Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri, maaf mengganggu dan mungkin mencuri masa ustaz. Saya ada kemusykilan dan nak dapatkan pencerahan. Jika pemilik Islam ia membenarkan pekerja bukan Islam membuat ritual pemujaan dalam operasi/kerja dengan harapan dapat kejayaan atau keuntungan.
- Apakah hukum majikan membenarkan dan tidak menegah?
- Jika majikan turut sama mengeluarkan perbelanjaan kos ritual tu atas alasan pekerja minta. Sekian, itu sahaja soalan saya ustaz.
Jawapan:
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Menjawab persoalan di atas, saya telah menyebut banyak kali berkenaan dengan fiqh al-ta’ayush. Untuk memudahkan kefahaman saya akan menoktahkan dengan beberapa noktah:
- Hak kebebasan beragama adalah hak manusia. Islam sekali-kali tidak memaksa seseorang untuk menganut agamanya tetapi sekadar berdakwah kepadanya. Firman Allah SWT:
لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ
Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)”
Surah al-Baqarah (256)
- Seseorang yang mempunyai pegangan dan ritual agama berhak mereka beramal mengikut kepercayaan masing-masing. Islam tidak melarang untuk mereka beramal denagn agama mereka. Ini boleh dilihat dalam banyak nas, antaranya:
Rasulullah SAW juga pernah menerima orang Kristian dari Najran di dalam masjid Baginda SAW di Madinah. Apabila tiba waktu sembahyang mereka, mereka akan bersembahyang di masjid menghadap ke arah timur. Rasululllah SAW bersabda, yang bermaksud: “Biarkan mereka.” Kisah ini disebut oleh Ibn Ishaq dalam Sirah Ibn Ishaq, Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (2/42), Ibn al-Qayyim dalam Ahkam Ahl al-Zimmah (1/397) dan Zad al-Ma’ad (3/549).
Berdasarkan kisah ini, dapat difahami bahawa Kristian Najran pernah bersembahyang di Masjid Nabawi atas keizinan Nabi SAW. Dalam masa yang sama, terdapat juga beberapa hal yang penting untuk diteliti pada kisah ini:
- Riwayat ini sebenarnya daif kerana sanadnya terputus. Ia diriwayatkan oleh Ibn Ishaq daripada perawi yang bernama Muhammad bin Jaafar bin al-Zubair daripada Nabi SAW. Muhammad bin Jaafar bukan merupakan seorang sahabat bahkan beliau hanya sempat berguru dengan tabien kecil sahaja. (Rujuk Taqrib al-Tahzib, 2/471)
- Ibn Qayyim meletakkan syarat supaya ia tidak menjadi adat atau rutin harian dan kebiasaan. (Rujuk Zad al-Ma’ad, 3/557)
III. Tidak ada riwayat lain yang menyatakan Nabi SAW membenarkan orang bukan Islam melakukan ibadat di Masjid Nabawi melainkan riwayat ini sahaja.
- Syeikh Muhammad bin Ibrahim Alu al-Syeikh menyatakan bahawa kisah ini menunjukkan bahawa sekiranya ada keperluan atau hajat yang memungkinkan hal seperti itu, ia dibolehkan.
- Berkenaan kepercayaan memuja dalam ritual dengan harapan dapat kejayaan atau keuntungan, maka ia adalah bercanggah dengan konsep dalam Islam. Ini kerana, dalam Islam pengabdian hanya kepada Allah SWT dan memohon pertolongan hanya kepada Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Maksudnya: “Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”
Surah al-Fatihah (5)
Justeru, saya berpendapat tidak wajar membenarkannya serta mengeluarkan perbelanjaan untuk ritual seperti itu, sebaliknya biarlah mereka buat di tempat mereka atau di rumah mereka. Islam mengajar cara yang lebih baik, iaitu berdoa kepada Allah SWT dan memohon munajat kepada-Nya sahaja. Terangkanlah kepada anak buah atau pekerja non-Muslim dengan cara yang baik, berhemah lagi berhikmah.
Semoga dengan pencerahan ini akan memberi kefahaman yang baik kepada kita. Meraikan pandangan ajaran seseorang bukan bermakna kita mengiyakan keseluruhannya kerana keimanan sudah tentu berbeza. Wallahu a’lam.
Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H