Buku Fizikal
RM40.00 Original price was: RM40.00.RM30.00Current price is: RM30.00.
eBahth Ilmi
RM100.00 Original price was: RM100.00.RM60.00Current price is: RM60.00.
Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan:
Kebiasaan di taman-taman perumahan ada surau masing-masing. Kerana ingin meraih fadhilat yang lebih besar dengan bersolat di masjid, maka ahli jemaah surau tersebut bersolat di masjid, dan membiarkan surau tiada solat berjemaah. Adakah dikira berdosa ahli kariah surau tersebut? Begitu juga sebaliknya, masjid berkunci dan tiada solat jemaah didirikan. Akan tetapi surau taman-taman di dalam kariah masjid ada mendirikan solat berjemaah. Adakah ahli kariah masjid dikira telah menunaikan fardhu kifayah?
Jawapan:
Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.
(Surah al-Taubah: 18)
Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)
Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran (8/90) menyatakan terdapat golongan salaf menyatakan, “Sekiranya kamu melihat seseorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya.” Ini seperti mana hadis Nabi SAW daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah SAW bersabda:
إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ
Maksud: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.”
Riwayat al-Tirmizi (1060), Ibn Majah (802) dan Ahmad (3/68)
Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Setengah riwayat menyebut orang yang begitu setia mendatangi masjid atau memelihara untuk sentiasa ke masjid.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/389)
Maksud memakmurkan masjid adalah dengan menetapinya untuk melaksanakan ibadah di dalamnya dalam rangka meraih keredhaan-Nya. Antaranya seperti melakukan solat, berzikir kepada Allah SWT dan mempelajari ilmu agama. Juga termasuk maknanya adalah dengan membangunkan masjid, menjaga dan memeliharanya. (Lihat Aisar al-Tafasir li Kalam al-‘Aliy al-Kabir, 2/66)
Ibn al-Jauzi menyebut, yang dimaksudkan dengan memakmurkan masjid (dalam ayat di atas), ada dua pendapat:
Selalu datang ke masjid dan duduk di dalamnya (untuk beribadah kepada Allah SWT)
Membangunkan masjid dan memperbaikinya. (Lihat Zad al-Masir fi ‘Ilm al-Tafsir, 3/408)
Syeikh al-Tantawi dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan di dalam kitabnya “Orang yang mengimarahkan masjid merupakan mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada Baginda SAW dengan hati yang penuh dengan keikhlasan.” (Lihat Tafsir al-Wasit, 6/228)
Buya Hamka berkata: “Di sini terdapat kalimat (انما) yang dalam bahasa arab disebut (اداة حصر) yang membawa maksud ‘alat pembatas’. Kita maksudkan di sini (hanya), maka terbataslah orang-orang yang boleh meramaikan dan memakmurkan masjid-masjid Allah, iaitu hanya orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, yang solat dan berzakat, dan tidak ada tempat takutnya melainkan Allah. Di luar orang-orang yang mempunyai syarat selengkapnya, tidaklah boleh meramaikan dan memakmurkan masjid.” (Lihat Tafsir al-Azhar, 10/164)
Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi, memakmurkan masjid bermaksud mendirikan solat di dalamnya, berdoa, berzikir dan menegakkan syiar-syiarnya. Takrif ini menggambarkan bahawa masjid bukan sekadar tempat untuk melaksanakan ibadat, tetapi juga untuk menyampaikan dakwah Islam.
Aktiviti pengajian ilmu agama perlu diadakan di masjid-masjid supaya ia sampai kepada masyarakat dengan baik. Masjid itu adalah madrasah dakwah dan ia juga pejabat negara Islam. Masjid adalah tempat mengadakan mau’izah dan pengajian harian, mingguan dan ceramah berkala.
Masjid berperanan dalam memberi ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada yang fakir, memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita penting untuk ummah, bertemu dengan diplomat asing, mengatur tentera di medan perang, menghantar pendakwah dan perwakilan untuk perdamaian. (Lihat al-Dawabit al-Syar’iyyah li Bina’ al-Masajid, hlm. 6-7)
Memakmurkan masjid juga adalah ialah dengan selalu menghidupkan jemaahnya, memelihara dan membersihkannya dan memperbaiki jika berlaku kerosakan. Mencukupkan mana yang kurang dan menziarahinya untuk ibadat. Dalam ayat ini ditegaskan hanya orang yang hidupnya telah dibentuk oleh satu bentuk pemikiran yang memang telah terikat hatinya dengan masjid.
Orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan tergetar hatinya untuk meramaikan masjid begitu juga yang tidak solat, tidak suka untuk mendekati masjid. Mereka yang bakhil daripada berzakat amat takut ke masjid kerana bimbang bertemu orang yang miskin dan yang berhak menerima zakat. Ini kerana masjid untuk semua lapisan masyarakat yang mungkin kita temuinya.
Sayyid Qutub menyatakan di dalam tafsir Fi Zilal al-Qur’an: “Ayat ini hanya menyebut “takut kepada Allah” selepas menyebut dua syarat keimanan dalaman dan amalan luaran. Dan ini bukanlah bererti “takut kepada Allah” suatu pernyataan lebihan, kerana yang dipastikan di sini ialah keikhlasan kepada Allah dan menjauhkan diri dari segala bayangan syirik sama ada di dalam perasaan atau perilaku. Ketakutan seseorang kepada yang lain dari Allah itu merupakan sejenis syirik khafi yang sengaja diperingatkan al-Quran di sini supaya I’tiqad dan amalan seseorang itu hanya untuk Allah semata-mata. Di waktu ini sahaja para mukminin berhak mengimarahkan masjid-masjid Allah dan mengharapkan hidayat dari Allah.” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 7/230)
Justeru, saya katakan, dalam persoalan di atas, masjid dan surau hendaklah dihidupkan kerana ia merupakan syiar. Pada saat yang sama, jemaah yang hendak ke masjid atau hendak ke surau adalah dibolehkan kerana di sana terdapat nas yang menunjukkan solat di masjid yang lebih ramai lebih besar pahalanya. Dalam menghidupkan syiar Islam ini, surau-surau perlu diimarahkan dan tidak kiralah sama ada masjid atau surau apabila ditegakkan solat berjemaah, maka gugurlah fardhu kifayah bagi satu-satu tempat.
Saat yang sama, saya mengharapkan kerjasama antara masjid dan surau untuk mengimarahkan rumah Allah SWT di samping mencari mad’u-mad’u yang baru untuk dikempen agar mereka menjadi jemaah masjid atau surau. Ini merupakan dakwah yang penting kepada sesama umat Islam agar hati mereka sentiasa bergantung kepada masjid atau surau.
Dalam erti kata lain, merekalah yang akan mengimarahkan masjid dan surau. Semakin ramai jemaah masjid dan surau di satu-satu tempat, maka semakin baiklah tempat tersebut. Semakin banyak aktiviti masjid dan ibadat yang dilakukan, serta pengimarahan yang menyeluruh, maka semakin hiduplah masjid di tempat tersebut. Semoga kita menjadi salah seorang yang menepati nas Ilahi sebagai pengimarahan masjid. Amin. Wallahu a’lam.
Bertarikh: 28 Mac 2023 bersamaan 6 Ramadhan 1444H