#1253: Melihat Anak Bulan Syawal dengan Yakin

Soalan: 

Assalamualaikum Dato Seri, jika seseorang telah yakin melihat anak bulan Syawal, bolehkah dia tidak berpuasa pada hari itu, dalam keadaan orang lain masih berpuasa?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan jawapan ini dengan sebuah hadith, sabda Nabi SAW :

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ

Maksudnya: “Berpuasalah jika kamu melihatnya (anak bulan), dan berbukalah (berhari raya) jika kamu melihatnya (anak bulan).”

Riwayat al-Bukhari (1909) dan Muslim (1081)

Dalam mazhab Imam al-Syafi’e Rahimahullah, penentuan masuknya bulan Ramadhan atau bulan Syawal adalah berdasarkan anak bulan yang kelihatan di negara yang mempunyai matla’ yang sama. (Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh asy-Syafi’e, 2/161)

Dalam menjawab persoalan di atas, terdapat hadith daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَصُومُوا وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا

Maksudnya:Apabila kalian melihatnya (anak bulan) maka berpuasalah dan apabila kalian melihatnya (anak bulan syawal) maka berbukalah (raya sudah tiba).”

Riwayat Muslim (1080)

Dalam mengulas hadith ini, Imam al-Son’ani berkata: “Jika seseorang telah yakin melihat anak bulan Syawal, maka dia boleh untuk berbuka (tidak berpuasa), dan sebaiknya dia menyembunyikan hal tersebut. Ini bertujuan untuk memelihara orang ramai daripada mereka berburuk sangka dengannya lalu mendapat dosa. (Lihat Subul al-Salam, 2/422)

Meskipun begitu, sebagaimana yang kita maklum, urusan melihat anak bulan diserahkan kepada mereka yang dilantik oleh pihak kerajaan negeri masing-masing di bawah perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Di samping itu, kami dapati peralatan untuk melihat anak bulan adalah terkini dan paling sempurna. Begitu juga jumlah yang menyertainya terdiri daripada gabungan kepakaran yang pelbagai yang diketuai oleh Sahibus Samahah Mufti negeri masing-masing. Justeru, selepas zahir kenampakan ianya dibawa ke peringkat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang akhirnya diputuskan.

Justeru, saya katakan walaupun seseorang itu nampak seperti realiti di Malaysia, maka yang awla dan sepatutnya adalah dia menghormati dan mematuhi keputusan oleh pihak pemerintah. Ini selaras dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah) kepada ulil amri dari kalangan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Semoga Allah SWT taufiq dan hidayahkan kita untuk mengikuti ajaran Islam dengan sebaik mungkin. Amin.

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H