#1165: Meninggal Sebelum Qadha’ Puasa

Original price was: RM265.00.Current price is: RM200.00.

Siri Umrah dan Haji

[eBook] Panduan Haji dan Umrah

Original price was: RM50.00.Current price is: RM40.00.

Siri Kematian

10 eBook Siri Kematian

Original price was: RM60.00.Current price is: RM35.00.

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana hukum jika sekiranya seseorang itu meninggalkan puasa dengan sebab sakit dan meninggal dunia tanpa sempat qadha’ puasanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Kami nyatakan firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah: 183)

Dalam menjawab persoalan ini, daripada Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: “Barangsiapa meninggal dunia dan ke atasnya ada puasa (yang tertunggak), maka walinya berpuasa bagi pihaknya.” [1]

Riwayat al-Bukhari (1952) 

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: ‘مَنْ مَاتَ’ (“Barangsiapa meninggal dunia”). Hal ini berlaku umum bagi para mukallaf (orang-orang yang dibebankan dengan Syariat) berdasarkan lafaz selepasnya yang menyebut, ‘وَعَلَيْهِ صِيَامٌ’ (“Dan dia memiliki tanggungan puasa). Manakala kalimah ‘صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ’ (“walinya berpuasa untuk menggantikannya”) adlaah kalimat berita yang membawa maksud perintah, sehingga kalimah yang seharusnya adalah, “Hendaklah walinya berpuasa untuknya.” Akan tetapi, perintah tidak bermakna wajib menurut majoriti ulama’. (Lihat Fath al-Bari, 11/291)

Berdasarkan nas di atas, wali atau kaum kerabat si mati hendaklah menggantikan puasanya dengan qadha’ bagi pihak si mati. Inilah pendapat yang mukhtar dan terpilih di kalangan ashab al-Syafi’i.

Walaupun begitu, pendapat yang masyhur di kalangan mazhab Syafi’i hendaklah dibayar fidyah, ganti setiap hari dengan satu cupak (saya pernah cadangkan jumlah duit hampir RM10 dalam bentuk yang selesa untuk sekali makan dan minum). 

Pandangan mufti jumhuriyyah Arab Mesir menyatakan tiada dikenakan apa-apa kepada si mati sekali pun masih ada puasa qadha’ dengan sebab sakit dan tiada waktu baginya untuk qadha’. Jawapan ini dikemukakan dalam rancangan Al-Quran ‘Allama al-Insan. Beliau sendiri cenderung dengan pendapat ini. (Siaran pada 28 Mac 2023)

Kami berpendapat jika keluarga si mati bahkan si mati mampu untuk berpuasa atau membayar fidyah, alangkah baiknya kerana ia berdasarkan zahir nas.

 

Nota hujung:

[1]  Imam al-Nawawi menyebut bahawa bagi mereka yang berbuka puasa kerana uzur dan berpanjangan uzur atau sakitnya itu sehinggalah mati, maka tidak ada puasa keatasnya, dan tidak perlu membayar fidyah baginya dan tidak pula orang lain berpuasa baginya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/23)

Bertarikh: 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H