#1180: Hikmah Zakat Fitrah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami apakah hikmah zakat fitrah?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Berkenaan dengan hikmah zakat fitrah, telah dinyatakan dalam sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma katanya:

فَرَضَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَائِمِ مِنَ الْلَغْوِ وَالْرَفَثِ، وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِيْنِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah sebagai menyuci bagi orang yang berpuasa dari sebarang lagha dan keji serta memberi makan kepada orang-orang miskin.”

Riwayat Abu Daud

Berdasarkan hadith di atas, ia mengandungi dua perkara utama:

  • Menyucikan dosa bagi yang berpuasa. Ini kerana orang yang berpuasa mungkin terdedah kepada kelemahan semasa menunaikan acara ibadah puasa dan lain-lain. Maka, dengan berzakat yang sifat dan peranannya untuk menyucikan dosa, sudah tentu mengembalikan kesempurnaan dan kebaikan puasa itu sendiri semula.
  • Memberi makan kepada golongan miskin. Ini sudah tentu telah sampai maksud zakat untuk membantu golongan seperti ini. Bantuan tersebut lebih terasa kerana semua umat Islam tanpa mengira kaya atau miskin akan bergembira dengan Hari Raya. Dengan bantuan seperti ini, sudah tentu sambutan Hari Raya lebih sempurna dan bermakna bagi mereka.

Secara umumnya, zakat fitrah berfungsi sebagai:

  • Menampal kekurangan puasa. Hal ini sudah tentu memberi kebaikan kepada mereka yang berpuasa untuk sama-sama mempertahankan ibadat puasa dari kekurangan.
  • Mensyukuri kepada Allah SWT kerana sempurnanya Ramadhan. Menjadi kelaziman sebagai tanda syukur kepada Allah SWT kita melakukan ibadat sperti solat sunat, sedekah, infaq, wakaf, dan lain-lain. Begitulah juga dengan pelaksanaan zakat fitrah setelah kita dapat menyempurnakan ibadat puasa Ramadhan selama sebulan dengan jayanya.
  • Bersyukur kepada Allah SWT atas kurniaan cukup setahun dalam keadaan selamat. Bagi menzahirkan kita terus diberi nadi dan nafas untuk kehidupan kita maka terima kasih kita kepada Allah SWT di samping selesainya penyempurnaan taklifan ibadat puasa maka kita membayar zakat fitrah. 

Itulah serba sedikit berkenaan dengan rahsia di sebalik zakat fitrah yang sepatutnya kita tunaikan. Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan hamba-hambanya yang menunaikan zakat. Amin.

Bertarikh: 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H