh al-Buldan oleh al-Balazuri, hlm 106).

Pada masa hayat Nabi SAW, beliau memerangi orang-orang yang mendakwa sebagai nabi. Seperti nabi palsu al-Aswad al-Ansi. Rasulullah SAW memerintahkan Dhirar bin al-Azur untuk menghadapi Tulaihah. Namun misi ini belum berhasil hingga Rasulullah SAW wafat.

Abu Bakar RA dilantik menjadi khalifah setelah wafatnya Rasulullah SAW dan memimpin kaum muslimin. Dia mengarahkan Khalid bin al-Walid RA untuk mengepalai pasukan untuk menumpaskan Tulaihah dan pengikutnya. Khalid berhasil mengalahkan pasukan Tulaihah. Namun si nabi palsu ini berjaya melarikan diri ke negeri Syam. Dalam masa pelarian itulah Tulaihah sedar dan kembali menyatakan keIslamannya. (Lihat karya kami yang berjudul Nabi-Nabi Palsu, hlm. 49-53)

Bertarikh: 28 Mac 2023 bersamaan 6 Ramadhan 1444H