Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada soalan. Saya sering bermusafir dengan menaiki kapal terbang. Oleh itu, pada bulan Ramadhan ini, saya memilih untuk berpuasa sahaja. Soalan saya, bagaimanakah saya hendak berbuka puasa, adakah saya perlu mengikut waktu negara saya iaitu Malaysia, atau waktu tempat yang dituju, atau waktu negara yang sedang dilalui oleh kapal terbang. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Persoalan ini berkait rapat dengan waktu berbuka puasa. Pada asasnya, waktu berbuka atau iftar itu adalah apabila tibanya waktu malam — iaitu matahari terbenam. Hal ini jelas seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا، وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا، وَغَرَبَتِ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ
Maksudnya: “Apabila malam telah tiba dari arah ini, dan siang telah berlalu dari arah ini serta matahari telah terbenam, maka orang yang berpuasa boleh berbuka.”
Riwayat al-Bukhari (1954) dan Muslim (1100)
Begitu juga Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa selesai dan sempurnanya puasa itu dengan terbenamnya matahari seperti mana yang disepakati oleh seluruh kaum Muslimin. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/304).
Justeru, berbalik kepada soalan yang diajukan, seseorang yang berpuasa tidak boleh berbuka puasa melainkan apabila terbenamnya matahari di tempat dia berada mengikut waktu terbenamnya matahari pada tempat tersebut. Apabila dia sampai di tempat yang dituju, dan matahari di tempat tersebut masih belum lagi terbenam, maka dia tidak boleh berbuka puasa sehinggalah terbenamnya matahari sekalipun tempohnya masih lagi panjang. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
Maksudnya: “Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”
(Surah al-Baqarah: 187)
Begitu juga berdasarkan sabda Nabi SAW:
إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا، وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا، وَغَرَبَتِ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ
Maksudnya: “Apabila malam telah tiba dari arah ini, dan siang telah berlalu dari arah ini serta matahari telah terbenam, maka orang yang berpuasa boleh berbuka.”
Riwayat al-Bukhari (1954) dan Muslim (1100)
Justeru, bagi setiap orang yang berpuasa untuk mengikut hukum atau ketetapan waktu berbuka di tempat dia berada, sama ada di permukaan bumi atau di dalam kapal terbang di atas udara.
Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid menyebutkan dalam Sab‘un Mas’alah fi al-Siyam bahawa jika matahari telah terbenam, lalu dia telah berbuka sebelum menaiki kapal terbang, kemudian dia menaiki kapal terbang lalu dia melihat matahari. Justeru tidak wajib untuknya menahan diri (yakni berpuasa) kerana dia telah menyempurnakan puasanya sepanjang hari, maka tidak ada jalan baginya untuk kembali beribadat selepas selesai melakukannya. Jika dia menaiki kapal terbang sebelum terbenamnya matahari, dan berkeinginan untuk menyempurnakan puasanya pada hari tersebut dalam permusafirannya, maka janganlah dia berbuka melainkan apabila terbenamnya matahari mengikut tempat di mana dia sedang berada dari arah udara. Selain itu, tidak boleh bagi juruterbang untuk menurunkan kapal terbang ke tahap tidak kelihatannya matahari bagi sebab berbuka puasa kerana ia dikira satu penipuan. Akan tetapi jika kapal terbang itu diturunkan (terbang rendah) kerana suatu maslahah penerbangan, lalu lingkaran matahari itu tidak kelihatan, maka dia boleh berbuka puasa.[1]
Berkenaan hal ini, Dr. Abdullah al-Sakakir dalam makalahnya yang bertajuk, “Fiqh Nawazil al-Siyam,” juga ada menyebutkan bahawa orang yang sedang berpuasa yang melakukan permusafiran ke arah barat ketika hampirnya terbenam matahari di negaranya, lalu baginya terbenamnya matahari menjadi terlambat, sebagaimana jika matahari terbenam di negaranya pada jam 6 petang dan 10 minit sebelum jam 6 petang dia menaiki kapal terbang melakukan permusafiran ke arah barat, maka setiap perjalanannya pada laluan itu maka waktu siang akan menjadi panjang, matahari tidak terbenam di ufuk barat kecuali pada pukul 8. Jadi, berbaki masa satu atau dua jam (sebelum matahari terbenam) dan (ketika itu) matahari masih lagi terang benderang, maka apakah yang kita perlu katakan kepadanya?
Kita katakan bahawa orang tersebut tidak boleh berbuka puasa sehinggalah terbenamnya matahari, sekalipun bertambah ke atasnya dua jam, 4 jam, 5 jam, atau lebih lagi. Dia diberi pilihan, sama ada mengambil hukum sebagai musafir lalu membatalkan puasanya berdasarkan rukhsah yang diberikan, atau dia tetap meneruskan puasanya sehingga sempurna (tempohnya) kerana al-Quran telah menetapkan bagi waktu berbuka itu tempohnya. Firman Allah SWT:
ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
Maksudnya: “Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”
(Surah al-Baqarah: 187)
Begitu juga berdasarkan sabda Nabi SAW sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini. Justeru, selama mana matahari belum lagi terbenam, maka tempoh satu hari (untuk berpuasa) bagi orang tersebut masih lagi belum selesai, dan dia diwajibkan untuk terus menahan (yakni berpuasa) sehingga terbenamnya matahari, atau dia mengambil rukhsah dengan membatalkan puasanya dan mengqadha’kannya semula pada hari yang lain.[2]
Selain itu, al-Lajnah al-Da’imah juga ada ditanya berkenaan orang yang berpuasa jika dia sedang berada di dalam kapal terbang, lalu dia mengetahui waktu berbuka puasa negara yang berhampiran menggunakan jam atau televisyen, maka adakah dia dibolehkan berbuka puasa, dalam keadaan dia melihat matahari dengan sebab ketinggian kapal terbang?
Mereka menjawab, jika orang yang berpuasa yang sedang berada di dalam kapal terbang mengetahui waktu berbuka negara yang berhampiran melalui jam dan televisyen, sedangkan dia masih lagi melihat matahari dengan sebab ketinggian kapal terbang, maka dia tidak boleh berbuka puasa kerana Allah SWT berfirman:
ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
Maksudnya: “Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”
(Surah al-Baqarah: 187)
Perkara ini tidak terpakai pada hak dirinya selagi mana dia masih lagi melihat matahari.
Begitu juga dalam soalan yang lain, mereka menjawab, sekiranya seseorang yang berpuasa itu sedang berada di dalam kapal terbang pada waktu siang Ramadhan, dan dia ingin meneruskan puasanya sehingga malam (waktu Maghrib), maka tidak boleh baginya untuk berbuka melainkan setelah terbenamnya matahari untuk penumpang. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 10/136-137).
Manakala Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam fatwa mereka ketika menjawab persoalan orang yang hendak berbuka puasa di udara menyatakan bahawa orang yang berpuasa yang sedang bermusafir di udara, berbuka puasa apabila tenggelamnya matahari pada penglihatannya, pada tempat dia sedang berada ketika itu, bukanlah berdasarkan waktu negara asalnya atau negara yang sedang dilaluinya, tetapi ketika tenggelamnya matahari keseluruhan lingkarannya berdasarkan pandangan matanya. Jika susah baginya untuk berbuat demikian, maka dia boleh berbuka puasa disebabkan oleh masyaqqah dan kesukaran dalam permusafiran itu dan bukannya kerana satu hari telah berlalu. Jika dia berbuka puasa (disebabkan itu) maka wajib ke atasnya untuk mengqadha’kannya semula mengikut bilangan hari yang ditinggalkan (tidak berpuasa). Apa yang dikatakan oleh juruterbang berkenaan waktu iftar (berbuka puasa) mengikut miqat negara asal atau negara semasa (yang sedang dilalui) tanpa mengambil kira terbenamnya matahari di hadapan mereka adalah tidak sahih benar menurut syarak.[3]
Maka jelaslah bahawa waktu berbuka itu berdasarkan tempat setiap orang yang berpuasa itu berada. Bukan berdasarkan waktu negara asal, negara yang dilalui apatah lagi negara yang dituju meskipun waktu-waktu tersebut dipaparkan secara tepat di dalam kapal terbang.
Oleh itu, hendaklah orang yang berpuasa memastikan bahawa waktu malam benar-benar telah masuk. Maka, para fuqaha’ menerangkan kaedah menentukan waktu malam berdasarkan situasi-situasi tertentu terutamanya sekiranya kapal terbang melalui kawasan yang terhalang untuk melihat matahari. Hal ini diterangkan oleh Ibn Daqiq al-‘Aid bahawa kedudukan orang yang melihat matahari itu berbeza-beza Sekiranya di antara orang tersebut dan lingkaran matahari itu terhalang, maka tidak cukup dengan sekadar terbenamnya lingkaran matahari daripada pandangan mata, (hendaklah orang yang terhalang) mengambil bukti (telah masuknya waktu maghrib) dengan melihat datangnya waktu malam dari arah timur. (Lihat Ihkam al-Ahkam, 1/166).
Kesimpulannya
Justeru, berdasarkan kepada perbincangan di atas, jelaslah bahawa waktu berbuka puasa bagi orang yang berpuasa di dalam kapal terbang adalah berdasarkan atau berkait rapat dengan terbenamnya matahari (yakni datangnya waktu malam) yang dilihat dengan matanya sendiri. Pada masa kini, kebiasaannya juruterbang atau anak-anak kapal akan mengumumkan waktu berbuka puasa dan begitu juga waktu solat Subuh (tamatnya waktu sahur) pada bulan Ramadhan khususnya. Seboleh-bolehnya hendaklah menetapkan keyakinan dengan melihat sendiri sama ada matahari masih kelihatan atau sudah terbenam dan hari telah bertukar menjadi malam. Sekiranya matahari masih lagi terang benderang, maka tidak boleh orang itu berbuka, dan sekiranya matahari sudah terbenam atau malam sudah tiba, maka jelaslah bahawa waktu berbuka sudah masuk.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
[1] Lihat https://islamqa.info/ar/answers/37670/متى-يفطر-راكب-الطاىرة. dan https://files.zadapps.info/islamqa.info/70quetion-syaam.pdf. Diakses pada 31 Mac 2023.
[2] Lihat https://dorar.net/article/323/ نوازل-الصيام. Diakses pada 31 Mac 2023.
[3] Lihat https://www.elbalad.news/5683913. Diakses pada 31 Mac 2023.
Bertarikh: 3 April 2023 bersamaan 12 Ramadhan 1444H