#125 Solat Jemaah Luar Saf

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seseorang yang solat di luar saf (tidak solat dalam saf dalam masjid) kerana bawa anak ke masjid, dan risau anak akan ganggu jemaah lain? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

 Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ مِنْ تَمَامِ الصَّلاَةِ ‏

Maksudnya: “Rapikanlah barisan (saf) kamu, kerana merapikan saf termasuk dalam kesempurnaan solat.”

Riwayat al-Bukhari (723) dan Muslim (433)

Pada asasnya, antara adab-adab berjemaah adalah dengan memastikan saf dilurus dan dirapikan. Disunatkan oleh imam untuk tidak memulakan solat sebelum saf diluruskan dan disunatkan juga mengarahkan makmum yang berada di belakangnya untuk meluruskan saf. Adapun, sekiranya masjid itu besar, maka disunatkan untuk melantik seseorang untuk memastikan agar saf-saf diluruskan dengan cara mengelilinginya atau dengan cara mengarahkan (dengan menggunakan suara).

Disunatkan juga, bagi setiap yang hadir (di dalam saf) meminta agar disempurnakan saf jika terlihat terdapat kecacatan pada saf tersebut. Ini kerana, ia termasuk di dalam amar makruf dan juga tolong-menolong di dalam kebaikan serta ketaqwaan yang mana menyempurnakan saf adalah termasuk di dalam kesempurnaan solat. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/439).

Selain itu, perlu juga difahami berkenaan syarat-syarat qudwah (mengikut imam). Berdasarkan mazhab Syafie, antaranya ialah makmum mestilah mengetahui perpindahan perbuatan imam. Selain itu, hendaklah imam dan makmum itu ijtima’ (berhimpun) di satu tempat. Ini kerana berbeza bangunan mewajibkan iftiraq (perpisahan tempat). (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/316).

Syarat ijtima` ini berbeza antara solat yang dilaksanakan di masjid dan di luar masjid. Jika di masjid, antara syaratnya adalah hendaklah tiada penghalang untuk makmum sampai kepada imam walaupun perlu mengundur dan berpaling daripada kiblat.

Manakala bagi qudwah di luar masjid atau salah seorangnya, sama ada imam atau makmum, di luar masjid, syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

  • Hendaklah tiada penghadang yang menegah daripada musyahadah (melihat kepada imam atau makmum yang sah qudwahnya dengan imam)
  • Hendaklah tiada penghalang bagi istitraq (boleh makmum berjalan sampai kepada imam tanpa perlu mengundur dan berpaling daripada kiblat.)
  • Tidak melebihi 300 dzira’ di antara imam di dalam masjid dan makmum di luarnya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 295-297 dan Nail al-Raja, hlm. 147).

Dalam isu di atas, sememangnya solat di luar saf dalam masjid adalah dibenarkan berdasarkan mazhab Syafie namun, apa yang lebih utama adalah solat di dalam saf. Nabi SAW begitu menekankan kepentingan solat di dalam saf sebagimana sabdanya:

مَا أَنْكَرْتُ شَيْئًا إِلَّا أَنَّكُمْ لاَ تُقِيمُونَ الصُّفُوفَ

Maksudnya: ““Tidak ada yang aku ingkari kecuali kalian tidak lagi menegakkan saf-saf.”

Riwayat al-Bukhari (724)

Selain itu, kami juga mengesyorkan seperti berikut:

  • Jika kanak-kanak teramat kecil dan susah untuk dijaga serta mengganggu Jemaah, maka aulanya (lebih utama) tidak dibawa ke masjid.
  • Jika kanak-kanak tidak mengganggu namun dibimbangi oleh kedua ibu-bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu-bapanya. Kami syorkan dalam keadaan sebegini, ibu bapa untuk bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu dihujung sekali.

Oleh itu, berbalik kepada isu di atas kami menyarankan tuan untuk solat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu di hujung sekali.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 17/11/2021 bersamaan 12 Rabiul Akhir 1443H