Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud bulan-bulan haram?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Bulan Haram telah disebut di dalam al-Quran Allah SWT berdasarkan firman Allah SWT:
إنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah al-Taubah: 36)
Ibn Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/130)
Bulan Haram ini terdiri daripada empat bulan di dalam Islam iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Hal ini disebut di dalam sebuah hadith yang sahih, yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الزَّمَانُ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Qa’dah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rajab terletak antara Jumadi al-Akhir dan Sya’ban.”
Riwayat al-Bukhari (4054)
Bulan ini dinamakan bulan yang Haram kerana pada bulan ini diharamkan berperang dan juga ia adalah bulan yang suci, di mana Allah SWT mengharamkan sebarang kezaliman dan setiap kezaliman yang dilakukan dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain.
Antara hikmah larangan berperang pada bulan haram di mana 3 bulan berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Ini kerana, kewajipan haji pada bulan Zulhijjah. Justeru, ia memberi peluang kepada mereka yang ingin melaksanakan ibadat haji untuk dapat pergi dan pulang dengan selesa. Sebulan lebih pergi dan sebulan lebih pulang. Itulah waktu yang amat mencukupi dalam menunaikan ibadat haji.
Kesimpulannya, bulan Haram adalah bulan di mana Allah SWT akan menggandakan setiap amalan yang kita lakukan dalam bulan-bulan tersebut. Untuk itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan kita apabila tiba bulan-bulan tersebut, seperti solat sunat, puasa sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi.
Semoga Allah SWT menerima setiap amalan kita dan meletakkannya dalam neraca kebaikan kita di akhirat kelak. Amin.
Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H