#1259: Status Halal Gelatin

Soalan: 

Assalamualaikum Dato Seri, apakah hukum minuman yang tertulis padanya kandungan gelatin? Adakah ia dikira halal atau haram, sedangkan saya sudah banyak meminumnya sejak sampai ke London.

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT: 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Maidah: 87)

Ayat dia atas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122).

Takrif Gelatin

Dalam Portal Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan, perkataan gelatin berasal daripada bahasa Latin yakni ‘gelatus’ (keras). Gelatin merupakan sejenis protein yang dihasilkan daripada rangkaian kolagen. Kolagen ini dapat diperolehi daripada tulang atau ligamen (tulang rawan), kulit, haiwan seperti lembu, kerbau, ikan atau babi. 

Gelatin untuk makanan boleh didapati sama ada dalam bentuk serbuk atau kepingan dan ia adalah hidrokoloid (mudah bersatu dengan air). Gelatin boleh menyerap air sehingga 10 kali ganda daripada beratnya di dalam air. Menurut Peraturan-peraturan Makanan 1985, gelatin dikategorikan sebagai kondisioner makanan – penstabil, pemekat, kanji ubah suai dan agen penggelan (rujuk Jadual Kesebelas)(Peraturan 25). Kondisioner ialah apa-apa bahan yang ditambah pada makanan bagi maksud teknologi untuk mendapatkan makanan yang dihasratkan.

Gelatin boleh didapati dari pelbagai sumber kolagen haiwan seperti ikan, kerbau, lembu dan babi melalui proses yang dipanggil hidrolisis. Terdapat 2 jenis gelatin yang dibezakan melalui cara penghasilan iaitu sama ada menggunakan alkali atau asid.

1)  Gelatin jenis A:

  • Diperoleh dengan cara pengasidan.
  • Majoriti gelatin jenis ini diperoleh daripada kulit babi yang kolagennya masih muda.
  • Gelatin daripada sumber ikan juga dihasilkan daripada proses pengasidan ini.

2)  Gelatin jenis B:

  • Diperoleh dengan cara menggunakan alkali atau air kapur.
  • Sumber untuk memproses gelatin ini adalah daripada lembu, kerbau atau kambing.
  • Gelatin jenis ini juga dikenali sebagai ‘beef bovine’ atau ‘bovine’.
  • Banyak dihasilkan daripada sumber lembu.
  • Gelatin jenis ini lebih sukar untuk dihasilkan kerana menggunakan kolagen yang matang.

Tiada gelatin daripada sumber tumbuhan. Alternatif kepada penggunaan gelatin adalah gum tumbuhan seperti carrageenan dan Arabic gum. Kebiasaannya digunakan dalam industri farmaseutikal bagi penghasilan kapsul dan soft gel

Seterusnya tujuan gelatin digunakan adalah mengatasi masalah yang timbul dalam industri makanan khususnya dalam mempelbagaikan produk. Gelatin boleh digunakan sama ada sebagai bahan ramuan atau kondisioner makanan dalam industri pemprosesan makanan. Di antara fungsi gelatin adalah agen penstabilan dalam produk hasilan daging seperti sosej, agen pemekat dalam makanan bersos, agen pembuih dalam produk susu terproses, agen pengikat dalam produk daging, agen pelekat dan gula-gula dan produk sejenisnya, dan banyak lagi. Ringkasnya, kebanyakan produk minuman dan makanan yang dihasilkan akan mengandungi gelatin seperti gula-gula, ais krim, produk daging, produk susu, minuman, sari buah, sarung kapsul dan seumpamanya.

Hukum Minuman yang Mempunyai Kandungan Gelatin

Pada asasnya, gelatin menjadi isu dalam aspek halal kerana 90% pengeluaran gelatin dalam pasaran dunia adalah tidak dapat dipastikan status halal. Bahkan kebanyakan pengeluarannya dari negara bukan Islam. 

Secara umumnya, dalam isu ini, para ulama telah berbeza pendapat. Ada yang mengharuskannya tanpa mengambil kira ia diambil dari sumber haiwan yang mana, dan ada juga yang memperincikannya. Menurut al-Tuwaijiri, tidak mengapa mengekstrak gelatin dari kulit, sendi, dan tulang haiwan yang diharuskan (untuk dimakan) dan disembelih mengikut kehendak syariat, atau dari tumbuhan yang tidak berbahaya dan tidak beracun. Maka, gelatin jenis ini adalah diharuskan dan tidak mengapa menggunakannya dan memakannya dalam makanan dan ubat-ubatan. (Lihat Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami, 4/329).

Ini juga merupakan keputusan yang telah diputuskan oleh Majlis al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami, di bawah Rabitah al-‘Alam al-Islami dalam sesi kelima belas, yang diadakan di Makkah al-Mukarramah, yang bermula pada hari Sabtu, 11 Rejab 1419 Hijrah bersamaan 31/10/1998 Masihi, membahasakan berkenaan isu gelatin, dan selepas perbahasan dan perbincangan tersebut, jelaslah kepada Majlis bahawa gelatin ialah bahan yang digunakan dalam pembuatan manisan dan beberapa ubat-ubatan perubatan, yang diekstrak dari kulit dan tulang haiwan. Sehubungan dengan itu, Majlis memutuskan bahawa dibolehkan menggunakan gelatin yang diekstrak dari bahan yang diharuskan dan dari haiwan yang diharuskan (untuk dimakan) yang telah disembelih mengikut kehendak syarak. Begitu juga tidak boleh mengekstraknya dari bahan yang diharamkan seperti kulit babi dan tulangnya serta haiwan-haiwan dan bahan lain yang diharamkan. (Lihat Qararat al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami, hlm. 85).

Dalam erti kata lain, perkara yang perlu diambil cakna adalah sumber gelatin yang dihasilkan dalam minuman berkenaan. Sepertimana kita ketahui, gelatin ini dihasilkan melalui kolagen yang diambil dari tulang, ligamen dan kulit haiwan. Maka, sekiranya ia diambil dari sumber yang haram, misalnya babi dan seumpamanya, maka hukumnya adalah haram. Begitu juga, jika binatang yang halal tetapi tidak disembelih mengikut cara Islam atau telah menjadi bangkai, maka hukumnya juga adalah haram. Perkara ini bertepatan dengan kaedah:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya:(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117).

Berdasarkan kaedah di atas, jika kolagen itu diambil dari sumber yang halal seperti kulit, tulang dan ligamen haiwan yang disembelih mengikut kehendka syariat, maka gelatin yang terhasil daripadanya adalah halal. Akan tetapi jika ia diambil dari sumber yang haram seperti kulit, tulang dan ligamen haiwan yang tidak disembelih mengikut kehendak syariat, atau bangkai, atau babi, maka gelatin yang terhasil daripadanya juga adalah haram.

Namun demikian, terdapat juga dalam kalangan ulama yang mengharuskan penggunaannya tanpa mengambil kira sama ada haiwan itu disembelih ataupun tidak, mahupun bersumberkan babi. Hal ini kerana gelatin yang diambil daripada kulit, tulang babi, lembu yang tidak disembelih dan lain-lain telah melalui satu proses istihalah, sehinggakan hakikat asal dan sifat kulit, tulang babi atau bangkai tidak wujud lagi padanya. Justeru, tidak wujud lagi apa yang dihukumkan sebagai najis dan haram, yang menyebabkan ia juga dihukumkan sebagai haram. Selain itu, benda yang berubah itu juga telah menjadi benda lain yang berbeza dengan yang pertama, baik dari segi bentuk, rasa, bau, susunan kimia dan kriteria-kriteria fiziknya. Oleh kerana itu, hukumnya berubah daripada haram kepada hukum halal, yang merupakan hukum asal kepada segala sesuatu. (Lihat Isu-isu Fiqh Halal dan Haram Semasa,  1/616). 

Dr. Wahbah al-Zuhaili mentakrifkan proses istihalah sebagai perubahan kepada sesuatu benda yang bernajis secara sendirian atau dengan melalui perantaraan. Sebagai contohnya penciptaan sabun yang asalnya berasal dari minyak atau lemak haiwan. Perubahan ini berlaku apabila berlakunya tindak balas kimia terhadap bahan tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu , 1/212).

Dr. Basri bin Ibrahim menukilkan daripada Dr. Muhammad Abd al-Salam yang menyatakan dalam Musykilah Istikhdam al-Mawad al-Muharramah fi al-Muntajat al-Ghiza’iyyah wa al-Dawa’iyyah, bahawa protein yang terhasil daripada proses pemecahan protein, diperolehi daripada perantaraan pemecahan bentuk kimia kepada protein-protein binatang yang dikenali dengan nama kolagen. Caranya dilakukan dengan meletakkan bahagian-bahagian air di dalam berbagai-bagai tempat, dalam bentuk kimia, yang menyebabkan pecahnya ikatan-ikatan kimia yang mengikat antara satu sama lain dan membentuk bentuk-bentuk kimia baru yang lebih kecil. Proses ini dinamakan sebagai peleburan melalui air dan dilakukan sama ada di dalam persekitaran yang masam (asid) atau persekitaran rendaman (neutral) atau menggunakan enzim-enzim yang dipilih untuk tujuan tertentu. Walau bagaimanapun, teknik terakhir ini jarang sekali digunakan di dalam perindustrian.

Perlu disebutkan di sini, bentuk-bentuk kimia kecil yang muncul hasil daripada pecahan kimia, berbeza secara keseluruhannya dengan protein-protein asalnya. Penentuan sumber protein iaitu jenis binatang yang dikeluarkan protein daripadanya, adalah satu perkara yang mudah, melalui tindak balas pencegahan dan sesetengah teknik lain. Dalam masa yang sama, tidak mungkin dapat dibezakan di antara jenis-jenis gelatin yang diproses daripada berbagai-bagai jenis binatang, memandangkan hilangnya tanda- tanda yang boleh dihubungkan gelatin itu kepada binatang-binatang tersebut. 

Kemudian, beliau menukilkan pula daripada Dr. Muhammad al-Hawari yang menjelaskan selepas mengulas tentang teknik melakukan tindak balas kimia bagi mengeluarkan gelatin dan bahan-bahan yang berkaitan dengannya bahawa dari aspek kimia, mungkin kita boleh melihat kepada tindak balas kimia yang menyamai tindak balas perubahan alkohol kepada cuka (masam cuka) dan pembentukan susunan yang terhasil daripada susunan asal. (Lihat Isu-isu Fiqh Halal dan Haram Semasa,  1/615-616).

Pendapat ini juga adalah sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Eropah yang mengizinkan bahan yang berasal haram tapi telah berubah melalui suatu proses. Mereka ditanya mengenai, bahan-bahan daripada sebahagian makanan yang mengandungi item yang ditandai huruf “E” dan nombor yang berasal daripada sumber lemak dan tulang babi. Maka, apakah pandangan hukum menurut syariat terhadap makanan tersebut?

Mereka menjawab, item bertanda huruf “E” dan rentetan nombor adalah bahan tambahan (additives) . Bahan tambahan ini mempunyai lebih 350 sebatian dan ia boleh jadi sebagai pengawet, pewarna, perasa dan pemanis. Seterusnya, bahan tambahan ini pula dibahagikan kepada empat kumpulan berdasarkan sumbernya:

  1. Sebatian asal kimia tiruan
  2. Sebatian asal tumbuh-tumbuhan.
  3. Sebatian asal haiwan
  4. Sebatian larutan dalam alkohol

Hukum pada semua sebatian ini adalah ia tidak menjejaskan status halal yang asal bagi makanan kerana perkara berikut:

Kumpulan pertama dan kedua adalah halal kerana ia berasal daripada bahan yang dibenarkan dan tidak membahayakan daripada menggunakan item tersebut. Kumpulan ketiga juga adalah halal, kerana keadaan asal haiwan tidak lagi kekal sama semasa proses pembuatan. Malah ia berubah secara radikal daripada bentuk asalnya kepada satu bentuk baru bersih dan tulen melalui proses yang dipanggil transformasi kimia. Transformasi ini juga memberi kesan kepada hukum mengenai bahan tersebut. Oleh itu, jika bentuk asal adalah najis atau haram, transformasi kimia telah merubahnya kepada satu lagi ramuan yang memerlukan ketetapan hukum baru. Contohnya, jika alkohol berubah dan telah bertukar kepada cuka, maka ia tidak lagi kekal sebagai haram, tetapi membawa hukum baru mengikut sifat bahan hasilan yang baru tersebut, iaitu halal.

Bagi kumpulan keempat, item ini biasanya pewarna dan digunakan dalam kuantiti yang sangat sedikit, yang larut dalam bentuk produk akhir, yang dikira sebagai satu perkara dimaafkan. Oleh itu, apa-apa makanan atau minuman yang mengandungi mana-mana bahan ini masih kekal halal dan dibenarkan untuk kegunaan orang Islam. Kita juga perlu ingat bahawa agama kita adalah agama mudah dan kita dilarang daripada membuat perkara yang menyusahkan. Lebih-lebih lagi, mencari-cari dan menyiasat perkara itu bukanlah apa yang Allah SWT atau Rasul-Nya SAW perintahkan kepada kita untuk dilakukan.

Begitu juga Nadwah Fiqh Perubatan kali ke-8 anjuran Pertubuhan Perubatan Islam di Kuwait (Mei 1995) telah mengeluarkan resolusi bahawa al-Istihalah yang melibatkan perubahan dari satu bahan kepada satu bahan yang lain, yang berbeza dengan bahan yang pertama dari segi sifat-sifatnya, merubah bahan-bahan najis atau terkena najis, kepada bahan-bahan yang suci dan merubah bahan-bahan yang diharamkan, kepada bahan-bahan yang diharuskan menggunakannya dari segi syarak. Berdasarkan hal ini, gelatin yang terbentuk dari perubahan tulang binatang yang najis, kulit, tulang lembut pada telinga, adalah suci dan halal dimakan. (Lihat Isu-isu Fiqh Halal dan Haram Semasa,  1/616).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa jika sekiranya sesuatu minuman atau makanan itu diperbuat dari sumber yang haram seperti khinzir atau bangkai yang tidak disembelih, maka hukum penggunaannya adalah tidak dibolehkan. Sebaliknya, jika ia bukan dari sumber-sumber seperti itu, maka hukum penggunaannya adalah tidak mengapa dan halal. Jawapan yang sama diberikan oleh Dr. Solah al-Sawi dalam Mausu‘ah Fatawa al-Mughtaribin (5/447). Tambahan lagi, inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan berhati-hati kerana keluar daripada perkara yang diperselisihi (khilaf) adalah lebih baik berbanding jatuh di dalamnya.

Dalam konteks negara kita, terdapat badan berwajib yang dipertanggungjawabkan bagi mengeluarkan sijil Pengesahan Halal Malaysia. Bahkan Bahagian Hab Halal JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri akan memastikan syarikat yang membuat permohonan sijil halal itu, wajib mengisytihar kesemua ramuan termasuk aditif makanan yang digunakan berserta dokumen yang kukuh seperti sijil halal yang diiktiraf dan analisis makmal. Sehubungan dengan itu, jika suatu produk makanan tersebut sudah mendapat sijil Pengesahan Halal Malaysia atau Sijil Pengesahan Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM seperti Halal Certification Europe (HCE) dan Halal Food Authority Ltd. (HFA) yang bertanggungjawab dalam pengurusan halal di United Kingdom, maka ia boleh dimakan tanpa sebarang keraguan mahupun waswas sekalipun tertulis dalam salah satu kandungannya adalah “gelatin”. 

Akan tetapi jika sumber gelatin dalam makanan dan minuman tersebut tetap tidak dapat dipastikan sumbernya mahupun tanda yang menunjukkan kepada kehalalannya (seperti logo halal dari pihak yang bertanggungjawab dalam pengurusan halal di tempat tersebut)  maka meninggalkan suatu yang syubhah itu adalah lebih baik, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”

Riwayat al-Tirmizi (2518)

Apatah lagi, melihat kepada pasaran dunia pada hari ini, gelatin babi lebih digunakan kerana harganya lebih murah berbanding lembu. Bahkan menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, sekitar 90% pengeluaran gelatin dalam pasaran dunia adalah tidak dapat dipastikan status halalnya. 

Sekalipun begitu, sekiranya seseorang itu mengalami kesukaran untuk mencari bahan-bahan masakan atau minuman yang bebas daripada “gelatin” sebagai salah satu ramuannya seperti seseorang yang berada di negara yang penduduknya minoriti Muslim. Maka, dalam hal ini tidak mengapa untuk dia menggunakan produk atau bahan berasaskan “gelatin” yang syubhah tersebut (yakni dapat dipastikan statusnya) dengan berpegang kepada pendapat yang mengharuskan penggunaannya berdasarkan kaedah:

مَنِ ابْتُلِيَ بِمُخْتَلَف فِيهِ كَانَ لَهُ أَنْ يُقَلِّدَ مَنْ أَجَازَ

Maksudnya:Sesiapa yang diuji dengan suatu kesusahan yang diperselisihi di dalamnya, maka dia boleh bertaqlid dengan ulama yang mengharuskannya.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

 

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H