#1237: Selawat ketika Solat Jumaat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ingin bertanya kepada Dato’ Seri, setiap kali solat Jumaat, sebelum khatib naik ke mimbar, khatib akan baca ayat ini: ‘اِنَّ اللّٰهَ وَمَلٰٓـئِكَتَهٗ يُصَلُّوۡنَ عَلَى النَّبِىِّ ؕ يٰۤـاَيُّهَا الَّذِيۡنَ اٰمَنُوۡا صَلُّوۡا عَلَيۡهِ وَسَلِّمُوۡا تَسۡلِيۡمًا‏’. Tapi, bila Allah perintahkan orang beriman untuk selawat, kenapa semua jemaah tidak berselawat ketika itu. Semua jemaah senyap sepi.

Soalan saya, adakah pada waktu itu tidak boleh bercakap? (tetapi khutbah belum bermula.) Adakah saya boleh berselawat dengan suara yang kuat pada masa itu? Bolehkah Dato anjurkan dalam kuliah supaya semua jemaah selawat beramai-ramai pada waktu yang saya nyatakan.

Dan, apa hukum berselawat ketika dengar nama Nabi SAW ketika khutbah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pertamanya, kami mengucapkan syabas atas kecaknaan saudara dalam amalan berselawat ke atas Junjungan Nabi SAW. Sesungguhnya amalan berselawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu amalan yang agung dan besar ganjarannya di sisi Allah SWT.

Dalam menggambarkan keagungan dan kebesaran amalan tersebut, Allah SWT memulakan perintah untuk berselawat dengan zat-Nya dan para malaikat terlebih dahulu, sebelum kita sebagai orang-orang beriman dituntut untuk mengucapkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

Surah al-Ahzab (56)

Kedua, secara asasnya, terdapat larangan umum ke atas makmum semasa khatib sedang berkhutbah, untuk bercakap-cakap dan disunatkan ke atas mereka diam mendengar khutbah. Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

(Surah al-A`raf : 204)

Syeikh Zakariyya al-Ansari berkata: “Ramai ahli tafsir menyebut bahawa ayat ini diturunkan pada hukum khutbah dan dinamakan “Qur’anan” kerana kebanyakan isi khutbah ialah tentang al-Quran.” (Lihat Asna al-Matalib, 1/258)

Begitu juga hadis, daripada Abu Hurairah RA, Nabi ﷺ bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: “Apabila kamu berkata ‘diam’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat ketika imam membaca khutbah maka sia-sialah Jumaat kamu.”

Riwayat al-Bukhari (892) dan Muslim (851)

 

Ketiga, dalam isu mengangkat suara untuk berselawat ketika khutbah, para ulama’ telah khilaf kepada tiga pandangan seperti berikut:

  • Makruh, bahkan sebaiknya tidak perlu berselawat. Ini adalah pandangan ikhtiyar Imam Ibn al-Munzir. Begitu juga pandangan Abu Hanifah dan Sufyan al-Thauri.
  • Harus sekiranya dibaca perlahan. Dalam mazhab Maliki dan Hanbali, dinyatakan, “Sunat dia berselawat secara perlahan dan tidak mengangkat suaranya.” Al-Qadhi Abu Tayyib daripada Syafi’iyyah juga menyatakan hukum makruh menguatkan suara kerana memutuskan istima’ (mendengar khutbah).
  • Harus walaupun dibaca kuat, bahkan disunatkan. Inilah pandangan yang rajih dalam mazhab Syafi’i. Mereka menyatakan bahawa harus untuk menguatkan suara bagi berselawat semasa khatib membaca firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

(Surah al-Ahzab : 56)

(Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/592)

Meskipun begitu, diharamkan untuk menguatkan suara secara melampau. Imam al-Azraie menyebut: “Bukanlah maksud boleh menguatkan suara ketika selawat itu sehingga melampau, seperti yang dilakukan oleh sebahagian orang awam. Malah, perbuatan menguatkan suara secara melampau itu adalah bid`ah perlu diingkari!” (Lihat Asna al-Matalib, 1/270)

Syeikh al-Jamal dalam Hasyiah-nya (2/32) menyebut: “Inilah pendapat yang rajih, yakni apabila dilakukan hanya orang yang berdekatan sahaja yang mendengarnya. Imam al-Ramli berkata: Meninggikan suara secara melampau itu seperti yang dibuat oleh orang awam itu adalah bidaah yang perlu diingkari.”

Adapun di sisi Imam al-Nawawi, hukumnya cukup diharuskan sahaja. Ini berdasarkan zahir kenyataan beliau dalam Raudhah al-Talibin (2/48), bahkan lebih aula (utama) ialah mendengar khutbah. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/573)

Berdasarkan kenyataan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa berselawat, dan mengangkat suara untuk berselawat, semasa khatib sedang berkhutbah dan menyebut Nabi SAW, adalah diharuskan, seperti mana yang biasa dilakukan dalam masyarakat kita. Namun begitu, hendaklah dielakkan membaca dengan terlalu kuat, apatahlagi sehingga mengganggu orang lain, kerana hal berkenaan sepakat para ulama mengharamkannya.

Semoga dengan pencerahan ini kita sudah mampu untuk memahami isu ini dengan lebih baik. Justeru, marilah sama-sama kita memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW terutama pada hari Jumaat atau malamnya.

Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H