Soalan:
Assalamualaikum Dato Seri, soalan saya, sekiranya saya terjumpa sebuah al-Quran kecil atau mini milik arwah bapa saya. Adakah ianya dikira harta pusaka? al-Quran itu bersaiz ibu jari sahaja, lengkap 30 juzuk dan ditulis tangan.
Jawapan:
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pusaka bermaksud segala harta benda yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal untuk diwarisi oleh keluarganya dan lain-lain.
Menjawab persoalan di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa al-Quran atau mushaf dikira sebagai pusaka. Bahkan ia dianggap sebagai sedekah jariah.
إِنَّ مِمَّا يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ، وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ، وَمُصْحَفًا وَرَّثَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya daripada yang menyambung kepada orang mukmin oleh amalan dan kebajikannya selepas dia meninggal dunia ialah ilmu yang diajarkannya dan disebarkannya, anak yang soleh yang ditinggalkannya dan juga mushaf al-Quran yang diwariskannya.”
Riwayat Muslim (1631) dengan maknanya secara ringkas, Ibn Majah (200), Ibn Khuzaimah (2490), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3448).
Imam al-Munawi berkata mushaf yang diwarisinya iaitu apa yang ditinggalkan untuk pewarisnya agar dibaca padanya. Justeru, jawapan Imam al-Munawi jelas menunjukkan mushaf al-Quran boleh diwarisi berdasarkan nas hadith Nabi SAW.
Begitu juga, para ulama berpendapat jika anak si mati telah mewakafkan al-Quran kepada masjid, maka sah wakafnya. Begitu juga, jika anak tersebut meniatkan dengan wakaf tersebut sebagai sedekah jariah untuk ayahnya, nescaya ia memberi manfaat, insyaAllah. Inilah pandangan dan fatwa kebanyakan ulama.
Berkenaan dengan jenis al-Quran walaupun kecil atau mini sebagai mana milik si mati, iaitu bapa kepada saudara, maka ia tetap dikira sebagai harta pusaka. Saya pernah menerima senaskhah al-Quran seperti yang saudara ceritakan. Dan yang memberikan kepada saya juga memberikan kanta untuk mudah dibaca. Saya katakan subhanallah betapa kecilnya tulisan tetapi apabila dilihat melalui kanta maka ia amat jelas dan boleh dibaca.
Semoga jawapan ini dapat memberi pencerahan kepada kita semua bahawa sebarang bentuk peninggalan si mati yang bersifat harta atau berharga, maka ia dianggap sebagai harta pusaka.
Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H