Buku Fizikal
RM40.00 Original price was: RM40.00.RM30.00Current price is: RM30.00.
eBahth Ilmi
RM100.00 Original price was: RM100.00.RM60.00Current price is: RM60.00.
Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan:
Assalamualaikum. Apakah hukum penggunaan pelembap bibir (lip balm) di siang hari Ramadhan?
Jawapan:
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Pelembap menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud apa sahaja bahan yang digunakan untuk melembapkan kulit dan sebagainya.
Penggunaan pelembap dilihat sebagai tujuan kecantikan secara umum, tetapi tidak terkecuali ada juga sebahagian orang yang memang menghidapi masalah kulit kering dan mempunyai keperluan untuk sentiasa menyapukan pelembap pada keseluruhan tubuhnya.
Pelembap bibir seperti Vaseline merupakan antara bahan yang mutakhir ini banyak digunakan tidak kira dari golongan lelaki atau wanita. Ia bertujuan untuk memastikan agar bibir tidak kering lalu merekah dan menggelupas disebabkan cuaca yang panas atau kekurangan air.
Hukum Penggunaan Pelembab Bibir Ketika Berpuasa
Berbalik kepada persoalan mengenai penggunaan pelembap bibir di siang hari bulan Ramadhan, ia tidaklah membatalkan puasa jika sekadar terdapat rasa pada bibir, tetapi tidak termasuk ke dalam rongga.
Hal yang demikian dikiaskan dengan masalah merasa makanan, tertelan darah di bibir (kerana merekah), bersugi, berkumur-kumur dan bercelak. telah dibincangkan oleh ulama’ silam, antaranya yang disebutkan oleh ulama’ mazhab Shafie Imam Syamsuddin Al-Syirbini bahawa merasa makanan adalah makruh kerana dikhuatiri akan tertelan dan masuk ke dalam rongga perut, dan dikhuatiri akan sering mengulang perbuatan tersebut (merasa makanan) kerana syahwat makan.[1]
Imam Shubramalisi juga menyebutkan didalam komentarnya terhadap Nihayatul Muhtaj bahawa tidak mengapa jika ada keperluan bagi seseorang merasa makanan ketika berpuasa untuk tujuan memperbaiki rasa masakannya.[2] Merasa di sini tidaklah bermaksud mengambil makanan tersebut dengan kuantiti yang banyak, sekadar mencukupi untuk kita mengetahui rasa masakan tersebut telah enak untuk dijamu atau tidak.
Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah ketika ditanyakan mengenai hukum masalah-masalah tersebut, beliau menjawab bahawa berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung (ketika wudhu’) disyariatkan bagi orang yang berpuasa menurut persepakatan ulama’. Nabi SAW dan para sahabat baginda juga pernah berkumur-kumur di mulut dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berpuasa. Akan tetapi, telah datang satu hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:
وَبَالِغْ فِي الاسْتِنْشَاقِ إِلَّا أَن تَكُونَ صَائِمًا
Maksudnya: “Dan berlebih-lebihan dalam memasukkan air ke dalam hidung, kecuali jika kamu berpuasa”.
Maka larangan Rasulullah SAW yang terdapat di dalam hadith adalah larangan daripada melampau, bukan dari memasukkan air tersebut. Manakala merasa makanan pula adalah makruh hukumnya jika tiada keperluan, tetapi tidak jika perlu maka ia tidaklah makruh sama seperti hukum berkumur (dan memasukkan air ke dalam hidung).[3]
Sheikh Muhammad Amin Ibn Abidin juga bersetuju bahawa hukum merasai makanan adalah makruh jika dilakukan tanpa keuzuran (keperluan).[4]
Sheikh Muhammad ibn Soleh Al-Uthaimin juga ada menyebut tentang masalah menggunakan pelembap pada hidung dan bibir bagi mengelakkan kering dan merekah. Beliau menyatakan jika sebahagian orang menghadapi masalah kekeringan pada hidung dan bibir, maka tidak mengapa jika mereka menyapukan pelembap, atau membasahkannya (hidung dan bibir) dengan kain lembap dan selainnya. Tetapi dia harus berhati-hati agar tidak ada apa-apa daripada bahan pelembap tersebut yang sampai ke rongga perutnya, jika ia masuk ke dalam rongga perut tanpa sengaja tidak mengapa, sepertimana tidak terbatalnya puasa orang yang berkumur dan termasuk sedikit air ke dalam rongga perutnya.[5]
Kesimpulan:
Penggunaan pelembap bibir (lip balm) di siang hari bulan Ramadhan tidaklah membatalkan puasa, namun sekiranya ditelan (lalu memasuki rongga) rasa yang terdapat pada gincu tersebut maka ianya membatalkan puasa. Jika seseorang itu mempunyai masalah kekeringan yang teruk dan mempunyai keperluan mendesak untuk menggunakan pelembap bibir tersebut, dibolehkan untuk dia menggunakan pelembap bibir tersebut dan tidak dihukumkan sebagai makruh, yang demikian dikiaskan dengan mereka yang mempunyai keperluan untuk menyediakan makanan dan merasanya di siang hari bulan Ramadhan.
Ini bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah yang disebutkan ulama’:
الضَّرَرُ يُزَالُ
Maksudnya: “Kemudaratan perlu dihilangkan”
Secara mudahnya, agama tidaklah mendesak umat islam untuk meninggalkan penggunaan pelembap bibir jika ia boleh memudaratkan dirinya sehingga menjadi kering dan berdarah, cuma kami menasihatkan agar kita tidak bermudah-mudahan dan berlebihan menggunakan pelembap bibir ketika berpuasa sebagai langkah berhati-hati.
Pada bulan yang mulia ini marilah sama-sama kita menadah tangan berdoa dan munajat semoga Allah SWT memberi kejayaan dan juga diterima ibadat puasa kita. Amin.
Wallahua‘lam.
[1] Lihat Mughni Al-Muhtaj, 2/168.
[2] Lihat Nihayatul Muhtaj, 3/183.
[3] Lihat Majmu’ Al-Fatawa, 25/266.
[4] Lihat Radd Al-Muhtar, 2/416.
[5] Lihat Majmu’ Fatawa wa Rasa’il, 19/357.
Bertarikh: 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H