Soalan:
Adakah anak yang lahir daripada persetubuhan tuan lelaki dan hamba perempuannya layak mewarisi harta pusaka?
Jawapan:
Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.
Dalam masalah ini ulama fiqh menyatakan bahawa anak daripada “Tuan” apabila bersetubuh dengan hambanya, maka anak tersebut dianggap sebagai anak yang merdeka kerana mengikut bapanya. Sedangkan ibunya pula (ibu kepada anak tersebut) dikenali sebagai ummu walad. Ulama Syafi’i berpendapat ibu tersebut akan merdeka apabila Tuan itu meninggal dunia.
Dalam Islam, seseorang itu boleh bersetubuh secara syar’i dan sah melalui dua cara:
Pertama, pernikahan yang sahih.
Kedua, hamba yang dimilikinya.
Ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ
Maksudnya: “Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.”
Surah al-Mukminun (6)
Hukum ummu walad, ia tidak boleh lagi dijual.
Daripada Umar RA, dia memutuskan bahawa,
قَضى في أمِّ الولدِ أن لا تُباعَ، ولا توهَبَ ولا تورَثَ، يستمتعُ بها صاحبُها ما عاش، فإذا مات فهي حُرَّةٌ.
Maksudnya: “Ummu walad itu tidak boleh dijual, dihibahkan atau diwariskan. Pemiliknya boleh menggaulinya selama dia masih hidup. Jika pemiliknya meninggal, maka ummu walad itu merdeka.”
Riwayat al-Daraqutni (4/134), al-Baihaqi (10/348), Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (13225). Disahihkan oleh pengarang Irwa’ al-Ghalil (1776).
Ibnul Qathan menyatakan athar ini sahih dan marfu.” (Lihat Nihayah, 3/121)
Imam Malik dalam al-Muwatha’ (2/776) meriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab berkata:
أَيُّمَا وَلِيدَةٍ وَلَدَتْ مِنْ سَيِّدِهَا , فَإِنَّهُ لَا يَبِيعُهَا , وَلَا يَهَبُهَا , وَلَا يُوَرِّثُهَا , وَهُوَ يَسْتَمْتِعُ بِهَا , فَإِذَا مَاتَ فَهِيَ حُرَّةٌ.
Maksudnya: “Hamba perempuan mana pun yang melahirkan anak dari pemiliknya (tuannya), maka dia tidak boleh dijual, dihibahkan, dan diwariskan. Pemiliknya (tuannya) boleh menggaulinya. Jika pemiliknya (tuannya) meninggal, maka hamba perempuan itu merdeka.”
Imam Malik dalam al-Muwatta’ (2871)
Justeru, menjawab persoalan di atas, maka anak tersebut adalah anak yang sah taraf dan merdeka, tidak seperti ibunya serta dia layak menerima pusaka. Kerana statusnya adalah anak.
Semoga jawapan ini boleh difahami oleh kita semua walaupun sistem perhambaan sudah hampir tiada di dunia ini.
Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H