# 118 Solat Wanita Tanpa Memakai Stoking

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah sah solat seorang perempuan yang tidak memakai stoking kaki, tetapi hanya memakai kain yang labuh sehingga menutup kedua kakinya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan hadith, di mana Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاَةَ حَائِضٍ إِلاَّ بِخِمَارٍ ‏

Maksudnya: “Allah tidak menerima solat perempuan yang sudah haidh (baligh) kecuali jika dia memakai khimar.”

Riwayat Abu Daud (641)

Imam al-San`ani menjelaskan: “Khimar adalah apa yang ditutup dengannya kepala dan leher.” (Lihat Subul al-Salam, 1/197).

Imam al-Nawawi menyebut: “Menutup aurat adalah syarat sah solat. Jika terdedah suatu pun daripada aurat orang yang bersolat tidak sahlah solatnya sama ada banyak terdedahnya atau sedikit, lelaki dan perempuan sama sahaja (wajib menutup aurat).” (Lihat al-Majmu’, 3/166).

Mengikut pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafie, telapak kaki wanita dikira aurat yang wajib ditutup ketika di hadapan lelaki asing dan juga di dalam solat. Jika tidak ditutup, maka tidak sah solatnya sama ada solat fardhu atau sunat. Manakala, daripada segi bahan yang digunakan, syariat tidak menetapkan jenis bahan yang digunakan. Ini bergantung kepada apa yang mudah diperolehi oleh mukallaf tersebut. Bahkan di dalam kitab fiqh, disebutkan jika tidak ditemui pakaian yang boleh menutup aurat, boleh digunakan lumpur untuk menutup aurat tersebut. Solat dengan tempekan lumpur itu sah dan tidak perlu ganti bahkan wajib jika tidak ada bahan lain yang boleh digunakan untuk menutup aurat kerana lumpur itu suci dan menutup aurat seperti pakaian jua. (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/213).

Justeru, sah solat bagi wanita tanpa memakai stoking jika dilabuhkan pakaian sehingga menutup kaki.  Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 13/11/2021 bersamaan 8 Rabiul Akhir 1443H