Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan berkenaan solat jamak qasar. Jika saya sudah melakukan solat jamak qasar bagi solat Zuhur dan Asar dalam perjalanan, kemudian saya sampai di rumah pada jam 4 petang, dan pada jam 4.26 petang saya mendengar azan Asar. Adakah saya perlu mengulangi semula solat Asar saya dan solat yang saya lakukan secara jamak qasar tadi hanya sah untuk solat Zuhur sahaja? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, solat secara jamak mahupun secara qasar termasuk dalam bentuk rukhsah atau kemudahan yang diberikan kepada orang yang bermusafir ketika bersolat. Justeru, dia boleh melakukan solat yang 4 rakaat, iaitu Zuhur, Asar dan Isyak dengan 2 rakaat sahaja. Begitu juga dia boleh menghimpunkan (secara jamak) dua solat ketika menunaikannya iaitu antara solat Zuhur dan Asar dan antara solat Maghrib dan Isyak. Di antara dalil disyariatkan qasar ialah firman Allah SWT:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.”
(Surah al-Nisa’: 101)
Manakala di antara dalil disyariatkan jamak pula adalah berdasarkan hadith, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menjamakkan solat Zohor dan Asar apabila Baginda dalam perjalanan, dan Baginda turut menjamakkan antara solat Maghrib dan Isyak.”
Riwayat al-Bukhari (1107)
Secara umumnya, sekiranya sudah sabit permusafiran tersebut, maka dibolehkan baginya untuk mendapat kemudahan (rukhsah) bagi menjamakkan solatnya, sekalipun dia mengetahui bahawa dia akan sampai ke negaranya sebelum berakhirnya waktu solat yang kedua, atau sebelum masuknya waktu solat kedua. Hal ini kerana dalil-dalil menunjukkan kepada keharusan melakukan jamak bagi orang yang bermusafir. Justeru, selama mana seseorang itu dalam permusafiran, dia dibolehkan untuk melakukan solat secara jamak.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, pengarang al-Fiqh al-Manhaji (1/189) menyebutkan, selama mana dia masih dalam keadaan musafir sehingga memulakan solat yang kedua. Justeru, tidak menjadi masalah sekiranya dia sampai semula ke tempat asalnya ketika solat yang kedua masih belum selesai.
Imam al-Nawawi dalam kitabnya menyatakan, para ulama berbeza pendapat berkenaan seseorang yang menjamakkan antara dua solatnya secara jamak taqdim ketika sedang bermusafir, kemudian dia bermukim. Maka, adakah solat jamaknya itu terbatal dan wajib ke atasnya mengulangi semula solat yang kedua pada waktunya ataupun tidak? Menurut Imam al-Nawawi, pendapat yang paling sahih adalah solat jamaknya itu tidak terbatal sebagaimana jika dia melakukan solat secara qasar kemudian dia bermukim. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/180).
Selain itu, Ibn Qudamah juga ada menyebutkan, sekiranya seseorang itu sudah sempurna menunaikan dua solat secara jamak pada waktu yang pertama (yakni jamak taqdim), kemudian keuzuran (sebab) yang membolehkan untuk melakukannya itu tidak ada lagi selepas dia selesai menunaikan kedua-dua solat tersebut sebelum masuknya waktu solat yang kedua, maka ia adalah memadai (yakni dikira) dan dia tidak diwajibkan untuk mengulangi solat yang kedua pada waktunya. Hal ini kerana solat itu dilakukan dengan betul dan sudah memadai serta dia telah bebas daripada tanggungannya (yakni perintah untuk melakukan solat tersebut), maka dia tidak perlu lagi menyibukkan diri untuk mengerjakannya selepas itu. Selain itu, ini juga kerana dia telah menunaikan kewajipannya dalam keadaan adanya keuzuran, maka ia tidak terbatal dengan hilangnya keuzuran tersebut selepas itu seperti mana orang yang bertayammum apabila mendapati air selepas selesai menunaikan solat. (Lihat al-Mughni, 3/140).
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa selama mana seseorang itu sudah sempurna menunaikan solat Zuhur dan Asar atau solat Maghrib dan Isyak secara jamak taqdim dalam keadaan dia masih lagi bermusafir, lalu dia sampai semula ke kawasannya dalam keadaan waktu solat kedua masih lagi belum masuk atau belum lagi berakhir, maka tidak wajib untuknya mengulangi semula solat kedua tersebut pada waktunya. Hal ini kerana solat tersebut telah ditunaikan secara sah ketika jamak taqdim tadi, dan sudah memadai serta bebas tanggungannya (yakni perintah untuk menunaikannya).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H