Soalan:
Apa hukum mandi wajib sebelum fajar di bulan Ramadhan dan selepas fajar?
Jawapan:
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kami mulakan perbincangan ini dengan menyatakan hukum mendatangi isteri di malam hari bulan Ramadhan, hukumnya adalah harus berdasarkan firman Allah SWT:
عَلِمَ اللهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ فَالْئٰنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللهُ لَكُمْ
Maksudnya: “Allah mengetahui bahawasanya kamu menghianati diri kamu (dengan mendatangi isteri kamu). Maka sekarang datangilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu”.[1]
Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas, beliau menyebutkan bahawa ayat ini merupakan keringanan yang Allah berikan kepada umat Islam pada malam Ramadhan. Sebelum diturunkan keringanan ini, umat Islam pada asalnya diharamkan untuk makan minum dan mendatangi isteri-isteri mereka selepas selesai solat isyak atau selepas bangun daripada tidur malam. Perkara ini menyukarkan mereka, ada sahabat yang pernah jatuh pengsan kerana tertidur selepas masuknya waktu berbuka tanpa sempat menjamah makanan.[2]
Diriwayatkan oleh Al-Barra’ RA bahawa Qays bin Sirmah Al-Ansari RA pernah pulang daripada berkerja dan bertanya pada isterinya jika ada disediakan makanan untuk berbuka:
أَعِنْدَكِ طَعَامٌ؟ قَالَتْ: لَا، وَلَكِنْ أَنْطَلِقُ فَأَطْلُبُ لَكَ. وَكَانَ يَوْمَهُ يَعْمَلُ، فَغَلَبَتْهُ عَيْنَاهُ، فَجَاءَتْهُ امْرَأَتُهُ، فَلَمَّا رَأَتْهُ قَالَتْ: خَيْبَةً لَكَ، فَلَمَّا انْتَصَفَ النَّهَارُ غُشِيَ عَلَيْهِ، فَذُكِرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ ﷺ، فَنَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ
Maksudnya: “Adakah kamu ada makan (untuk berbuka)? Jawab isterinya: Tidak, tapi aku akan dan carikan untuk kamu (berbuka). Qays ini berkerja pada siang hari, maka dia tertidur (kepenatan ketika menunggu isterinya). Apabila isterinya pulang dan mendapati dia tertidur, isterinya berkata: Kasihan kamu. Keesokan harinya, Qays jatuh pengsan pada tengahari (ketika sedang berkerja). Lalu peristiwa ini diceritakan kepada Rasulullah SAW. Maka turunlah ayat ini (Al-Baqarah: 187)”.
Riwayat Al-Bukhari (1816)
Selepas turunnya ayat ini, kaum muslimin pun berasa sangat gembira kerana tidak lagi merasa kesukaran di malam Ramadhan untuk makan minum atau mendatangi isteri-isteri mereka.
Mandi Wajib Sebelum Fajar
Berbalik kepada persoalan utama, mandi wajib sebelum fajar adalah digalakkan dan lebih utama. Hal yang demikian kerana ulama’ berbeza pendapat mengenai mandi wajib selepas fajar, dan keluar daripada perbezaan pendapat adalah lebih utama berdasarkan kaedah fiqhiyyah:
الخُرُوجُ مِنَ الْخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ
Maksudnya: “Keluar daripada khilaf (perbezan pendapat) adalah digalakkan”.
Imam Tajuddin Al-Subki mengatakan bahawa galakan keluar daripada perbezaan pendapat tidaklah menjadi keutamaan pada semua keadaan, ia mestilah merangkumi dua syarat berikut:
- Keluarnya dari perbezaan pendapat tersebut tidak mendorong seseorang melakukan perkara lain yang syara’ perintahkan untuk berjaga-jaga, seperti meninggalkan sunnah yang sahih.
- Dan juga mestilah tidak mendorong seseorang itu melakukan perkara yang ditegah syara’, seperti melakukan perkara yang makruh.[3]
Akan tetapi jika seseorang itu tidak sempat untuk mandi wajib sehingga terbitnya fajar, tidaklah batal puasanya walau dalam keadaan junub. Begitu juga hukum untuk wanita yang putus haid atau nifasnya di malam hari Ramadhan. Imam Nawawi menyebutkan, inilah pandangan yang dipegang oleh majoriti ulama’ daripada kalangan sahabat dan tabi’in.
Banyak dalil yang menguatkan pandangan ini, antaranya:
Allah SWT berfirman selepas ayat rukhsoh (keringanan) di atas:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
Maksudnya: “Dan makanlah dan minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang gelap (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)”.[4]
Imam Nawawi ketika berhujjah dengan ayat ini menyebutkan[5], jika seseorang itu mendatangi isterinya sepanjang malam, sudah pasti dia akan berada dalam keadaan junub ketika terbitnya fajar. Dan terdapat banyak hadith sahih antaranya yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah dan Ummu Salamah R.Anhuma, kata mereka:
أَنَّ رَسُولَ ﷺكَانَ يُدْرِكُهُ الْفَجْرُ، وَهُوَ جُنُبٌ مِنْ أَهْلِهِ، ثُمَّ يَغْتَسِلُ وَيَصُومُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW ketika terbit fajar beliau dalam keadaan junub dari mendatangi isterinya, kemudian beliau mandi dan puasa”.
Riwayat Al-Bukhari (1825)
Terdapat juga riwayat lain yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA, katanya:
قَدْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُدْرِكُهُ الْفَجْرُ فِي رَمَضَانَ وَهُوَ جُنُبٌ، مِنْ غَيْرِ حُلُمٍ فَيَغْتَسِلْ وَيَصُومُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW ketika terbit fajar di bulan Ramadhan, beliau dalam keadaan junub bukan kerana mimpi basah (tetapi kerana mendatangi isteri baginda), kemudian beliau mandi dan puasa”.
Riwayat Muslim (1109)
‘Aisyah RA juga ada meriwayatkan hadith lainnya, ketika datang seorang lelaki untuk meminta fatwa daripada Nabi SAW kerana lelaki tersebut berada dalam junub ketika terbitnya fajar, sama ada dia perlu berpuasa atau tidak. Lalu Baginda SAW menjawab:
وَأَنَا تُدْرِكُنِي الصَّلَاةُ وَأَنَا جُنُبٌ فَأَصُومُ
Maksudnya: “Aku juga pernah berada dalam keadaan junub ketika masuknya waktu solat (fajar), lalu aku (teruskan) berpuasa”.
Riwayat Muslim (1110)
Nas-nas di atas menunjukkan keharusan mandi wajib selepas fajar tetapi sebagai mana kami tegaskan bahawa mandi sebelum fajar lebih baik kerana ketika itu kita berada dalam keadaan berpuasa.
Kesimpulan
Kami menyimpulkan berdasarkan perbincangan di atas bahawa mandi wajib sebelum fajar lebih utama bagi mengeluarkan diri daripada perbezaan pendapat. Dan tidak menjadi masalah jika tidak sempat untuk mandi wajib sehingga terbitnya fajar, hal yang demikian kerana kuatnya dalil pandangan yang mengatakan puasa orang yang berjunub itu sahih.
Kami mengatakan bahawa berhati-hati dalam masalah yang mempunyai perbezaan pendapat itu lebih utama selagimana ia tidak mendorong seseorang meninggalkan amalan sunnah atau mendorong seseorang itu melakukan perkara yang ditegah oleh syara’.
Wallahua‘lam.
[1] Surah Al-Baqarah: 187.
[2] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/375.
[3] Lihat Al-Asybah wa Al-Nazair, 1/112.
[4] Surah Al-Baqarah: 187.
[5] Lihat Al-Majmu’, 6/308.
Bertarikh: 3 April 2023 bersamaan 12 Ramadhan 1444H