#1244: Solat Istikharah

Soalan:

Assalamualaikum Datuk. Saya Fatimah al-Zahra. Datuk, saya ada perkara yang ingin ditanyakan. Baru-baru ini, sehari sebelum puasa, ada lelaki buat pengakuan ingin memperisterikan saya. Kami hanya kenal di tempat kerja. Hanya kenal begitu sahaja. Dan situasi sekarang dia takut nak berterus-terang dengan mak ayahnya tentang saya. Sebab status saya sebagai seorang ibu tunggal sejak 2012. Jadi saya ambil langkah, buat istikharah bermula Ramadan hari tu.

Ramadan 1 (selepas Tahajud). Ramadan 2 (selepas Tahajud). Ramadan 3, saya buat istikharah selepas solat Isyak. Saya terlelap selepas Isyak dan bermimpi tentang dia. Ramadan 4, saya buat lagi istikharah selepas Tahajud. Terlelap juga sambil tunggu Subuh. Dan bermimpi lagi tentang dia.

Cuma masalahnya Datuk, saya masih ada was-was dan takut sebab saya takut saya tak mampu jadi isteri yang baik. Dan dia masih belum berterus-terang dengan mak dan ayahnya. Mohon Datuk berikan pandangan Datuk untuk saya. Saya ingin mendirikan rumahtangga, istikharah saya ada jawapannya tapi saya masih was-was dan takut. Terima-kasih saya dahulukan. 

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Pertamanya, saya ucapkan syabas kepada puan kerana menjaga maruah sebagai seorang wanita Muslimah. Keduanya, puan telah mengambil cara yang terbaik dengan beristikharah. Untuk mendapatkan detail berkenaan dengan istikharah ini dan solatnya, sila rujuk buku kami Ensiklopedia Solat-Solat Sunat.

Menjawab persoalan puan, saya noktahkan kepada beberapa perkara:

  • Firman Allah SWT:

وَخَلَقْنَاكُمْ أَزْوَاجًا ‎

Maksudnya: “Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang.”

Surah al-Naba (8)

Berdasarkan nas di atas, Allah SWT ciptakan secara fitrah manusia lelaki dan perempuan akan hidup secara berpasang-pasangan. Hal tersebut hendaklah dipatuhi mengikut syariat Islam, iaitu melalui perkahwinan yang sahih. Dengannya akan melahirkan perasaan mawaddah, rahmah dan sakinah. Seterusnya, melahirkan generasi yang soleh dan solehah yang layak menjadi khalifah Allah SWT di muka bumi.

  • Buangkan sifat was-was supaya jangan sentiasa menjadi pakaian kehidupan kita kerana ia adalah bisikan syaitan. Saya telah jawab dalam maktabahalbakri.com berkenaan cara untuk menghindari was-was.
  • Sikap puan merasa bimbang untuk menjadi isteri yang baik adalah satu tanda yang baik yang menunjukkan isu hak dan tanggungjawab sebagai seorang isteri yang wajib digalas dan dipikul seseorang yang bernama isteri sepatutnya sentiasa diletakkan di hadapan kehidupan kita. 
  • Dalam hal puan, mungkin puan boleh berbincang dengan sebaik mungkin dengan lelaki tersebut untuk menemukan noktah yang terakhir supaya puan tidaklah berada dalam keadaan menanti yang tidak berkesudahan. 
  • Boleh juga puan baca sebuah kisah yang menarik iaitu kisah Ummul Mukminin Saidatina Khadijah R.Anha yang telah berkahwin dengan Rasulullah SAW. Sila rujuk buku kami Garis Masa Hayat al-Rasul SAW. Berdasarkan kisah tersebut, puan akan mendapat idea yang baik untuk menyelesaikan dengan pasangan puan.

Akhir kalam, saya berdoa kepada Allah SWT semoga puan mendapat jodoh yang terbaik sebagai mana permohonan puan kepada-Nya. Amin.

 

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H