#1189: Berbuka Dengan Bersetubuh

Assalamualaikum Dato’ Seri. Pada bulan Ramadhan ini bolehkah seseorang segera berbuka puasa dengan cara bersetubuh?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Puasa di dalam bulan Ramadhan merupakan asas kepada rukun Islam. Allah SWT memerintahkan hamba-Nya supaya berpuasa seperti firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.”

 

Surah al-Baqarah: 183

  

Ia merupakan salah satu daripada rukun Islam yang difardhukan ke atas setiap umat Islam. Hal ini jelas seperti mana yang disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Terbinanya Islam itu atas lima perkara; syahadah bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan puasa di bulan Ramadhan.”

 

 Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)

 

 HUKUM SEGERA BERBUKA PUASA DENGAN BERSETUBUH 

Secara umumnya, perbuatan bermesraan sesama suami isteri adalah suatu perkara yang menjadi lumrah dalam kehidupan rumah tangga.

Dalam riwayat Aisyah R.Anha yang lain, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ وَهُوَ صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وَهُوَ صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كَانَ أَمْلَكَ لإِرْبِهِ

Maksudnya:Rasulullah SAW mencium (isterinya) dalam keadaan Baginda sedang berpuasa. Baginda juga bermesra-mesraan (dengan isterinya) dalam keadaan Baginda berpuasa, akan tetapi Baginda ialah orang yang paling kuat menahan syahwatnya.

Riwayat Abu Daud (2382) 

Berdasarkan hadith-hadith di atas, kita mengetahui bahawa Rasulullah SAW juga mencium dan bermesra-mesraan dengan para isteri Baginda.

Perbuatan bersetubuh ketika berpuasa dapat membatalkan puasa dan haram hukumnya, sekalipun tidak terkeluar air mani (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/184). Turut disebutkan oleh Syeikh Sulaiman al-Bujairimi: “Melakukan persetubuhan di siang Ramadhan adalah antara dosa-dosa besar, juga diberatkan ke atas pelakunya dengan berpuasa dua bulan berturut” (Lihat Tuhfah al-Habib, 2/392).

Bahkan perbuatan yang ke arah nafsu syahwat juga seperti berciuman, menyentuh dihukum makruh secara tanzih dan tidak berdosa. Namun sebaiknya ia dielakkan. (Lihat Busyra al-Karim, hlm. 548)

Dalam erti kata lain, jika seorang tua ataupun muda itu kuat untuk terangsang syahwatnya, maka hukumnya adalah makruh, dan jika tidak terangsang syahwatnya, maka hukumnya tidak makruh. Akan tetapi yang utamanya meninggalkan perbuatan sedemikian.

Namun, dalam persoalan kali ini, adakah dibolehkan menyegerakan berbuka dengan melakukan persetubuhan?

Maka, seseorang yang menyegerakan berbuka puasa dengan bersetubuh, akan tidak memperolehi pahala sunat menyegerakan berbuka puasa, kecuali bersetubuh adalah satu-satunya cara untuk membuka puasa. (Lihat Hasyiah al-Jamal, 2/328 dan Tuhfah al-Muhtaj)

Berdasarkan nas hadith dan sunnah Nabi SAW menganjurkan kita berbuka dengan ruthob, tamar atau air dan kemudian sunat kita berdoa kepada Allah SWT. Inilah yang sunnahnya.

Hukum menyegerakan berbuka puasa dengan bersetubuh adalah harus kerana ia telah masuk waktu berbuka dan dia tidak dikenakan kafarrah. Hal ini kerana kafarrah itu dikenakan apabila seseorang itu merosakkan ibadah puasanya. Meskipun begitu, dari sudut adabnya,  kami mensyorkan untuk memulakan berbuka puasa dengan makanan atau minuman terlebih dahulu, bagi memperolehi pahala sunat menyegerakan berbuka puasa.

Bertarikh: 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H