Soalan:
Assalamualaikum Dato Seri, benarkah nama Allah 99 atau lebih?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Saya mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلِلَّـهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا
Maksudnya: “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu.”
(Surah al-A’raf: 180)
Al-Tabari menukilkan bahawa Ibn Abbas berkata: “Di antara nama-nama Allah adalah ‘العزيز’ dan ‘الجبار’. Semua nama-nama Allah itu baik.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 11/710)
Nama Allah SWT yang agung adalah sebagai salah satu cara untuk dimustajabkan doa. Dengan menyebut nama-nama Allah yang agung ini, doa dan permohonan seseorang hamba itu tidak akan ditolak oleh Allah SWT.
Mengenai nama-nama Allah, terdapat hadis sahih daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ لِلَّهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا، مِائَةً إِلَّا وَاحِدًا، مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الجَنَّةَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama, seratus kurang satu. Sesiapa yang ‘menghitungnya’ (menyebut dalam doa dan mengamalkan secara berterusan) maka dia akan masuk surga.”
Riwayat al-Bukhari (7392) dan Muslim (2677)
Imam al-Nawawi berkata: “Para ulama’ telah bersepakat bahawa hadith ini tidak menunjukkan nama-nama Allah SWT hanya sebanyak itu sahaja dan ia juga tidak bermakna bahawa Allah SWT tidak mempunyai nama-nama lain selain daripada 99 nama ini. Adapun maksud hadith ini adalah bahawa sesiapa yang menghafalnya, memahami serta menjaganya maka dia akan masuk ke dalam syurga. Maka yang diinginkan di dalam hadith ini adalah pengkhabaran antara sebab yang boleh menyebabkan masuk ke dalam syurga bukannya menetapkan bilangan nama-nama Allah SWT sebanyak ini sahaja.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/5).
Akan tetapi soalannya, apakah Allah SWT mempunyai nama-nama selain itu? kami menjawab: “Ya, nama-nama Allah tidak hanya terhad pada yang ke-99 itu, sebagaimana yang terdapat pada hadith Abdullah bin Mas’ud R.A dengan sanad hasan, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ
Maksudnya: “Aku meminta kepada-Mu dengan seluruh Nama yang Engkau miliki, yang Engkau beri nama diri-Mu dengan Nama itu, atau yang Engkau ajarkan kepada salah seorang dari makhluk-Mu, atau yang Engkau turunkan dalam Kitab-Mu, atau yang Engkau simpan dalam perbendaharaan ilmu ghaib yang di sisi-Mu.”
Riwayat Ahmad (3712). Sanad hadith ini adalah dha‘if.
Hadith ini menunjukkan bahawa masih banyak nama-nama Allah SWT yang belum diketahui oleh manusia, termasuk juga para nabi sekalipun.
Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H