#1245: Wang EPF kepada Ibu Mertua

Soalan:

Assalamualaikum Dato. Boleh kah zakat wang simpanan EPF  diberikan kepada ibu mertua. Untuk makluman saya sudah tidak bekerja lagi.

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Pertamanya, saya mengucapkan tahniah kepada anda kerana amat prihatin terhadap agama dan juga keluarga anda. Sebenarnya soalan yang hampir sama telah kami jawab semasa menjawat jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan dahulu. 

Kami katakan bahawa dibolehkan untuk memberi zakat kepada kaum keluarga yang bukan dibawah tanggungjawab kita. Malah, lebih utama daripada orang lain. Golongan yang lain termasuklah anak-anak yang telah dewasa dan mampu bekerja, tetapi pendapatan mereka tidak mencukupi. Ini adalah berdasarkan daripada hadis nabi SAW yang diriwayatkan oleh Salman bin Amir RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:

الصَّدَقَةُ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ، وَعَلَى ذِي الْقَرَابَةِ اثِنْتَانِ: صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ 

Maksudnya: “Zakat kepada orang miskin adalah dikira zakat, dan kepada saudara mara dikira dua kelebihan, iaitu zakat dan mengukuhkan hubungan kekeluargaannya.”

Riwayat al-Tirmizi (658), al-Nasaie (5/92) dan Ibn Majah (1844)

Pemilik harta yang wajib berzakat harus memberi zakatnya kepada saudara mara yang bukan di bawah tanggungannya, seperti adik-beradik lelaki atau perempuan, bapa dan ibu saudara pihak bapa, bapa dan ibu saudara pihak ibu, anak-anak mereka dan lain-lain sekiranya mereka fakir, miskin dan golongan yang berhak menerima zakat.

Berkenaan dengan ibu atau bapa, ia termasuk dalam usul yang wajib kita nafkahkannya apabila mereka tidak berkemampuan. Bukan dengan cara memberi zakat kepadanya. Dalam persoalan di atas, saya cenderung kepada tidak dibolehkan kerana qiyas kepada ibu atau bapa kita sendiri. Ini kerana berdasarkan hadith:

الْخَالَةُ بِمَنْزِلَةِ الأُمِّ

Maksudnya: “Ibu saudara sebelah ibu seperti taraf ibu

Riwayat al-Bukhari (2699), Abu Daud (2280), al-Tirmizi (1904) dan al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (8456)

Walaupun begitu, masalah ini adalah khilaf. 

Kami berpendapat bahawa memberi zakat kepada amil dan PPZ bagi setiap negeri yang didiami wajib kerana maslahat jauh lebih besar berbanding memberi zakat tersebut secara langsung. Dalam keadaan seperti ini, kami cadangkan zakat boleh diberikan sedikit kepada keluarga yang susah manakala selebihnya diberikan kepada Baitulmal. Untuk pengetahuan saudara, seseorang yang membayar zakat kepada Baitulmal boleh meminta untuk mengagihkan sendiri sebahagian dari zakat tersebut kepada orang-orang yang layak menerima zakat tersebut daripada asnaf yang lapan.

Akhir sekali, semoga Allah mempermudahkan kita dalam memahami dan mempelajari ajaran agama Islam ini. Amin.

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H