Buku Fizikal
RM40.00 Original price was: RM40.00.RM30.00Current price is: RM30.00.
eBahth Ilmi
RM100.00 Original price was: RM100.00.RM60.00Current price is: RM60.00.
Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t
Saya ada satu persoalan. Saya dengar ada syarikat pemprosesan keropok terus memproses ikan untuk dijadikan keropok tanpa membuang dahulu perutnya. Soalan saya, apakah hukum makan keropok lekor yang diproses sekali dengan darah dan perutnya? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al-Maidah: 87)
Ayat dia atas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, para ulama berbeza pendapat berkenaan kenajisan darah ikan. Al-Syirazi menyebutkan bahawa berkenaan darah ikan, terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i. Pendapat pertama menyatakan bahawa ia adalah najis seperti mana darah-darah yang lain. Manakala pendapat kedua pula menyatakan, ia adalah suci kerana darah ikan tersebut tidaklah lebih banyak daripada bangkainya. Bangkai ikan adalah suci, maka demikianlah juga darahnya. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/92).
Imam al-Nawawi menjelaskan, kedua-dua pendapat mengenai darah ikan ini adalah masyhur dalam mazhab, dan pendapat yang paling sahih (asah), ia adalah najis. Ini juga merupakan pendapat yang dipegang oleh Imam Malik, Ahmad dan Daud. Manakala Imam Abu Hanifah berpendapat, ia adalah suci. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/557).
Dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin (hlm. 23) dinyatakan bahawa sebahagian ulama berpendapat kotoran (najis) haiwan yang boleh dimakan adalah suci. Bukan itu sahaja, bahkan terdapat sebahagian ulama yang lain berpendapat semua kotoran haiwan termasuklah anjing adalah suci melainkan kotoran manusia.
Selain itu, dinyatakan juga bahawa Imam Ibn Hajar, Ibn Ziyad, al-Ramli dan ulama-ulama lain telah bersepakat bahawa apa-apa yang terdapat di dalam perut ikan kecil seperti darah dan kotorannya adalah suci, dan ikan itu boleh dimakan bersama perkara-perkara tersebut. Sesungguhnya ia tidak akan menajiskan minyak (ketika menggorengnya). Bahkan Imam al-Ramli juga berpendapat hukumnya turut terpakai kepada ikan yang besar kerana terdapat satu pendapat yang kuat dalam mazhab Syafi‘i bahawa ikan tidak mempunyai darah. (Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, hlm. 25).
Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan, harus untuk memakan dan menelan ikan dan belalang. (Lihat Fath al-Wahhab, 2/235). Seterusnya, Syeikh al-Jamal menjelaskan lagi, keharusan untuk memakan dan menelan ikan merangkumi juga ikan besar dan ikan kecil. Manakala al-Zarkasyi tidak bersetuju dengan pendapat ini dan menyebutkan, sekiranya seseorang menelan bangkai ikan yang besar, maka ia adalah haram kerana kenajisan perutnya. Bagi ikan kecil pula terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i, dan mereka cenderung kepada pendapat yang mengharuskannya. Ada juga yang berpendapat, diharamkan untuk menelan ikan yang besar, jika memudaratkan. (Lihat Hasyiah al-Jamal, 5/269).
Selain daripada itu, dalam Hasyiah Ibn ‘Abidin (1/322) dinyatakan bahawa darah ikan termasuk dalam darah yang dimaafkan jika kurang daripada satu perempat pakaian. Kemudian selepasnya, disebutkan pula bahawa menurut mazhab, ia adalah suci. Ibn ‘Abidin menjelaskan lagi, pengarang menyebutkan perkara tersebut kerana dalam matan menunjukkan ia dikira sebagai najis berdasarkan kepada apa yang diriwayatkan daripada Abu Yusuf tentang kenajisan darah ikan besar sebagai najis berat, manakala lebihan air yang diminum oleh keldai dan baghal pula adalah najis ringan, sebagaimana yang disebutkan dalam nota kaki al-Khaza’in. Namun, pendapat mazhab (muktamad) menyatakan bahawa darah ikan adalah suci.
Menurut Syeikh Ibn al-‘Uthaimin darah ikan dikira sebagai darah yang suci. Hal ini kerana asal pengharaman bangkai disebabkan oleh darah yang berkumpul di dalamnya. Oleh sebab itu, apabila dikeluarkan darahnya melalui sembelihan maka ia menjadi halal untuk dimakan. Jadi bila mana bangkai ikan adalah suci, maka kita mengetahui bahawa darahnya — yang menjadi sebab kenajisan bangkai — adalah suci. Justeru, darah ikan adalah suci. Sekiranya seseorang menangkap ikan besar, lalu badannya terkena banyak darah ikan tersebut, maka darah itu adalah suci. (Lihat al-Syarh al-Sauti li Zad al-Mustaqni‘, 1/516). Begitu juga Ibn Muflih dalam kitabnya menyebutkan bahawa darah ikan adalah suci menurut pendapat yang paling sahih (asah). (Lihat al-Furu‘, hlm. 339).
Selain daripada itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-107 yang bersidang pada 10 – 11 Februari 2015 membincangkan Hukum Minyak Ikan Yang Diproses Tanpa Dibuang Perut Atau Najisnya. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
- Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa kandungan isi perut ikan adalah antara hukum yang tidak disebut secara jelas mengenainya sama ada dalam al-Quran ataupun Sunnah Rasulullah SAW. Ibn Hajar, Ziyad, al-Ramli dan lain-lain telah bersepakat bahawa apa-apa yang ada dalam perut ikan yang kecil sama ada darah atau najis adalah suci dan boleh dimakan serta tidak dianggap najis, bahkan al-Ramli berpendapat, hukum tersebut berlaku juga kepada ikan yang besar.
- Sekiranya ia dihukum bersih, syarak menetapkan hukum memakannya bergantung pula pada pandangan pakar perubatan yang dipercayai sama ada ia boleh memudaratkan ataupun tidak. Sekiranya mudarat maka tidak boleh dimakan kerana memberi kesan pada kesihatan, begitulah sebaliknya.
- Sehubungan itu, berdasarkan masyaqqah yang perlu dihadapi untuk memproses ikan dalam kuantiti yang banyak sehingga terlalu sukar untuk dibuang kandungan isi perut ikan satu persatu, dan realiti semasa industri komersil pemprosesan minyak ikan pada masa ini yang perlu mematuhi standard dan piawaian yang ketat bagi memastikan ianya bersih dan selamat digunakan, serta dengan mengambilkira kepentingan, manfaat dan kegunaan minyak ikan kepada kesihatan manusia, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa minyak ikan yang diproses secara komersial dalam kuantiti yang melibatkan beribu-ribu tan ikan tanpa dibuang perut atau najisnya adalah suci dan halal dimakan.
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa keropok lekor yang diproses secara komersial dalam kuantiti yang banyak tanpa disiang, dibuang perut atau najisnya adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana dengan mengambilkira kesukaran dan masyaqqah yang perlu dihadapi oleh pihak industri bagi memproses ikan dalam kuantiti yang banyak sehingga terlalu sukar untuk dibuang dan dibersihkan perut ikan satu persatu.
Walau bagaimanapun, ia masih lagi terikat kepada pandangan pakar perubatan yang dipercayai sama ada ia boleh memudaratkan ataupun tidak. Sekiranya ia terbukti memberi mudarat kepada pemakannya, maka ia adalah haram untuk dimakan. Apatah lagi realiti semasa menunjukkan bahawa industri komersil makanan pada masa ini mesti mematuhi standard dan piawaian yang ketat bagi memastikan ia benar-benar bersih dan selamat.
Namun, sekiranya keropok yang hendak diproses itu dalam kuantiti yang sedikit dan tiadanya kesukaran untuk menyiang dan membersihkan perut ikan-ikan tersebut, maka sebaik-baiknya hendaklah dibersihkan terlebih dahulu ikan-ikan tersebut sebagai keluar daripada khilaf. Hal ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ
Maksudnya: “Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).
Kami juga mengambil kesempatan di sini mengingatkan bahawa Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”
(Surah al-A‘raf: 157)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 31 Mac 2023 bersamaan 9 Ramadhan 1444H