Soalan:
Assalamualaikum Dato Seri, adakah banduan dikenakan zakat fitrah?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Saya mulakan dengan hadis daripada Abdullah bin Umar R.A ada meriwayatkan bahawa:
فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ، وَالذَّكَرِ وَالْأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memfardhukan (mewajibkan) zakat fitrah pada bulan Ramadan segantang kurma atau gandum ke atas orang yang merdeka atau hamba lelaki atau perempuan di kalangan Islam.”
Riwayat al-Bukhari (1503), Muslim (974), Abu Dawud (1611), al-Tirmizi (676), al-Nasa’ie (2503), Ibn Majah (1826) dan Ahmad (5339)
Dalam isu di atas, apabila cukup syarat sebagai seorang Islam dan juga mempunyai harta yang mencukupi, maka zakat fitrah adalah diwajibkan.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-60 turut telah membincangkan isu zakat fitrah ke atas orang tahanan dan banduan Islam di institusi penjara.
Muzakarah memutuskan bahawa hukum zakat fitrah ke atas orang tahanan dan banduan Islam di Institusi Penjara adalah wajib sekiranya cukup syarat wajib zakat fitrah iaitu:
- Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
- Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
- Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
- Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
Walaubagaimanapun, kaedah untuk menunaikan pembayaran zakat tersebut perlulah dirujuk kepada pihak jabatan penjara.
Saya cadangkan juga agar kaum keluarga dapat menunaikan zakat fitrah bagi keluarganya yang berada di penjara. Semoga dengan cara ini, tidak diragukan lagi zakat fitrah juga dilaksanakan oleh banduan kerana beliau adalah orang Islam dan mencakupi syarat yang lain. Seperti yang kita maklum, antara fungsi zakat fitrah sepertimana hadis Nabi SAW, daripada Ibn Abbas R.Anhuma katanya:
فَرَضَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَائِمِ مِنَ الْلَغْوِ وَالْرَفَثِ، وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِيْنِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah sebagai menyuci bagi orang yang berpuasa dari sebarang lagha dan keji serta memberi makan kepada orang-orang miskin.”
Riwayat Abu Daud (1609). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya hasan
Semoga kita termasuk di kalangan hamba-Nya yang sentiasa menunaikan zakat. Amin.
Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H