#1211: Tafsir Surah al-Kahfi, Ayat 10

Soalan: 

Assalamualaikum Dato’ Seri, apakah tafsir serta fadhilat firman Allah SWT yang berikut?

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

Surah al-Kahfi (10)

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ibn Kathir menyebut dalam mentafsirkan ayat ini: “Maksudnya kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu, yang dengannya Engkau mengasihi kami. Dan tetapkanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami. Dengan kata lain, jadikanlah kesudahan akhir kami di atas petunjuk yang lurus.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 5/230)

Imam al-Tabari menjelaskan, lafaz “رَشَدًا” maksudnya adalah petunjuk dalam mengamalkan perbuatan yang Allah cintai. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil al-Quran, 17/605)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut dalam tafsirnya: “Dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami.” Atau bermakna, “Jadikanlah ujian kami ini sebagai petunjuk yang lurus, Engkau mencukupkan kemaslahatan kami dan menjadikan kami termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk dan bukan golongan orang-orang yang sesat, juga tergolong orang yang mendapat hidayah bukan golongan yang dalam kebingungan.” Atau, “Jadikanlah segala urusan kami ini sebagai perkara yang benar.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/217)

Dr. Syihabuddin Abu Zahw menukilkan kisah rakannya, Dr. Abd al-Sami’ Anis, Professor dalam ilmu hadith di Universiti al-Syariqah yang berkata: “Hajatku telah diperolehi kerana melazimi membaca doa ini bersama keluargaku pada hari Jumaat dengan banyak kali.”

Dalam musafir kami ke bumi Turki pada awal tahun 2020, antara tempat yang kami lawati adalah di pinggir bandar Istanbul untuk bertemu salah seorang pakar hadith pada masa kini, al-Syeikh al-‘Allamah Muhammad ‘Awwamah. Kami berbincang banyak perkara terutamanya isu corona virus yang mula meletus ketika itu dan kaitannya dengan hadith taun. 

Sebelum kami berangkat, beliau memanggil kami dan ketika itu hampir kami menaiki kenderaan, lantas dipesan kepada kami doa ini. Saya terlupa sama ada doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

atau doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ.

Justeru saya syorkan supaya diamalkan kedua-duanya. Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita agar dimakbulkan doa dan diberi kebaikan dalam hidup dengan kurniaan hajat-hajat yang kita mohonkan dari-Nya. Amin.

Bertarikh: 3 April 2023 bersamaan 12 Ramadhan 1444H