Soalan:
Assalamualaikum Dato Seri, apa hukum seorang Muslim memberi makan kepada sanak saudaranya yang bukan Islam, yang miskin, pada siang hari di bulan Ramadhan?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Dalam menjawab persoalan di atas, para ulama’ telah khilaf kepada dua pandangan:
- Pendapat yang Menyatakan Haram
Ini merupakan pendapat yang dipegang oleh para ulama’ Syafi’iyyah, antaranya Imam al-Ramli, Ibn Hajar al-Haitami dan Syeikh Abu Bakar al-Dimyati. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 3/428; Nihayah al-Muhtaj, 5/273; I’anatu al-Talibin, 3/30)
Antara hujah mereka adalah bahawa non-Muslim juga tertakluk dengan hukum Syarak, dan apabila kita memberi makan kepada mereka pada siang hari Ramadhan, maka kita dikira sebagai bersubahat dalam perkara maksiat. Meskipun begitu, mereka menegaskan bahawa sekiranya ada non-Muslim yang makan, maka kita tidak boleh menghalang dan mencegah mereka.
- Pendapat yang Menyatakan Harus
Antara yang menyatakan sebagai harus adalah Syeikh Sulaiman al-Majid dan Dr. Khalid Muslih. Antara hujah yang dinyatakan adalah non-Muslim tertakluk kepada taklif Syarak, di mana ia dengan maksud mereka akan dihukum dan diminta tanggungjawab di hari akhirat kelak. Manakala dalam kehidupan di dunia, mereka tidak diminta untuk mengerjakan tuntutan Syarak. Malah, kekufuran mereka menjadi penghalang terhadap pelaksanaan hukum-hukum Syariat.
Berdasarkan soalan di atas, kami berpendapat bahawa hukum memberi makan kepada sanak saudaranya yang bukan Islam pada siang hari di bulan Ramadhan adalah harus atas dasar tolong menolong dalam perkara kebajikan. Meskipun begitu, ia hendaklah berpandukan beberapa syarat berikut:
- Tidak makan di tempat yang terbuka
- Hendaklah didahulukan terhadap golongan yang benar-benar memerlukan seperti sanak saudara yang bukan Islam, jiran yang miskin dan seumpamanya.
Alangkah baiknya, jika sekiranya anda mampu mengajak mereka makan ketika anda berbuka puasa. Antara tujuannya adalah, supaya zahir perasaan kepuasan orang yang berpuasa ketika berbuka untuk dipamerkan kepada sanak saudara anda yang bukan Islam dan ini sudah pasti memberi satu pengalaman yang baru bagi mereka.
Dengan melakukan hal ini, ia juga diharap termasuk dalam salah satu bentuk dakwah terhadap saudara kita yang bukan Islam.
Semoga kita sentiasa menyambung hubungan silaturrahim sekali pun keluarga kita belum lagi memeluk agama Islam. Mudah-mudahan dengan sikap yang kita pamerkan menjadikan kita semua sebagai duta dakwah kepada khalayak masyarakat. Amin.
Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H