Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Adakah menghisap vape pada siang hari di bulan Ramadhan membatalkan puasa? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kamus Merriam-Webster mendefinisikan vape sebagai untuk menyedut wap melalui mulut daripada peranti elektronik yang biasanya dikendalikan oleh bateri (seperti rokok elektronik) yang memanaskan dan mengewapkan cecair atau pepejal.[1]
Rokok elektronik atau vape menggunakan pengewap (vaporizer) berkuasa bateri untuk menghasilkan suatu aerosol daripada cecair yang berperisa khas yang disedut penggunanya untuk mendapat rasa seakan menghisap rokok tanpa membakar sebarang tembakau. Cecair khas ini biasanya diperbuat daripada nikotin (tidak semuanya), propilena glikol, gliserin dan bahan perisa. Amalan ini berkemungkinan lebih selamat daripada merokok secara biasanya namun kesan yang terhasil tidak tampak begitu jelas berbanding dengan langkah penghentian merokok. Kesan jangka panjang pengunaan rokok jenis ini terhadap kesihatan manusia dengan sendirinya tidaklah diketahui. Perkataan “vape” berasal daripada perkataan slang bahasa Inggeris untuk “vaporizer” iaitu alat yang digunakan untuk menghisap ganja, tembakau dan campuran rokok lain. Kamus Oxford menambah “vape” sebagai kata nama baru dalam kamusnya pada Ogos 2014.[2]
Pada asasnya menghisap rokok elektronik atau vape termasuk dalam perbuatan yang haram sama seperti perbuatan merokok. Di antara ulama dan tokoh ilmuan yang mengharamkannya ialah Syeikh Ahmad Masyad, anggota Markaz Azhar Dunia, bagi fatwa elektronik menyebut hukum penggunaan vape membawa kemudaratan, bahkan dapatan kajian sebahagiannya menunjukkan lebih teruk daripada merokok. Justeru hukumnya adalah haram.[3] Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid dalam jawapan beliau terhadap isu penggunaan rokok elektronik mengatakan bahawa rokok elektronik hukumnya adalah sama seperti rokok tradisional iaitu haram. Padanya tidak ada kebaikan bagi mereka-mereka yang ingin cuba meninggalkan amalan menghisap rokok beralih dari rokok tradisional kepada rokok elektronik kerana mudaratnya juga sama seperti rokok biasa berdasarkan laporan daripada pakar.[4]
Selain daripada itu, terdapat beberapa alasan atau ‘illah yang telah dikemukakan, yang menunjukkan kepada pengharamannya. Di antaranya:
Pertama: Qiyas kepada rokok sebenar. Antaranya:
- Memudaratkan agama nyawa, akal, harta dan keturunan;
- Mengandungi bahan-bahan beracun seperti nikotin cecair tulen, propylene glycol, vegetable glycerin dan alkohol;
- Membawa kepada ketagihan dan mengkhayalkan;
- Membawa kepada pelbagai penyakit seperti kanser, kecacatan janin, dan lain-lain;
- Memudaratkan kesihatan orang sekeliling dan mencemarkan alam sekitar.
Kedua: Kenyataan pakar menunjukkan ia mudarat bahkan boleh jadi lebih mudarat daripada merokok itu sendiri. Ini merupakan asas pertimbangan yang amat kuat kerana mafsadahnya tidak boleh disangkal lagi serta mudaratnya telah diperakui oleh pakar dan badan-badan berautoriti.
Ketiga: Pembaziran yang berlaku sama ada pada alat vape itu sendiri mahupun bahan cecair yang menjadi hisapannya. Dikatakan bahawa harga alat tersebut berharga sekitar ratusan ringgit dan bagi sesetengah jenis, ianya mampu mencecah hingga ribuan ringgit.
Keempat: Meniru budaya yang bukan Islam.
Kelima: Dilihat tidak bermaruah.
Keenam: Sad al-Zari’ah (menutup jalan menuju kerosakan). Pihak polis kini sedang menggiatkan tinjauan dan siasatan terhadap lokasi-lokasi yang dikesan cuba mengadun sendiri perisa ganja dan ketum bagi memenuhi permintaan segelintir pengguna rokok elektronik.[5] Laporan dari pihak berkuasa juga menunjukkan bahawa penggunaan dadah sintetik di kalangan remaja sedang meningkat dan ini akan lebih memburukkan keadaan jika penggunaan rokok elektronik juga terdapat unsur-unsur dadah di dalamnya.[6] Langkah-langkah pencegahan perlulah dilakukan agar masalah ini tidak membarah di kalangan masyarakat Malaysia terutamanya buat para remaja.
Di samping itu, menjauhi perkara yang memudaratkan dan merosakkan ada disebutkan dan dinyatakan isyaratnya oleh ulama terdahulu. Misalnya, Imam al-Syafi‘i telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur, kitab al-Umm (2/270) iaitu: “Jika mereka mengambil sesuatu yang memabukkan, perbuatan itu adalah haram. Begitu juga sesuatu yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku berpendapat hukumnya juga adalah haram. Hal ini kerana Allah ‘Azza wa Jalla mengharamkan perbuatan membunuh manusia, kemudian mengharamkan perbuatan membunuh diri mereka sendiri secara khusus.”
Begitu juga Syeikh Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan, dalam Fath al-Mubin (hlm. 232) tentang dua alasan mengapa sesuatu perkara itu diharamkan dalam Islam, iaitu:
- Ia menimbulkan kerosakan atau mendatangkan kemudaratan yang tersembunyi seperti zina dan sembelihan orang Majusi.
- Ia menimbulkan merosakkan atau mendatangkan kemudaratan yang jelas (pada tubuh badan) seperti racun dan arak.
Selain itu, Syeikh Syihabuddin al-Qalyubi juga ada menyebutkan, perkara yang boleh mengganggu dan menutupi fikiran, ia suci walaupun mengambilnya dan menghisapnya adalah haram. Sebahagian guru-guru kami menyatakan, termasuk juga merokok, kerana ia membuka saluran badan dan menyediakan mereka untuk menerima kemudharatan berbahaya. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 1/79).
Menghisap Vape Siang Ramadhan
Secara umumnya, perbuatan menghisap vape atau rokok elektronik ini adalah sama atau sangat dekat dengan perbuatan merokok itu sendiri. Berkenaan dengan hal ini, Syeikh Nuh Ali Salman, Mantan Mufti Jordan menyebutkan, salah satu perkara yang membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu yang berjirim ke dalam jauf, melalui saluran yang terbuka, dengan sengaja dalam keadaan mengetahui bahawasanya dia sedang berpuasa, sama ada benda itu berupa minuman atau makanan, atau bukan berupa makanan, sama ada mengenyangkan dengannya atau tidak mengenyangkan, begitu juga sama ada naluri (untuk makan) cenderung kepadanya seperti makanan atau tidak cenderung kepadanya seperti batu kerikil.
Oleh sebab itu, dikira perbuatan menghisap rokok sebagaimana yang diketahui termasuk dalam salah satu perkara yang membatalkan puasa kerana syahwat atau keinginan dalam perbuatan tersebut sangat jelas dan ketara. Begitu juga kerana ia mengandungi jirim atau bahan yang boleh dilihat dan dirasa yang masuk ke dalam jauf dengan sengaja, sekalipun partikelnya kecil. Apatah lagi satu batang rokok misalnya mengandungi mengandungi 3 miligram nikotin, 36 miligram tar, dan 20 miligram karbon monoksida, di samping bahan-bahan lain yang banyak lagi.[7]
Maka begitulah juga kandungan vape dan rokok elektronik, ia bukan semata-mata mengandungi asap dan wap bahkan turut mengandungi bahan-bahan lain seperti nikotin cecair tulen, propylene glycol, vegetable glycerin, alkohol, bahan perisa dan lain-lain.
Selain daripada itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga ada menyatakan, merokok, selain menjadi tabiat buruk yang dilarang oleh syarak dan memudaratkan kesihatan manusia, ia juga membatalkan puasa dan wajib mengqadha’nya semula. Hal ini kerana asap hasil pembakaran tembakau mengembun di dalam hidung dan turun ke dalam dada. Maka dengan itu, ia menjadi bahan yang masuk ke dalam jauf, dan membatalkan puasa.[8] Tambahan pula, Dr. Nazir Muhammad ‘Iyad (Setiausaha Agung Majma‘ al-Buhuth al-Islamiyyah dan Ketua Pengarang Majallah al-Azhar al-Syarif) turut menambah, perbuatan menghisap atau memakan asap menafikan makna puasa yang disebutkan dalam hadis Qudsi:
يَدَعُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي
Maksudnya: “Orang yang berpuasa itu meninggalkan makanannya, minumannya, dan syahwatnya kerana Aku.”
Riwayat Ahmad (9112)
Salah satu tujuan pensyariatan puasa adalah untuk menghinakan jiwa dan mengikatnya dengan ikatan syarak. Seperti kata ulama, “Sesiapa yang mampu menahan dirinya, maka dia akan berjaya dan sesiapa yang nafsunya memiliki dirinya, maka dia akan binasa.” Asap (menghisap vape) termasuk dalam perkara yang jiwa (nafsu) cenderung kepadanya, dan mempunyai kesan yang dirasakan. (Lihat al-Siyam Fatawa wa Ahkam, hlm 91).
Begitu juga, vape jauh lebih berbahaya dari rokok. Kepulan asapnya juga jauh lebih banyak apabila seseorang itu menyedutnya atau menghisapnya. Justeru, qiyas aulawi menunjukkan bahawa hukumnya sama seperti merokok bahkan lebih daripada itu.
Tambahan lagi, tidak syak lagi bahawa menghisap vape atau rokok elektronik siang Ramadhan membatalkan puasa kerana ia merupakan perkara ikhtiyar dan bukannya dalam keadaan dharurat (situasi terdesak). Apatah lagi menghisap vape juga termasuk dalam syahwat dan bersedap-sedapan yang kadang-kadang mengkhayalkan penghisapnya. Syeikh Muhammad Abu Zahrah menyebutkan wap atau asap yang disedut untuk tujuan bersedap-sedapan dan syahwat, maka pengarang Fath al-Qadir menyatakan bahawa puasanya batal. Hal ini kerana puasa adalah menahan diri daripada syahwat mulut dan kemaluan, dan asap yang disedut bagi tujuan bersedap-sedapan termasuk dalam syahwat mulut. (Lihat Fatawa al-Syeikh Muhammad Abu Zahrah, dihimpun dan ditahqiq oleh Dr. Muhammad Uthman Syabir, hlm. 253).
Kesimpulannya
Justeru, kami berpendapat bahawa perbuatan menghisap vap pada siang Ramadhan membatalkan puasa dan pelakunya wajib mengqadha’kannya semula. Hal ini kerana asap atau wap sedutan vape dan rokok elektronik mengandungi pelbagai bahan-bahan lain. Justeru, seseorang yang sengaja menghisap rokok sebenarnya telah menyedut bersama asap atau wap tersebut jirim-jirim ke dalam jaufnya. Selain itu, perbuatan menghisap vape itu juga bukanlah kerana masyaqqah mahupun dharurah (keadaan terdesak), sebaliknya kerana syahwat dan ingin bersedap-sedapan. Maka sekali gus ia telah menafikan salah satu maqasid atau tujuan berpuasa yang mengkehendaki orang yang berpuasa menahan diri daripada syahwat mulut dan kemaluannya.
Pada kesempatan ini juga, kami ingin menasihati semua agar tidak berbuka puasa dengan menghisap vape. Ambillah peluang pada bulan yang mulia ini untuk mengurangkan dan seterusnya meninggalkan terus perbuatan merokok, menghisap vape dan rokok elektronik yang memudaratkan kesihatan dan sia-sia itu. Kesemua perbuatan tersebut sebenarnya termasuk dalam menjatuhkan maruah serta langsung tidak mencerminkan adab dan budaya Islam sebaliknya ia merupakan budaya bukan Islam dan suatu pembaziran yang sewajarnya dijauhi. Apatah lagi perbuatan menghisap vape dan rokok elektronik ini turut difatwakan haram oleh ramai ulama.
Begitu juga sebagai seorang Muslim, kita diperintahkan untuk menjauhi segala perkara yang boleh mendatangkan tohmahan, persepsi negatif dan fitnah, sama ada kepada diri kita sendiri sebagai seorang individu Muslim atau kepada agama Islam yang kita anuti sehingga memberi persepsi buruk dan menjatuhkan atau merendahkan martabatnya. Maka, sebelum melakukan sesuatu atau apa-apa perkara fikirkan terlebih dahulu kesannya buat diri, keluarga dan agama. Hal ini juga selari dengan kaedah yang menyebutkan:
اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ
Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”
Begitu juga Umar R.A pernah berkata:
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: “Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.” (Mulla Ali al-Qari menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada Umar secara mauquf dengan lafaz).[9]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H
[1] Lihat https://www.merriam-webster.com/dictionary/vape. Diakses pada 30 Mac 2023.
[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Rokok_elektronik. Diakses pada 30 Mac 2023.
[3] Lihat www.elbalad.news/5126415#:~:text=قال%20الدكتور%20مجدى%20عاشور،%20المستشار,شربها%20لآنها%20ليس%20بها%20ضرر. Diakses pada 30 Mac 2023.
[4] Lihat http://islamqa.info/en/201512 dan http://islamqa.info/ar/170999.
[5] Lihat http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/siasat-seluruh-negara-1.124151.
[6] Lihat http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/penggunaan-dadah-sintetik-meningkat-1.125191.
[7] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question3.aspx?QuestionId=2317#.ZCUXIHZBy3A. Diakses pada 30 Mac 2023.
[8] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/11328/ هل-التدخين-يبطل-الصيام؟. Diakses pada 30 Mac 2023.
[9] Lihat al-Asrar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudhu‘ah oleh Mulla Ali al-Qari, hlm. 80.
Bertarikh: 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H