Soalan:
Assalamualaikum Dato Seri, apakah faedah membaca:
‘بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ’ sebab saya pernah dengar, ramai orang membaca doa atau zikir ini?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Doa ini diriwayatkan oleh Uthman bin Affan R.A. Beliau berkata: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَالَ بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ، فِي الْأَرْضِ، وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ، حَتَّى يُصْبِحَ، وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ
Maksudnya: Sesiapa yang membaca:
بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
(“Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”)
sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga subuh. Dan barangsiapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).”
Riwayat Abu Daud (5088), al-Tirmizi (3388), Ibn Majah (3869), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10178) dan Ahmad (446). Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’uth, hadith ini adalah hasan.
Di dalam hadith ini dinyatakan akan kelebihan orang yang membaca doa ini pada awal siang hari dan awal malam hari. Doa tersebut dimulakan dengan menyebut nama Allah bagi memohon perlindungan-Nya daripada segala keburukan yang mana tidak akan memberi mudarat sesuatu pun dengan nama Allah apabila ia diucapkan dengan pegangan yang betul dan niat yang ikhlas. Adapun, kita bukan sahaja memohon perlindungan daripada keburukan di muka bumi sahaja, bahkan juga keburukan dari langit iaitu apa-apa yang turun dari langit. Tambahan pula, Allah SWT bersifat Maha mendengar akan ucapan-ucapan kita dan Allah juga bersifat Maha Mengetahui akan keadaan kita. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/234)
Di samping itu juga, tidak memberi mudharat dengan nama-Nya di dalam doa ini juga membawa maksud bahawa penduduk bumi berada di dalam keadaan aman dan selamat disebabkan keberkatan nama Allah SWT serta keterikatan dengan-Nya. Samalah keadaannya kepada penduduk di langit bilamana mereka melazimi nama Allah SWT dalam setiap perkara. (Lihat Syarh Hisn al-Muslim, hlm. 149. Lihat juga Irsyad al-Hadith Siri ke-463 untuk bacaan lanjut)
Sebagai seorang Islam, kita wajib imani bahawa taqdir Ilahi melalui qadha’ dan qadar-Nya adalah segala-galanya. Justeru, Allah boleh melakukan apa sahaja. Apa-apa yang terkena kepada kita, tidak akan berlaku tanpa izin-Nya dan ketentuan dari-Nya. Benarlah firman Allah SWT:
قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami.” [1]
(Surah al-Taubah: 51)
Semoga kita sentiasa dikurniakan Allah kebaikan dalam hidup dan mampu melaksanakan ketaatan kepada-Nya. Amin.
[1] Ibn Kathir berkata: Iaitu kita semuanya adalah di bawah kehendak Allah dan ketentuan-Nya. Kepada-Nya kita bertawakal dan Dia lah sebaik-sebaik pelindung. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/214)
Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H